Wednesday, September 12, 2012

Udang galah pemanis mi bandung

MI gulung

BILA sebut udang galah, terbayang kenikmatan menghabiskan nasi putih yang panas bersama lauk udang galah masak lemak cili api mahupun sambal.

Namun Restoran Bisik-Bisik menyuntik kelainan apabila menggabungkan udang galah bersama masakan terkenal dari Muar iaitu mi bandung.

Gabungan yang janggal tetapi ternyata memberikan kenangan manis kepada pelanggan semanis rasa kuah mi bandung dek kerana kesegaran udang galah yang datang dari sungai di Sabah itu.

Ujar pemilik restoran yang terletak di Shah Alam, Norhaliza Md. Yusop, 29, resipi mi bandungnya adalah asli dari kampungnya, Muar, tetapi diolah sedikit dengan menambah udang galah bagi memberikan pengalaman luar biasa menikmatinya.

“Rencahnya masih sama dan asli dari Muar. Udang kering, cili, bawang serta bahan lain dijadikan pes lalu dimasak bersama air rebusan daging yang kemudian turut ditambah udang galah yang memberikan rasa manis pada kuahnya.

“Udang galah yang menggantikan daging dalam resipi asal didapatkan dari Sabah kerana ia lebih besar dan segar berbanding udang galah di sini yang dibela.

“Udang galah turut digunakan dalam resipi tom yam kami yang memberikan rasa istimewa kepada sesiapa yang menikmatinya," ujar Norhaliza yang menyediakan sendiri mi bandung resipi keluarganya di Muar setiap hari bagi menjaga rasanya.

Restoran Bisik-Bisik turut mengangkat beberapa hidangan istimewa lain dari selatan seperti asam pedas daging tetel dari Melaka dan mi gulung yang terkenal di Batu Pahat, Johor.

Terangnya, asam pedas tersebut resipi yang diperturunkan oleh ibunya yang juga orang Melaka dengan mengekalkan keaslian terutamanya pada kepekatan kuahnya serta penggunaan daun limau purut yang mengeluarkan aroma menyelerakan.

Daging tetel yang merupakan campuran daging cincang digunakan bagi memberikan pengalaman baru kepada pemburu asam pedas sekitar Lembah Klang yang sudah bosan dengan penggunaan ikan di dalamnya.

Jangan lupa memesan mi gulung kerana ia jarang ditemui di restoran-restoran di sini. Rasa pedas dan manis pada mi gulung yang dibalut dengan telur lalu dituang sos ayam lada hitam pasti membuatkan anda mahu berkunjung sekali lagi ke restoran tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: