GAYANYA bersahaja, ceria dan lincah dengan tutur kata yang petah. Lagaknya persis pengacara profesional yang telah mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam dunia pengacaraan.
Tapi Nur Liyana Kamar Hisham, 26 tidak pernah berangan mahupun mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan televisyen.
Dia hanya seperti pelajar universiti biasa yang mencuba nasib dan akhirnya layak menjadi pengacara sebuah program di TV9, Safiyya.
Kata Nur Liyana yang senang dipanggil Liyana, semuanya bermula apabila seorang kenalan menghubunginya untuk satu uji bakat.
"Rasa macam berbelah bagi. Persoalan yang bermain di fikiran ketika itu kalau dapat macam mana nak berikan yang terbaik sebab langsung tiada pengalaman.
"Selepas berbincang dengan emak, saya mengambil keputusan menyahut cabaran. Selepas dua kali diuji bakat saya akhirnya dipilih untuk menjadi hos rancangan Safiyya.
"Sempat saya berpesan kepada bos supaya jangan meletakkan harapan tinggi pada saya. Tetapi syukur bos memberi semangat dan cuma mahukan saya melakukan aktiviti luar sahaja," cerita Liyana tentang pembabitan awalnya dalam dunia pengacaraan ketika ditemui di butik Bokitta, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.
Pelajar tahun akhir Sarjana Psikologi Klinikal dan Kaunseling di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, tawaran mengacarakan Safiyya datang ketika dia baru sahaja menyiapkan kerja kursus.
Jadi, apabila tawaran datang, ia umpama rezeki dan boleh dijadikan pendapatan sampingan buat dirinya yang masih belajar.
Malah menurutnya, dalam seminggu rakaman dibuat sekali atau dua kali sahaja.
"Saya sebenarnya tak pernah terfikir untuk menjadi selebriti. Dalam televisyen saya memang pengacara tetapi di luar saya tetap Liyana yang sama, tidak ada apa-apa yang berubah.
"Kalau diikutkan saya memang ada rasa gugup di pentas atau stage fright, setiap kali rakaman memang gementar. Tapi setelah dapat peluang mengacara, saya berjaya mengatasinya sedikit demi sedikit.
"Setiap kali ke udara, saya akan buat ulang kaji bersama penerbit. Dia akan tegur apa saja kesilapan yang berlaku. Dari situ sedikit demi sedikit saya pertingkatkan gaya pengacaraan saya," kata Liyana yang pernah berlakon dalam Impian Sunsilk, Gadis Semasa Sunsilk pada tahun 2009.
Ahli psikologi
Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya ada persamaan antara pengacara dengan ahli psikologi.
Kedua-duanya memerlukan kemahiran untuk 'memikat' minat orang lain untuk mendengar apa yang diperkatakan.
"Walaupun menceburi bidang pengacaraan, tidak bermakna saya melupakan cita-cita menjadi ahli psikologi.
"Mungkin ramai yang tidak jelas dengan kerjaya ini. Ia sebenarnya berkait rapat dengan bidang kaunseling dan psikiatri. Cuma ahli psikologi tidak boleh memberikan preskripsi ubat-ubatan kepada pesakit," katanya.
Berpeluang menjalani latihan amali di Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) tidak lama dulu, memberi pengalaman cukup berharga dan sukar dilupakan bagi Liyana.
"Pada mulanya memang mendebarkan berjumpa dan berurusan dengan pelbagai orang yang menghadapi masalah berkaitan mental. Tapi saya sendiri sukakan cabaran ini.
"Apa pun, pada saya kerjaya ini memang menarik kerana kita menolong insan yang tidak lagi boleh berfikir dengan sebaiknya.
"Banyak faktor yang menjadikan mereka sebegitu termasuk faktor keturunan, hormon dan sebagainya. Jadi sebagai masyarakat kita tidak harus memandang serong terhadap mereka," katanya.
Liyana turut menasihatkan bagi mereka yang merasakan ada ahli keluarga yang bertindak luar daripada kebiasaan patut merujuk kepada hospital supaya penyakit mereka boleh dikawal.
"Kalau perlu memang kena makan ubat, selain ubat, sokongan ahli keluarga juga penting agar penyakit tersebut tidak memudaratkan penghidapnya mahupun orang sekeliling mereka," jelas anak kedua daripada empat beradik itu.
Selain itu katanya, rakyat Malaysia bertuah kerana rawatan alternatif juga banyak ditawarkan di negara ini.
"Pernah satu kes di mana pesakit sebenarnya bukan sakit mental atau jiwa tapi di bawah pengaruh makhluk halus.
"Sebagai Muslim kita kena akui kewujudan perkara ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian.
"Latihan alami memberi pengalaman cukup berharga pada saya dan ia mengajar saya untuk bersyukur dengan segala kurniaan Allah.
"Memanglah penat apabila kena melayan dan mendengar masalah pesakit, tetapi inilah kepuasan bergelar ahli psikologi," ujar Liyana yang berharap rakyat Malaysia lebih bersikap terbuka dan positif menerima sama ada diri sendiri atau ada ahli keluarga yang mempunyai masalah tekanan dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: