|
MOHD. SHAIFUL AKMAL SALMAN, 32, sudah empat tahun berkecimpung dengan dunia penjagaan sugar glider, haiwan kecil daripada keluarga marsupial yang mempunyai mata bundar dan comel.
Menjaga haiwan eksotik itu bukan mudah. Ilmu mengenai haiwan tersebut seperti cara penjagaan, makanan dan tingkah laku perlu diketahui.
Paling penting adalah setiap pemilik mesti mempunyai komitmen yang tinggi dalam memelihara haiwan tersebut. Daripada pemerhatian Mohd. Shaiful, ramai yang meminati sugar glider pada peringkat awal, tetapi mulai bosan selepas tempoh dua atau tiga bulan.
Kemudian, mereka tidak tahu ke mana hendak diserahkan haiwan tersebut kerana ia bukan seperti haiwan domestik lain seperti anjing atau kucing yang boleh dibuang di pasar.
Sugar glider tidak boleh dibuang di hutan kerana persekitaran itu tidak sesuai dengannya lebih-lebih lagi jika binatang tersebut telah dijinakkan.
Disebabkan perkara itu dan rasa cinta pada haiwan kecil tersebut, Mohd. Shaiful mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pusat pemeliharaan sugar glider.
Masih dalam peringkat perancangan, lelaki itu percaya bahawa dia bakal menerima sugar glider daripada pemilik yang sudah tidak mahu menjaga haiwan itu.
“Pusat itu nanti akan meletakkan syarat pada bilangan yang boleh diterima dalam satu-satu masa selain mencari keluarga angkat baharu bagi memeliharanya.
“Rancangan lain ialah jika ada individu yang mahu membeli sugar glider, kami akan jual secara berpasangan pada harga murah,” terangnya yang berkali-kali menekankan peri penting bagi penjaga memiliki komitmen tinggi.
Sekurang-kurangnya usaha Mohd. Shaiful itu memberi ruang kepada mereka yang tidak mahu lagi menjaga haiwan tersebut dan pada masa yang sama menjamin keselamatannya.
Trend memelihara haiwan hutan atau eksotik sebenarnya sudah lama menjadi pilihan, mungkin kerana rupanya yang cantik, kepercayaan mahupun atas dasar taraf sosial dalam kalangan masyarakat.
Dilindungi
Kebanyakan penggemar haiwan eksotik kerap menjadikan burung dan reptilia seperti kura-kura dan ular sebagai binatang peliharaan.
Namun, terdapat kes terpencil apabila haiwan ganas turut dijadikan sebagai binatang peliharaan, kata Pegawai Kanan Komunikasi Traffic Southeast Asia (Traffic), Elizabeth John.
Elizabeth memberi contoh satu kes rampasan pada tahun 2003 iaitu seorang pemilik ladang kelapa sawit yang memiliki seekor harimau sebagai haiwan peliharaan.
Secara kasar, penjualan binatang liar sebagai haiwan peliharaan di Malaysia tidaklah begitu serius berbanding Thailand yang terkenal dengan Pasar Chatuchak di Bangkok. Di Vietnam pula, haiwan dijaja dengan mudah sama ada sebagai makanan atau haiwan peliharaan.
Di Malaysia, haiwan liar terlindung di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Dalam menguruskan kes penyeludupan, senarai rujukan kawalan Persidangan Perdagangan Antarabangsa dan Spesies Flora dan Fauna Terancam Dunia (CITES) diguna pakai.
CITES menyenaraikan tiga lampiran spesies dilindungi mengikut darjah perlindungan yang diperlukan.
Lampiran 1 mengandungi senarai spesies yang terancam dengan kepupusan. Perdagangan haiwan dalam lampiran itu tidak dibenarkan sama sekali kecuali situasi tertentu seperti penyelidikan. Di Malaysia, orang utan dan harimau termasuk dalam lampiran tersebut.
Lampiran 2 pula merujuk pada haiwan tidak semestinya terancam dengan kepupusan tetapi pemerdagangannya perlu dikawal bagi mengelakkan penggunaan melebihi bilangan yang masih hidup secara liar. Contoh haiwan yang termasuk dalam lampiran tersebut ialah semua spesies kura-kura dari seluruh dunia.
Sementara itu, lampiran ketiga merujuk kepada spesies tertentu di negara tertentu yang terancam populasinya dan khuatir ia didagangkan ke luar negara tersebut.
Haiwan eksotik yang boleh diperdagangkan memerlukan penjual dan pemiliknya memiliki lesen. Ia bertujuan supaya pihak berkuasa dapat memantau bilangan haiwan yang masih wujud di habitat liar.
Selain itu, data yang didapati daripada pengeluaran permit boleh digunakan dalam kajian terhadap impak kepada populasi haiwan dan manusia pada masa hadapan.
Impak haiwan liar sangat sukar dijangka seperti yang pernah berlaku sebelum ini seperti pandemik H5N1 atau selesema burung. Jika perlu lebih jauh lagi, penyakit AIDS dikatakan berasal daripada monyet.
Tambah Elizabeth, manusia belum mengetahui sepenuhnya bakteria yang terdapat pada haiwan yang hidup dalam persekitaran liar.
Strategi penyeludupan
Dari sudut penguatkuasaan perdagangan, menurut Pegawai Kanan Program Traffic, Kanitha Krishnasamy, 32, antara haiwan yang berada dalam Lampiran 1 dan 2, terdapat beberapa spesies yang seakan-akan sama.
“Perkara itu menyebabkan ramai penyeludup mengambil kesempatan ketika membawa masuk atau keluar haiwan terancam. Kedua-dua jenis haiwan dicampur menyebabkan berlaku kekeliruan.
“Apabila sampai ke destinasi, pekedai akan mempamerkan haiwan tersebut dan menjual pada harga yang sangat mahal,” kata Kanitha.
Sebagai contoh, burung kakak tua berjambul kuning merupakan antara haiwan yang berada dalam Lampiran 1 CITES.
Berasal dari Indonesia, ia diseludup dengan burung kakak tua berjambul sulfur yang berada dalam Lampiran 2.
Kata Kanitha, kedua-dua jenis burung kakak tua itu kelihatan sangat serupa dan senang memperdaya mata pemeriksa.
Terdapat juga beberapa jenis burung yang dipelihara disebabkan suara yang sedap. Misalnya, tiung mas yang berada dalam Lampiran 2.
Burung murai batu dan burung barau barau turut mempunyai pasaran kerana bersuara merdu.
Selain burung, kura-kura yang merupakan sejenis haiwan reptilia juga mempunyai pasaran dalam kalangan penggemar haiwan eksotik.
Paling berleluasa diseludup ialah kura-kura Indian Star dan spesies kura-kura radiated (Astrochelys radiata) yang tersenarai dalam Lampiran 1 CITES.
Corak pada cengkerang kura-kura tersebut sangat cantik dan ia menjadi daya tarikan kepada para penggemar haiwan eksotik.
Pada tahun 2010, pihak berkuasa Malaysia mematahkan satu penyeludupan yang menyaksikan lebih 300 ekor kura-kura itu dirampas bersama-sama lima ekor kura-kura Madagascar, 47 katak tomato dan beberapa ekor sumpah-sumpah.
Kura-kura radiated yang diseludup melalui jalan udara itu dirampas di pintu masuk negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Disebabkan persekitaran hidup haiwan itu tidak sesuai di negara ini, lebih separuh daripada bilangan yang dirampas menemui ajal, ujar Kanitha menggeleng kepala.
Sampuk Elizabeth, mesin pengimbas bagasi di kebanyakan lapangan terbang antarabangsa kadangkala tidak dapat mengesan sama ada berlaku penyeludupan haiwan atau tidak.
“Kura-kura Indian Star apabila disusun dalam beg pakaian dalam kuantiti banyak, corak pada cengkerangnya kelihatan sama seperti pola kain batik pada alat pengimbas,” terang Elizabeth.
Selain itu, banyak lagi kes rampasan yang dilaporkan oleh media seperti sepasang suami isteri dari Pekan, Pahang cuba untuk menjual bahagian anak harimau pada tahun 2010.
Ungkap Kanitha, siri rampasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dengan bilangan haiwan yang tinggi membuktikan binatang peliharaan eksotik mempunyai permintaan di Malaysia.
Melalui pemerhatian Elizabeth, sejak akta terbabit digubal semula dengan denda yang dikenakan lebih tinggi, para peniaga mula menjual haiwan eksotik secara dalam talian
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: