Sunday, December 16, 2012

Jejak lokasi drama Korea dalam salji


ROMBONGAN seramai 39 orang yang disertai pelbagai peringkat usia berpuas hati kerana impian bermain salji dan mendekati kota K-Pop dapat direalisasikan.


MELANGKAH keluar dari balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul, Korea Selatan pada 6 Disember lalu, tubuh bagai ditikam oleh suhu yang mencecah -6 darjah Celsius. Belum sampai lima minit meninjau suasana, jari-jemari terasa kebas. Segera sarung tangan yang memang tersedia dalam saku disarungkan agar darah tidak membeku sebelum sempat memulakan kembara.
Kami tiba di negara K-Pop itu seawal pukul 6.30 pagi.
Kepenatan menerjah awan dengan penerbangan Vietnam Airlines yang dinaiki dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam terus hilang saat dihembus bayu sejuk yang menyapa pipi. Kami sebenarnya menukar penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Ho Chi Minh City, Vietnam dan menyambung semula perjalanan ke Incheon pada pukul 11.30 malam.
Salji memutih yang terhampar seperti menyambut kedatangan rombongan Korea Winter Ski & Menjejak Lokasi-Lokasi Hebat Drama Korea anjuran Safirgotravel.com bersama Iqram Dinzly dengan penuh takzim. Kecuali Iqram dan wartawan Melodi, Zuan Azmi, rata-rata ahli rombongan seramai 39 orang yang diketuai oleh Muhammad Ariff Zaki Muhamad Sanuri itu kali pertama menjejakkan kaki ke Korea bahkan kali pertama mengecap salji di depan mata.
Selain panorama bersalji, membeli-belah dan ski yang bersilih ganti bermain di mata, pandangan saya tidak lepas memerhatikan sosok pemandu pelancong kami yang dilantik ejen pelancongan Safirgotravel.com itu. Hanya mahu dibahasakan Bob, lelaki berambut kerinting itu langsung tidak mengendahkan usia dalam berfesyen.
Digelar pondan
"Kalau di Kuala Lumpur, orang pasti gelarkan saya pondan, tapi di sini, fesyen sebegini normal," katanya dalam bahasa Inggeris rojak.
Beberapa perkataan bahasa Melayu seperti pondan, makan dan solat lancar disebut Bob memandangkan dia sudah terbiasa membawa pelancong Malaysia di Korea.
Hubungan geografinya dengan Malaysia sendiri bukan jauh kerana isterinya orang Malaysia.

KRU TV3, Azedy merakamkan temu bual bersama peserta untuk siaran Melodi.


Segala macam tentang Korea ada dalam kepala Bob. Dia seperti 'wikipedia bergerak' sepanjang perjalanan kami dari lapangan terbang ke destinasi pertama, iaitu Pulau Nami.
Sebelum tiba ke pulau cinta yang terkenal itu, kami singgah sebentar di Petite France yang terkenal sebagai lokasi penggambaran drama seperti Beethoven Virus, Summer Scent, Secret Garden dan Running. Seni bina Petite France atau Putera Kecil sengaja dibina menyerupai bangunan lama di Eropah.
Berada di tengah-tengah 16 buah bangunan yang menjadi tumpuan penggambaran itu pengunjung seolah-olah berada di Perancis.
Kuasa Pulau Nami sungguh memberikan impak kepada kedatangan pelancong ke Korea Selatan. Mereka wajib berkunjung ke situ. Ketika kami tiba, ada banyak rombongan lain kebanyakannya dari Indonesia, Thailand dan Malaysia.
Romantisme yang tercipta dalam Winter Sonata boleh mencairkan perasaan. Sinonim dengan gelaran Rebublik Naminara yang tertulis megah di dermaga feri untuk ke pulau kecil itu, berpijak di Nami mengizinkan pengunjungnya merasakan seolah-olah berada di negara lain pula.
Sentuh salji
Nami bukan satu-satu tarikan pakej lima hari empat malam yang melantik Iqram Dinzly sebagai duta pelancongan ini. Dalam kepala setiap ahli rombongan, acara bermain salji dan berski di Oak Valley Ski Resort sudah terbayang-bayang.
"Ini kali kedua saya sampai ke Seoul tapi kali pertama berpeluang menyentuh dan bermain salji, satu nikmat dunia yang selama ini saya lihat dalam filem atau televisyen. Tak sangka juga, rombongan ini berpeluang merasai pengalaman salji turun.

BERSIAP sedia sebelum mula bermain ski pada hari kedua di Korea.


"Ikut maklumat yang saya dapat, suhu sepanjang kami berada di Seoul adalah suhu paling sejuk dalam sejarah Seoul setakat ini iaitu -17 darjah Celsius (hari keempat).
"Syukurlah semua ahli rombongan yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak paling muda iaitu Iman yang berusia tiga tahun tidak jatuh sakit," ujar Iqram sambil menyifatkan percutian ini tidak sahaja pelarian daripada kesibukan kerja tetapi penemuan kepada satu lagi nikmat Allah Yang Maha Agung.
Kali ini, percutian agensi pelancongan yang terkenal dengan pakej pelancongan muslim Malaysia itu tidak disertai oleh Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Muhamad Abd. Latif.
Ariff Zaki yang baru kali pertama bertugas ke luar negara merasakan tempoh lawatan itu agak singkat namun berbaloi untuk memberi pengalaman berharga.
Makanan halal
"Ini kali pertama saya berurusan dengan rombongan yang turut disertai oleh artis dan media. Saya sendiri kurang pengalaman tetapi pakej yang kami sediakan ini memuaskan.
"Saya sedar jadual di sana agak padat, mungkin pada masa akan datang ia boleh disusun semula tetapi hampir semua lokasi yang wajib dikunjungi dapat kami penuhi," ujar Ariff Zaki yang baru berusia 23 tahun.
Sebagai penutup untuk tahun 2012, agensi pelancongan terbabit akan ke Turki pada 22 Disember nanti. Ketika artikel ini disiarkan, Muhamad sendiri baru berlepas ke Tunisia membawa seramai 42 ahli yang turut disertai wakil TV9.
"Setiap tahun purata trip yang kami kendalikan berjumlah 60 hingga 70 trip. Tahun depan, banyak pakej tersedia termasuklah ke Portugal, Sepanyol, London, India dan Korea. Paling banyak ialah pakej umrah," jelas Muhamad.

PENULIS turut merakamkan gambar berlatarkan jajaran pohon pain yang menjadi ikon Pulau Nami.


Selepas bermain ski, Oak Valley Ski Resort ditinggalkan dan rombongan bergerak ke bandar Seoul. Untuk mendekati kota metropolitan yang mempunyai populasi seramai 23 juta orang itu, kami menginap di Hotel Capital. Kedudukan kami berdekatan dengan Dongdaemun, lokasi beli-belah popular di Seoul.
Bagi pengembara yang mementingkan makanan halal, Itaewon ialah lokasi paling strategik. Jajaran restoran yang menyediakan makanan muslim banyak terdapat di situ.
Di Seoul juga tidak banyak restoran makanan segera seperti KFC atau McDonald's, mungkin sebab itu tidak ramai penduduk Seoul yang berbadan gemuk.
Kami juga dibawa melawat ke Lotte World, taman tema terbesar di Korea yang turut menjadi lokasi drama Stairway to Heaven.
Destinasi lain seperti menyusuri Sungai Han, Istana Gyeongbok yang menjadi lokasi drama Jewel in the Palace, Muzium Rakyat Kebangsaan dan Cheonggaye Cheon Stream iaitu sungai buatan yang membahagikan Seoul kepada dua bahagian juga sebahagian daripada keindahan Seoul untuk dikenang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: