Monday, December 17, 2012

Bedroom Sanctuary hanya Bo

BO mahu menggunakan namanya sahaja iaitu Bo bermula tahun hadapan sebagai pengenalan diri. Dia akan meninggalkan nama Bedroom Sanctuary yang telah banyak menimbulkan kekeliruan terhadap status karier solonya.


MENANTIKAN kelibat berdua atau mungkin bertiga pemilik nama Bedroom Sanctuary pada petang hari Jumaat minggu lalu selepas janji untuk mengadakan sesi fotografi bersama Kosmo!, secara total telah mengubah persepsi asal.
Hanya yang muncul si vokalisnya. Pada telahan, barangkali ahli-ahli kumpulan itu yang biasa dilihat berdua atau bertiga tidak dapat hadir atas alasan tertentu.
Hakikatnya, apabila disapa oleh penyanyi yang memperkenalkan dirinya sebagai Bo, jangkaan semakin meleset. Hanya seorang diri, dia pantas mahu melunaskan sesi fotografi itu tanpa membuang masa.
"Bedroom Sanctuary adalah saya dan jenama itu diperoleh menerusi projek-projek lagu saya sebelum ini. Maka, Bedroom Sanctuary adalah artis solo yang hanya akan melibatkan ahli-ahli lain (kawan rapat) apabila perlu saja.
"Sama juga seperti Five for Fighting yang bergerak secara solo walau namanya berbunyi seakan-akan berkumpulan," jelasnya yang mengaku banyak kali mengelirukan beberapa pihak.
Belum pun nama Bedroom Sanctuary menjelajah minda umum, Bo atau empunya nama sebenar Mohd. Amir Iqram Mohd. Zaidi, 26, memberitahu agenda kariernya pada tahun depan.
"Saya akan menukarkan nama Bedroom Sanctuary ke Bo sahaja, rasanya lebih mudah.
"Saya juga tidak fikir perkara ini akan ada masalah. Ini kerana muzik saya masih sama cuma nama sahaja yang akan berubah. Saya percaya kekuatan itu datang dari muzik dan bukan bergantung kepada nama," ujarnya.
Memulakan karier di dalam bidang pengiklanan, Bo mengaku dia kini mahu lebih serius dalam bidang nyanyian.
"Saya merupakan penyanyi sepenuh masa dan bergerak di bawah label saya sendiri iaitu Pixelated Waves.
"Peralihan daripada muzik indie ke dalam arus perdana bukan mudah, namun itu cabaran yang perlu saya hadapi," katanya.
Album tiga bahasa
Berteraskan genre muzik akustik, jazz, pop dan sedikit raggae, tambah Bo lagi, perkembangan seninya dipacukan dengan kelahiran album sulungnya berjudul I Cant Draw So I Sing yang disasarkan pada awal tahun 2013.
"Album yang mengandungi 16 buah lagu itu sudah siap sepenuhnya dan akan dipasarkan kemungkinan besar pada bulan Januari 2013.
"Istimewa album itu kepada saya kerana mengumpulkan lagu-lagu terbaik sepanjang pembabitan saya dalam dunia seni bermula pada tahun 2008," jelas Bo yang tidak menyasarkan perkembangan genre muziknya pada masa akan datang.
BO melihat keterbukaannya berkongsi kisah peribadi seperti pengakuannya sudah mempunyai kekasih bernama Tina, tidak akan membuat popularitinya merudum.


Album terbaharu itu menggabungkan tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin. Kata Bo lirik berbahasa Mandarin diterjemahkan oleh nenek dan teman-teman rapatnya daripada lirik asal tulisannya yang berbahasa Malaysia.
"Sebenarnya, saya lebih suka mencipta lagu daripada menjadi penyanyi. Rasanya lebih selesa untuk berada di belakang tabir, bagaimanapun saya percaya setiap peluang itu memberi lebih sebab untuk kita berada lebih jauh ke hadapan," simpulnya.
Tuah Lagu
Terpilih antara finalis Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27) yang akan berentap bersama 11 buah lagu lain pada 6 Januari ini, Bo tidak sama sekali menduga akan kejayaannya hingga tahap ini.
"Single saya berjudul Lagu itu sebenarnya dicipta untuk sebuah iklan komersial tidak lama dulu. Bagaimanapun lagu itu mula popular apabila saya memuat naik video saya menyanyikan lagu itu ke laman YouTube.
"Lagu ini sebenarnya mengenai perjalanan kisah saya dan seorang wanita," katanya berkias.
Tersenarai antara 12 lagu yang bakal bertanding dalam AJL 27 nanti, kata Bo sasarannya cuma mengharapkan Lagu diputarkan di corong-corong radio.
Memberi reaksi terhadap kem'araannya ke final AJL 27, Bo menjelaskan: "Terkejut apabila diumumkan lagu ini bakal bertanding di sebuah pentas berprestij.
"Saya memang tidak menduga, namun dalam masa yang sama teruja sebenarnya. Ini buktinya bahawa muzik saya sudah diterima berbanding populariti atau persembahan.
"Bukan sekadar mencari kemenangan di pentas AJL, saya percaya pencalonan ini merupakan batu loncatan buat karier saya kelak," kata anak kedua daripada lima beradik itu.
Kekasih pengurus

BO mengaku lagu Lagu akan menjadi batu loncatan buat dia menempah nama sebagai penyanyi baharu.


Belum pun melangkah ke pentas AJL 27, sudah timbul bicara nakal yang kurang berpuas hati dengan pencalonannya tahun ini, apatah lagi berjaya pula menambat hati juri untuk mara ke peringkat akhir.
Bagaimanapun, Bo mempunyai prinsip mudah. Percaya bahawa peminat kini mampu membuat pilihan terbaik dan muzik pula beredar sejajar dengan masa.
"Saya fikir pada peringkat ini, orang masih belum kenal siapa saya, bukan mereka tidak berpuas hati terhadap karya saya, mungkin hanya mempersoalkan siapa saya.
"Perkara itu tidak menjejaskan saya. Saya sudah terlibat dengan bidang muzik agak lama, cumanya muzik yang saya pilih ini belum lagi dikenali.
"Kebangkitan beberapa kumpulan muzik seperti Salam Musik secara tidak langsung menyebabkan genre muzik yang saya bawa ini mula mendapat perhatian," ulasnya.
Terbuka dalam melontarkan kata-kata atau berkongsi kisah peribadi, kata Bo dia tidak segan untuk memperkenalkan kekasihnya yang juga merangkap pembantu peribadinya kini.
Jelas Bo dia bahagia bersama wanita bernama Tina yang dikenalinya lebih dua tahun lalu dan yakin bahawa keterbukaannya tidak memberi kesan terhadap populariti.
"Terus-terang saya sudah ada kekasih dan dia merupakan pengurus saya.
"Mudah untuk kami, dia akan berada di mana-mana sahaja bersama saya, bukan apa dia lebih memahami saya berbanding orang lain. Soal kahwin saya tidak fikir ia akan berlaku dalam waktu terdekat," ulas Bo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: