|
KEJAYAAN drama berjudul Juvana tidak dinafikan boleh dianggap sebagai fenomena dalam industri seni tempatan kita. Lebih menambah fenomena tersebut, rata-rata pelakon yang terlibat, berjaya menempah nama dan menambat hati masyarakat Malaysia dengan lakonan yang ditonjolkan.
Jika disebut nama, pasti ramai yang telah mengenali jejaka berkulit hitam manis, Syazwan Zulkifly yang memegang watak sebagai Apek dalam drama bersiri tersebut. Hari demi hari, bintang Syazwan kelihatan bersinar menerangi industri seni tanah air melalui bidang lakonan.
Sepanjang bergelumang dalam bidang lakonan selama hampir dua tahun, Syazwan dilihat sebagai seorang pelakon yang setakat ini bebas daripada kontroversi.
Ternyata, namanya dikenali melalui bakat yang dicurahkan melalui bakat lakonan yang dianggapnya sebagai tidak sengaja.
"Saya sebenarnya tidak sangka akan menemui kejayaan dalam bidang lakonan. Ia secara tidak sengaja dan mungkin rezeki saya di sini.
"Sebelum ini, saya berpendapat, jika saya punya karier lain, maka saya memang akan terlibat dengan industri perhotelan kerana sebelum menjadi pelakon, saya merupakan seorang bellman di Hotel Le Meridien dan Novotel, Kuala Lumpur.
"Minat menjadi pelakon mula timbul apabila saya menonton KL Drift. Saya akui pelakon lelaki yang saya minat selain aktor-aktor lama ialah Aaron Aziz.
"Melihatkan minat serta keterujaan saya terhadap lakonan Aaron, seorang teman menyarankan saya agar menghadiri sesi uji bakat sebagai pelakon baharu," imbau pemegang diploma jurusan Pemasaran dan Multimedia dari Kolej Multimedia TM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu mengenai titik permulaan dirinya dalam industri seni.
Perjalanan karier
Tidak menafikan Juvana banyak membantu dirinya dikenali, tutur pemuda berusia 25 tahun ini, dia mengakui semakin lama menceburi bidang lakonan ini, minatnya semakin mendalam.
"Ini semua rezeki bukan buat saya seorang, namun bagi pelakon-pelakon Juvana sendiri yang turut mendapat banyak peluang berlakon selepas drama rantaian tersebut berakhir.

SYAZWAN tidak malu untuk mengaku
hakikat dia pernah bekerja di hotel sebagai bellman dan tidak menyangka
rezekinya semakin luas dalam bidang lakonan.
"Alhamdulillah, rezeki saya sendiri semakin murah, barangkali kerana selain saya benar ikhlas mahu menjadi pelakon, saya telah dipertemukan dengan orang-orang yang tepat dalam industri ini yang banyak membantu saya menjadi lebih baik lagi hari ini," jelas Syazwan bersyukur dengan apa yang dikecapinya.
Memulakan karier dengan produksi Filmscape melalui drama Gemilang dan seterusnya Juvana, bekerja bersama produksi tersebut, membuatkan dirinya berasa selesa. Bagi empunya diri, pelakon seperti Bront Palarae, Beto Khusyairi, Tiz Zakiah, Azhanrani serta Zahiril merupakan antara pelakon yang hebat.
"Dapat bekerjasama dengan mereka merupakan salah satu pengalaman yang bagus.
"Ini kerana bagi pendapat saya, mereka merupakan barisan pelakon yang bagus dan menjadi terkenal bukan sebab publisiti murahan semata-mata, sebaliknya kerana keberkesanan dalam setiap karakter yang mereka bawa.
"Justeru, apabila bekerja bersama orang-orang begini, saya sebagai pelakon baharu, terikut dengan rentak kerja mereka. Makin lama, saya makin suka dan ingin lebih tahu dan mendalami ilmu lakonan," jelas Syazwan yang nyata sudah jatuh cinta benar dengan dunia seni yang baru menjadi padang permainan buatnya.
Impak watak
Bercerita lanjut tentang kariernya yang semakin berkembang, jelas anak jati Kuala Lumpur ini, biar masih ramai yang memanggilnya dengan karakter Apek lakonan dalam Juvana, namun harus diingat, dia kini telah berlari pantas meninggalkan sosok Apek.
"Jika dalam Juvana mungkin orang memanggil saya Apek. Namun setelah berlakon dalam Jangan Ambil Padang Kami, ada pula yang menggelar saya Arai.
"Kini, nama Loco mula melekat selepas drama rantaian Mana Hilangnya Juwita? ditayangkan. Begitu juga dengan drama dan telemovie yang lain," katanya yang tidak kisah dipanggil dengan nama watak yang dimainkan kerana beranggapan telah berjaya meninggalkan impak kepada peminat.
Biarpun begitu, hampir semua watak yang dimainkan Syazwan merupakan watak hitam seperti seorang gangster atau budak nakal. Ia dilihat agak stereotaip. Sedar akan senario tersebut, Syazwan punya penjelasan tersendiri.
"Sebenarnya saya memang seorang yang berperwatakan sedikit kasar, tidak kiralah apabila saya bersama rakan perempuan mahupun lelaki.
"Sejujurnya, saya memang gemarkan karakter yang jahat seperti watak gangster, namun ada yang pernah bertanya tentang karakter yang dianggap stereotaip sepanjang bergelar pelakon.
"Tapi sebenarnya, jika diteliti semula, memang watak yang saya bawa dalam beberapa buah drama atau telemovie ialah seorang yang kasar. Namun, watak kasar tersebut hadir dalam beberapa sub karakter yang dipelbagaikan dan hakikatnya, ia berbeza," jelas Syazwan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: