Thursday, September 20, 2012

Taufan Isaac landa Louisiana


PENDUDUK yang terjejas teruk di Lousiana beratur untuk mendapatkan bantuan makanan.


BERPULUH-PULUH ribu orang masih lagi dalam keadaan bergelap pada hari Isnin awal bulan lalu di Louisiana dan Mississippi, Amerika Syarikat (AS).
Keadaan masih tidak berubah walaupun telah seminggu Taufan Isaac yang tidak pernah berlaku melanda kawasan pinggir teluk itu. Sehingga kini, kawasan-kawasan rendah masih lagi dibanjiri air.
Lebih kurang 100,000 penduduk yang tinggal di Lousiana dilaporkan tidak mempunyai bekalan kuasa. Itu termasuk beribu-ribu lagi penduduk di Mississippi dan Arkansas.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah melawat Lousiana pada Isnin, 3 September lalu dan mendekati persekitaran kawasan yang telah musnah di St. John.
Kawasan kecil itu ditenggelami air akibat keganasan Taufan Issac.
"Kami memberitahu mangsa bahawa kami di peringkat persekutuan sedang menyelesaikan kes ini secepat mungkin selain memastikan kemusnahan seperti ini tidak berlaku lagi serta memutuskan perkara yang perlu dilakukan," kata Obama kepada para pemberita di sebuah kawasan sejauh 50 kilometer di luar New Orleans.
Obama turut melawat kawasan kejiranan Ridgewood yang diperbuat daripada batu-bata. Halaman perumahan tersebut masih lagi memberikan peringatan betapa teruknya kesan ribut taufan yang berlaku akhir bulan lalu.

BARANGAN kelengkapan rumah yang rosak akibat ditenggelami air dilonggokkan di hadapan salah sebuah sebuah rumah.


Timbunan sampah sarap yang mengandungi penebat, perabot rosak dan permainan kanak-kanak memenuhi laman rumah. Obama sempat bersalaman dengan penduduk La Place.
La Place merupakan antara kejiranan yang teruk ditenggelami air selain beberapa penduduknya terpaksa diselamatkan dari atas bumbung dengan menggunakan bot.
Dalam keadaan panas yang membahang, Obama berjalan ke setiap rumah untuk menanyakan keadaan mangsa. Sampah masih lagi bersepah manakala air tidak menunjukkan sebarang tanda akan surut.
Di St. John, para penduduknya menghabiskan cuti umum mereka dengan menarik permaidani dan perabot yang basah ke tempat yang lebih bersih serta kering. Menggunakan peluntur dan air, mereka bertungkus-lumus membersihkan barangan itu dengan harapan kulapuk tidak merebak.

SEBUAH keranda terlambung keluar dari tanah selepas Taufan Isaac melanda sebuah kawasan perkuburan di Plaquemines.


Bau busuk
Di sebuah tempat yang ditenggelami air sedalam 60 sentimeter, sampah sarap, serpihan perabot dalam air yang tidak bergerak mengeluarkan bau yang sangat busuk tambahan pula suhu yang tinggi melebihi 30 darjah Celsius.
"Ia sangat panas dan kotor tetapi saya cuba untuk mengeluarkan semua lumpur dari rumah saya," kata salah seorang penduduk dis itu, Melton, 60.
Beberapa buah rumah selepas kediaman Melton, seorang lagi penduduk, Ed Powell berkata, Taufan Isaac telah menyebabkan dia berfikir sama ada untuk terus tinggal di situ.
"Saya tahu, tinggal di Lousiana sama seperti bertaruh tetapi kami tidak mahu menggadai nasib seperti ini. Apabila kamu rugi dengan cara begini, kamu rugi besar," keluhnya.
Tambah Powell, walaupun Obama dapat menyediakan penyelesaian atau pelan menangani masalah banjir di kawasannya, isu masa akan membatasi usaha tersebut.
Lebih 2,800 orang kini masih berada di pusat penempatan sementara di Lousiana. Angka tersebut telah menurun daripada 4,000 orang.
Jurucakap rasmi negeri tidak dapat menganggarkan bilangan orang yang masih memerlukan pusat penempatan sementara untuk tempoh yang panjang.
Ketua pejabat darurat negeri, Kevin Davis berkata, penempatan sementara termasuk hotel dan rumah sewa yang dipilih adalah berdekatan dengan kediaman kediaman penduduk yang musnah.
Ketua kawasan Plaquemines, Billy Nungesser berkata, ribut taufan kategori pertama telah melanda kawasannya dan tempat-tempat lain. Dia mengakui, kerosakan yang berlaku adalah lebih teruk berbanding ribut Katrina pada tahun 2005.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: