Sunday, December 16, 2012

Belajar silat isi masa lapang

AHLI Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Bahagian Padang Terap, Kedah mengadakan latihan pada setiap malam minggu di gelanggang Kampung Musa, Padang Terap, Kedah.
AKSI mereka yang tangkas membuat gerakan tangan dan kaki secara sistematik saling tak tumpah seperti sekumpulan hulubalang Melayu sedang berlatih bagi membuat persediaan untuk mempertahankan kedaulatan sultan pada zaman kegemilangan Melaka dahulu.
Pergerakan tangkas yang dilakukan oleh kira-kira 50 anak muda itu diawasi beberapa orang penolong jurulatih silat.
Kumpulan silat itu nampaknya memberi sepenuh tumpuan ketika melakukan pelbagai gerakan berseni yang menjadi warisan Melayu.
Mereka yang lebih dikenali sebagai 'anak-anak gayong' daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Bahagian Padang Terap, Kedah mengadakan latihan pada setiap malam minggu di gelanggang Kampung Musa, dalam kawasan Parlimen tersebut.
Bagi kumpulan anak muda berkenaan, mereka memilih ilmu persilatan kerana beranggapan ia bukan sekadar untuk mempertahankan diri tetapi lebih utama adalah untuk membantu membina ketahanan dalaman, jati diri, disiplin dan pembentukan sahsiah tinggi.
Pengerusi PSSGM Bahagian Padang Terap, Mansur Mat, 46, berkata, ketangkasan dan kehebatan yang wujud dalam seni silat membuatkan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan muda terpaut hati untuk mempelajarinya.
Katanya, seni silat sebagai warisan Melayu unggul juga mampu menonjolkan satu budaya hidup yang sihat dalam kalangan rakyat negara ini.
"Berlatih silat bukan sekadar untuk mempertahankan diri atau mengisi masa lapang, tetapi silat juga mampu membentuk, memperkasa dan mendisiplinkan sesebuah masyarakat.
"Ini kerana ahli silat diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati orang tua, disiplin dan jati diri. Sebab itulah, ilmu persilatan mesti terus dikembangkan. Kalau tidak... akan hilang warisan Melayu ini," katanya kepada S2.
Mansur yang juga jurulatih PSSGM Bahagian Padang Terap berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 800 ahli pertubuhan yang terdiri daripada semua peringkat umur, bermula kanak-kanak tadika sehingga berusia 40 tahun.
Menurutnya, mereka mengadakan beberapa siri latihan pada setiap minggu di 11 gelanggang pertubuhan itu termasuk latihan wajib pada malam Sabtu.
"Kami kerap dijemput untuk membuat pertunjukan seperti dalam majlis yang dihadiri tetamu kenamaan dan kenduri bagi menyambut pengantin," katanya yang mula mengenali silat sejak berusia 12 tahun.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Padang Terap, Badrol Hisham Hashim berkata, orang ramai khususnya belia dan remaja wajar mempelajari ilmu silat untuk mempertahankan diri, selain menghindari mereka daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat.
Katanya, mempelajari ilmu itu boleh melahirkan golongan patriotik yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan tanah air, agama dan bangsa daripada diceroboh musuh negara.
"Umum mengetahui seni silat adalah budaya seni mempertahankan diri orang Melayu dan generasi muda mesti mempertahankannya kerana sumbangannya terhadap negara amat besar," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pelatih silat, Mohd. Hafiz Ahmad, 12, dari Kampung Padang Setoi berkata, dia gembira kerana ibu bapanya memberi galakan kepadanya untuk mempelajari ilmu persilatan yang amat diminatinya itu.
"Mereka memberi sokongan dengan menghantar saya ke gelanggang latihan walaupun diadakan pada sebelah malam. Mereka tahu saya berada di gelanggang silat dan bukan melakukan aktiviti tidak berfaedah," katanya.
Mohd. Khairul Azhar Sabri, 21, pula berkata, keindahan seni dan ketangkasan yang ada pada pencak silat membuatkan hatinya terpaut sehingga timbul minat yang mendalam untuk mempelajari seni mempertahankan diri tersebut.
"Minat sahaja tidak cukup untuk mempelajari pencak silat. Jadi, kena ada ilmu dan kecintaan terhadapnya, barulah seseorang dapat menghayati seni mempertahankan diri ini,'' katanya.
Seorang lagi pelatih, Fatin Syazwani Omar, 19, mengakui kini ramai golongan wanita sepertinya mendekati silat untuk mempertahankan diri dan sebagai mengisi waktu lapang termasuk pada sebelah malam.
Remaja dari Kampung Kubang Kenyeng itu berharap ilmu persilatan akan terus berkembang dan terus kekal sebagai warisan Melayu yang tidak ternilai.
Pendapat itu turut disokong oleh rakannya, Amirah Abdul Munim, 16, yang melihat banyak ilmu boleh dipelajari menerusi seni silat.
"Belajar silat dapat membuktikan wanita bukan kaum yang lemah. Pada masa yang sama, ia menerapkan nilai-nilai murni dengan mendidik diri untuk mengatur waktu, taat kepada ketua dan menghormati orang yang lebih tua," ujar gadis dari Kampung Padang Setoi ini.
Seorang lagi pelatih silat, Ammar Salimi Abdul Kadir, 23, dari Taman Desa Kenangan berkata, dia meminati silat sejak kecil kerana ketangkasan serta kehebatan seni mempertahankan diri itu.
Katanya, selain untuk mempertahankan diri dan kesihatan, mempelajari silat turut merapatkan hubungan antara ahli PSSGM Bahagian Padang Terap apabila kerap berlatih bersama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: