Thursday, December 6, 2012

Aksi merakam foto terbaik


AKSI Fakrul menggayakan kamera EOS 110D ketika menyertai pertandingan bagi menimba ilmu dalam dunia fotografi.


DARI jauh, pekarangan kompleks beli-belah Berjaya Times Square (BTS) di Jalan Imbi, Kuala Lumpur kelihatan meriah dengan segerombolan manusia yang berpakaian putih merah.
Di tangan masing-masing terdapat seunit kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) dari pelbagai jenama terkemuka. Semua mereka merupakan peserta bagi acara kemuncak Pertandingan Canon Photomarathon Malaysia 2012.
Daripada ribuan yang hadir, gelagat dua peserta cilik ternyata menarik perhatian media yang membuat liputan di sana. Mereka begitu asyik membelek kamera yang ada sebelum memulakan sesi perlumbaan merakam foto terbaik.
Ng Ta Chen, 6, mungkin boleh dianggap kanak-kanak bertuah kerana menjadi peserta termuda dalam pertandingan berprestij itu. Dia kelihatan tenang walaupun bersaing dengan jurugambar dewasa dan profesional.
Semai minat
Menurut ayahnya, Ng Kai Fong, 34, Ta Chen sudah mula memegang kamera pada usia empat tahun. Sejak itu, dia terus berminat dengan dunia fotografi.
“Anak saya gemar merakam gambar. Jika kamera ada di tangan, banyak jugalah gambar yang akan menjadi subjek lensanya.
“Jadi, apabila menyertai pertandingan ini, saya mengambil peluang untuk membawanya sekali bagi memberi pendedahan lebih lanjut tentang cabaran dalam dunia fotografi masa kini,” ujar Kai Fong yang turut ditemani isterinya.

SALAH seorang peserta mengambil peluang menggunakan kamera DSLR Canon 1DX bersama lensa jarak jauh yang disediakan oleh Canon sempena pertandingan itu.


Bagi Fakrul Shahril Ezanie Zulkifli pula, minat yang mendalam terhadap kamera membuatkan dia sanggup datang dari Melaka bersama rakan-rakan untuk menyertai Pertandingan Canon Photmarathon Malaysia 2012.
Berbekalkan kamera EOS 110D yang dibeli tahun lepas, Fakrul mengakui dia sekadar menimba ilmu melalui aktiviti tersebut.
“Saya tahu sukar untuk memenangi pertandingan ini, apatah lagi ia turut disertai jurugambar profesional dari seluruh negara. Justeru, saya cuma mahu memeriahkan program ini di samping menambah kenalan yang mempunyai minat serupa iaitu fotografi,” ungkap remaja berusia 13 tahun itu sambil tersenyum.
Ternyata, pertandingan sedemikian mampu menyuntik minat masyarakat untuk mendalami dunia fotografi yang semakin berkembang maju seiring kepesatan teknologi terkini.
Peluang terbaik
Pengarah Bahagian Produk Komunikasi Pengimejan Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (Canon), Simon Wong berkata, pertandingan tersebut berjaya menarik sebanyak 3,000 penyertaan di dua lokasi iaitu Kota Kinabalu, Sabah dan Kuala Lumpur.
“Canon PhotoMarathon sememangnya peluang terbaik kepada jurugambar amatur dan profesional mempamerkan bakat masing-masing dan penyertaan tahun ini disifatkan sangat luar biasa.

KARYA Rapid Mobility yang dirakam oleh Chee Hoe membawa tuah padanya apabila dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama.


“Ini adalah petunjuk bahawa industri fotografi di negara ini semakin diminati ramai,” ujarnya.
Daripada 3,000 penyertaan yang diterima, karya visual pokok oleh Shin Chee Hoe berjaya menambat hati juri sekali gus dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan tersebut.
Kemenangan itu membolehkan Chee Hoe mengikuti percutian ke Hungary selama lapan hari dan menyertai bengkel foto di sana. Selain itu, dia turut membawa pulang hadiah berupa badan kamera EOS 5DMark III Canon, pencetak Pixma Pro 1, tripod MT293A3 Manfrotto serta hadiah sampingan.
Pertandingan Canon Photomarathon Malaysia 2012 diadili oleh jurugambar profesional yang terdiri daripada Pengasas dan Pengarah Eksekutif Image Rom, Steve Koh; jurugambar yang berpengalaman 20 tahun dalam fotografi komersial, Joe Chan; Pengurus Jabatan Pengarang, Utusan Melayu (M) Berhad, Syed Agil Syed Jaafar; Editor Foto The Star Publications, Ng Kok Leong dan jurugambar terkemuka, Eddie Putera.
Sempena pertandingan itu, Canon juga menunaikan tanggungjawab korporat sosial (CSR) dengan menyerahkan cek berjumlah RM32,500 kepada Pegawai Eksekutif Perhubungan Awam Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Ramdass Nayar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: