Sunday, December 16, 2012

Ali Baba versi muzikal



DUNIA teater tempatan dilihat kian pesat dan meriah. Ada sahaja barisan judul teater yang menunggu tontonan. Lebih menyedapkan hati apabila apa sahaja judul yang diberikan baik di dunia komersial mahu pun indipenden, panggung dipenuhi dengan penyokong teater yang tersendiri.
Untuk bulan ini, teater dengan tajuk Muzikal Ali Baba bakal menemui khalayak pada 21 hingga 29 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pukul 8.30 malam.
Umum tahu akan penceritaan Ali Baba dan penyamun-penyamunnya. Khalayak juga rasanya sudah maklum dengan kecerdikan Marjina dan ketamakan Kassim Baba.
Untuk kali ini tugasan watak yang dekat dengan jiwa khalayak ini bakal digalas oleh Aznil Nawawi, Fizo Omar, Ebby Yus, Elfira Loy dan Najua P. Ramlee.
Teater yang dipimpin Lokman Ghani selaku sutradara ini bakal bergerak dalam atmosfera muzikal. Bakal berlagu nada-nada yang tidak asing dek pendengaran khalayak. Cuma yang dinantikan kini adalah perjalanan Ali Baba dan sekutunya dalam nafas baharu dan muzikal.
Ini bukan kali pertama kalian beraksi dalam teater. Boleh ceritakan pengalaman berteater sebelum ini?
ELFIRA LOY (EL): Untuk teater Ali Baba, saya sudah melakukannya pada tahun 2006, 2007 dan tahun ini. Dahulu buat watak kanak-kanak dan berseronok sahaja. Pada tahun 2007, saya berlapan mewakili Malaysia untuk sebuah festival. Untuk kali ini, saya membawakan watak Marjina yang lebih remaja dan sudah tentunya berbeza.
EBBY YUS (EY): Saya bermula dengan kumpulan Bangsawan Bintang Timur dan kemudian dengan kumpulan Bangsawan Gerbang di bawah pimpinan Rahim B. Sebenarnya, mula-mula saya belajar asas tarian. Kemudian apabila melihat Zulkifli Zain dah Hail Amir di Kompleks Budaya Negara saya tertarik untuk berlakon. Keinginan untuk mencuba bidang lakonan itu timbul. Dulu, kalau mahu bawakan watak pembantu pun perlu diuji bakat. Kena tunggu surat walaupun watak pegang tombak.
Bagaimana rujukan untuk watak kalian masing-masing kerana cerita Ali Baba ini sudah diketahui ramai?
EL: Saya pernah tengok filem Ali Baba dahulu, juga terlibat dalam, teater dengan tajuk yang sama. Saya beraksi berdasarkan apa yang saya lihat dahulu. Lokman Ghani selaku pengarah menyuruh saya lakukan dahulu mengikut pemahaman saya dan nanti akan diperbetulkan. Saya cuma bermain-main dengan karakter Marjina.
EY: Saya cuba mencari rentak menjadi Kassim Baba cara saya. Kalau boleh tidak mahu jadi S. Samsudin dulu yang bawakan watak ini. Tetapi jika tidak dapat juga rentak kerana masa yang singkat, jadi tidak salah menjadikan S. Samsudin sebagai rujukan utama.
Apa pula cabaran untuk teater kali ini?
EL: Cabaran paling besar saya adalah masa untuk latihan. Saya tidak ada masalah dengan tarian tetapi oleh kerana sudah lama meninggalkan bidang teater, jadi adalah rasa lenguh-lenguh badan.

EBBY YUS akan membawakan watak Kassim Baba dalam teater arahan Lokman Ghani yang akan dipentaskan pada 21 hingga 29 Disember ini.


EY: Untuk teater Arab ini, saya tidak begitu kenal temanya berbanding teater bangsawan. Apabila penonton anggap Ebby Yus akan keluar dengan komedi dan lawak akan lahir, itu menakutkan saya. Latihan saya juga tidak sampai sebulan, malah tidak sampai 20 hari. Tetapi memandangkan teater ini sudah ada jalan ceritanya, jadi agak mudah. Saya sangat percaya dengan pengarahan Lokman Ghani kerana dia seorang yang kreatif dan berani.
Apa pemahaman kalian tentang penceritaan Ali Baba itu sendiri?
EL: Saya memang bermula dengan teater Ali Baba jadi saya tidak sabar untuk melakukan teater kali ini. Saya melihat teater kali ini dengan sudut berbeza. Dulu lebih kepada keseronokan dan keceriaan. Tetapi sekarang watak remaja yang perlu saya tampilkan dalam teater kali ini. Lagu juga sudah berlainan.
EY: Saya melihat teater Ali Baba sebagai sebuah teater nasihat. Mungkin nanti orang akan lihat saya secara komedi walaupun saya tidak membuat lawak.
Apa komen Elfira tentang penggunaan wajah-wajah popular dalam teater kini?
EL: Saya tidak tahu kalau saya dipilih kerana wajah popular. Saya memang bermula daripada teater dan pernah berada dalam persembahan yang sama untuk beberapa tahun. Secara umumnya, saya melihat tidak semua teater yang menjadi dengan menggunakan wajah-wajah popular. Orang yang biasa tengok teater, dia akan pergi menonton kerana cerita dan bukan artis yang terlibat. Namun dengan adanya wajah baharu, ia dapat menarik perhatian penonton baharu untuk menonton dan menyokong industri teater tempatan. Populariti membantu daripada aspek itu.
Buat Ebby Yus yang sudah lama bergiat dengan dunia teater, apa perbezaan teater dulu dan kini?
EY: Teater dulu adalah teater yang lengkap dengan nyanyian, lakonan, tarian dan silat. Paling ketara daripada segi lakonan. Dulu bangsawan, intonasinya berbeza. Malah dahulu kita tidak ada istilah miming. Perlu projek suara. Sekarang sudah ada bantuan mikrofon. Tetapi teater sekarang saya nampak lebih kemas dan tepat malah lebih canggih. Tetapi daripada segi disiplin, dulu sangat kuat dan sekarang tidak sekuat dulu.
Kenapa teater sekarang dilihat longgar disiplinnya?

ELFIRA LOY menganggap kemunculan dirinya dalam teater kali ini lebih bersikap remaja berbanding dahulu.


E: Sebab pertama kerana peluang untuk buat teater itu mudah. Sebab kedua kerana orang anggap semua benda mudah.
Bagaimana pula sambutan terhadap dunia teater kini?
EL: Saya melihat masyarakat sudah faham dengan teater. Dulu sambutannya tidak semeriah sekarang. Ini adalah sebahagian daripada dunia seni.
Apa yang paling dipelajari melalui pembabitan dalam dunia teater?
EL: Menari, menyanyi dan berlakon. Saya kena marah dan dikatakan kayu sewaktu mula-mula berlakon teater. Apabila dilihat balik, memang berbaloi. Tidak senang dan bukan berseronok-seronok masuk ke dunia lakonan. Saya belajar dari bawah dan sebenarnya hampir setiap tahun saya buat teater. Saya tidak kisah dengan bayaran, yang saya kisahkan adalah pengalaman. Saya suka belajar dan kena marah.
EY: Disiplin perlu utama. Perlu tahu bila dan pukul berapa. Saya pegang pesanan orang tua tentang disiplin masa. Jangan susahkan orang. Kita bukan industri Hollywood atau Bollywood. Kita ada adat ketimuran dan larangan. Perlu ada budi bahasa. Dalam bebas perlu terbatas. Itu kena jaga. Anugerah paling besar dan ikhlas adalah apabila peminat hargai kita sewaktu di pentas. Apabila peminat gelak, itu anugerah paling jujur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: