KALAU bercinta dengan suami orang kita perlu
hati-hati, mengkaji selain sabar. Pada peringkat awal, ketika di alam
percintaan kitalah putri, kitalah permaisuri, tetapi setelah berkahwin,
baru kita tahu siapa diri kita, sama ada kita bahagia ataupun sentiasa
makan hati kerana dimadu.'' Itu cerita NorEllyna dalam emelnya.
''Sebelum pembaca tertawakan saya, biar saya mengaku, memang saya
bodoh, cepat makan 'gula-gula' yang diberikah lelaki, kini setelah enam
tahun berkahwin dah dapat seorang anak, saya rasa macam sudah10 tahun.
Bukan madu yang saya dapat, tetapi racun berbisa.
''Banyak orang kata suami selalu memanjakan atau menyayangi isteri
kedua, tetapi bagi saya isteri kedua banyak dianiaya dan jadi mangsa
fizikal dan emosional, bukan sahaja oleh suami, lebih lebih lagi isteri
pertama.
''Tidak dinafikan ketika bercinta dan awal perkahwinan memang saya
disayangi, tetapi setelah setahun berkahwin dan isteri pertama tahu,
hidup saya kucar-kacir dan tidak aman.
''Tambah menyakitkan hati suami bukan jenis lelaki sejati, tahu
tanggungjawab apa bila berpoligami, sebaliknya jenis lelaki lemah lutut,
kena tengking terus kecut, bila rahsia terbongkar terus kalut tak
berani buka mulut. Sudah pasti orang yang jadi mangsa maki hamun dan
serang hendap tentulah saya. Macamlah saya yang gilakan suaminya.
''Sebenarnya bukan saya hendak sangat berkahwin dengan Shah, tetapi
dia memujuk dan berjanji menjaga dan membesarkan dua orang anak saya.
Kini bukan dia jaga anak saya, tetapi saya yang terpaksa uruskan
hidupnya.
''Selepas rahsia kami terbongkar, Shah beritahu, isterinya kawal
semua duit gaji, dia hanya diberi RM500 untuk kegunaan peribadi. Tidak
dibenarkan guna kad kredit. Dia dilarang ke rumah saya, tetapi Shah
tetap berdegil sebagai protes.
''Tiga tahun saya bersabar dengan kerenah isteri pertamanya. Waktu
itu hidup saya sempit, tanggungjawab bertambah kerana terpaksa tanggung
Shah, di samping menanggung dua orang anak yang sedang membesar kerana
bekas suami tak beri nafkah.
''Bukan tujuan saya berkahwin dengan Shah supaya dia tanggung saya
anak beranak, kerana saya mampu walaupun saya tak minta nafkah dari
bekas suami. Bukan sombong, tetapi saya tak mahu buang masa turun naik
mahkamah, habiskan duit bayar peguam, akhirnya sakit hati sebab bekas
suami tak mahu beri nafkah. Itu pengakuannya ketika bercerai.
''Katanya dia akan berhenti kerja kalau saya tuntut nafkah di
mahkamah. Dia biasa bertukar kerja semasa kami hidup bersama. Selama
berkahwin, saya yang tanggung makan minum kami anak beranak sebab dia
sibuk dengan urusan peribadi.
''Namun saya bersyukur berkat kesabaran, Allah memberi saya lebih
rezeki berbanding dia yang sentiasa berhenti kerja kerana tak puas hati
dengan majikan. Pada saya bukan salah majikan, tetapi dirinya yang tidak
boleh menyesuaikan diri dan memilih kerja. Lebih teruk dia berlagak
jadi bos, sedangkan dia kuli.
''Bukan saya sahaja ibu tunggal yang teraniaya tidak dapat nafkah
anak dari bekas suami, di luar sana lebih ramai. Ada yang habis ribuan
ringgit bayar peguam dan turun naik mahkamah tapi nafkah tidak dapat.
''Masalah ini perlu mendapat perhatian mahkamah syariah dengan
mengambil tindakan tegas kepada bekas suami yang tegar dengan memotong
terus nafkah anak sebaik perceraian diluluskan, jangan tunggu isteri
tuntut di mahkamah.
''Mahkamah Syariah juga jangan terlalu mudah nak nikahkan suami yang
ingin berpoligami tanpa melihat latar belakang sama ada mampu atau
tidak. Nak sekat mereka buat maksiat bukan dengan mudahkan poligami,
tetapi dengan bimbingan dan nasihat tentang tanggungjawab berkeluarga.
''Sebab itu bila nak kahwin dengan Shah saya ingatkan dia tentang
nafkah anak-anak dan isterinya. Saya tak mahu Shah tanggung dosa di
dunia dan akhirat kerana tak bagi nafkah dan tak bertanggungjawab.
''Kerana itu empat tahun saya jadi ibu tunggal sebelum ambil
keputusan berkahwin dengan Shah. Saya tak paksa Shah sara hidup
anak-anak saya, kerana dia ada tanggungjawab sendiri. Saya cuma mahu
seorang lelaki dalam hidup yang boleh jadi tempat bersandar apabila
dilanda masalah.
''Malangnya keadaan sebaliknya, saya jadi tempat Shah sandar harapan.
Sebelum ini memang ada lelaki bujang ingin berkahwin dengan saya, tapi
saya tolak, saya tak mahu bergaduh dengan keluarganya, mana ada ibu suka
anak terunanya kahwin janda anak dua. Jadi saya pilih Shah tapi ini
pula jadinya.
''Saya sedar masalah wanita bermadu. Saya sudah jangka, tetapi
langsung tak terfikir Shah pengecut. Saya tak kisah kalau isterinya
kawal gajinya untuk tanggung anak-anak kerana itu memang
tanggungjawabnya, tapi bukan bermakna saya kena tanggung Shah. Ini tidak
adil.
''Memang zaman ini payah nak cari lelaki yang betul-betul faham hukum
hakam poligami. Mereka cuma pandai cakap dan sibuk mempertahankan hak
berpoligami. Memang poligami halal. Tetapi masalahnya apakah mereka tahu
tanggungjawab kepada isteri pertama dan kedua?
''Saya tahu tanggungjawab Shah kepada keluarga, tetapi Shah dan
isteri pertama tak tahu tugas mereka mengikut Islam. Biasanya bila ada
poligami, maka akan ada isteri teraniaya.
''Pada kesempatan ini saya suka mengingatkan isteri pertama jangan
salahkan orang kedua jika berlaku poligami, yang bersalah adalah suami
anda sendiri? Saya tak paksa Shah kahwin dengan saya? Malah saya hidup
aman ketika jadi ibu tunggal, saya mampu sara hidup anak-anak saya.
''Kini setelah berkahwin hati saya tidak tenang, bukan kerana
bertambah beban untuk sara anak-anak, tetapi menanggung suami yang
sering kesempitan wang. Sedangkan dia bukan tanggungan saya.
''Saya tak salahkan isteri pertama yang sekat pendapatannya, tetapi
saya tetap menyalahkan Shah yang tak tahu tanggungjawab. Sebagai isteri
pertama anda wajib kaji diri anda apakah tindakan anda betul? Apa hak
anda sekat pendapatan suami? Adakah untuk membalas dendam?
''Kepada Shah, berpoligami bukan setakat memuaskan nafsu, tetapi
mesti tahu tanggungjawab, malangnya setelah enam tahun berkahwin anda
gagal dan tak layak jadi ketua kepada dua buah keluarga.'' Itu cerita
NorEllyna mengakhiri rasa kecewa berpoligami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: