
SUZANA sentiasa mencari idea-idea baharu untuk memberi lebih pilihan kepada pelanggan.
PERSEPSI masyarakat yang lebih selesa menguruskan sendiri majlis perkahwinan berbanding menggunakan khidmat perunding perkahwinan kerana takut membayar mahal kini perlu diubah.
Ini kerana bayaran perkhidmatan tersebut bergantung kepada bajet mereka.
Pemilik butik pengantin Rins Suzana, Norli Suzana Abdullah, 32, menyifatkan bayaran mahal itu berlaku dalam situasi yang berlainan.
“Pelanggan harus meneliti sebelum membuat penilaian terhadap sesuatu perkhidmatan yang ditawarkan sama ada murah, mahal atau berpatutan.
“Pada pendapat saya, perkhidmatan profesional biasanya terjamin dari segi kualiti,” beritahu Norli Suzana.
Menurutnya, peranan perunding perkahwinan bukan sahaja membantu bakal pengantin mendapatkan harga pakej yang terbaik bahkan mereka bertindak sebagai pengawal bajet pelanggan agar sesuatu majlis itu berlangsung tanpa menjejaskan kemampuan kewangan pelanggan.
Perunding dan pelanggan juga boleh sama-sama menyumbangkan idea-idea baharu dalam memberikan kelainan kepada sesuatu majlis.
Gagal
Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam industri perkahwinan, Norli Suzana memberitahu, walaupun terpaksa menempuh kegagalan demi kegagalan ketika mula berniaga, dia tidak pernah luntur semangat.
Malah kegagalan itulah yang membuatkan dia bangkit berusaha bagi mencapai impian demi kesenangan diri dan keluarga.
Dia yang memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Rins Suzana Sdn. Bhd., membuat keputusan bijak apabila memilih bidang perkahwinan sebagai perniagaan walaupun ia jauh tersasar daripada ilmu yang dipelajarinya di universiti dahulu.
“Selepas tamat pengajian di universiti, saya terus berkahwin. Disebabkan status itu juga, saya sukar mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan saya dalam bidang sains komputer.
“Kebanyakan bakal majikan mempertikaikan komitmen saya jika menerima saya bekerja.
“Akhirnya, saya memilih jalan sendiri dengan membina kerjaya berasaskan minat dan kecenderungan saya.
“Apatah lagi suami ada memberi cadangan supaya saya membuka perniagaan sendiri secara kecil-kecilan di rumah dengan menggunakan wang hantaran perkahwinan sebagai modal permulaan pada tahun 2004.

BERBINCANG bersama kakitangan butik Rins Suzana menjadi rutin Suzana pada setiap hari Selasa.
“Mungkin tiada tuah dan pengalaman, perniagaan pertama itu gagal.
“Bagaimanapun, saya mendapat pengajaran iaitu saya mesti memperbaiki kelemahan sebelum bangkit daripada kegagalan lalu,” jelasnya yang disahkan hamil anak pertama selepas empat tahun berkahwin.
Tambah Norli Suzana, ketika dirinya disahkan hamil, dia dan suami mengalami masalah kewangan kerana semua wang simpanan telah dilaburkan untuk perniagaan yang baru bertatih itu.
Pada masa itulah timbul idea untuk menggunakan internet sebagai medium bagi menjual segala kelengkapan perkahwinan yang ada.
“Ternyata percubaan kami tidak sia-sia. Idea itu mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Bermula dari situ, kami menjadikan internet sebagai medium utama untuk menjalankan perniagaan.
“Sebelum mencapai kejayaan seperti sekarang, kami pernah berpindah ke lima lokasi dalam masa empat tahun semata-mata untuk mencari lokasi yang sesuai bagi perniagaan ini.
“Walaupun ramai yang beranggapan bisnes perkahwinan adalah satu industri kelas ketiga yang hanya diceburi golongan yang tiada pilihan kerja dan tidak berkelulusan tinggi, bagi saya ia merupakan satu landasan yang tepat untuk seseorang berkarya,” ujar isteri kepada Rudie Iswadie Ismail ini.
Minat seni
Dia memberitahu, jika sesuatu kerjaya berasaskan minat, hasilnya pasti memuaskan.
“Kami tidak pernah jemu meneroka rekaan baharu untuk diperkenalkan kepada pasaran melalui garapan idea saya dan suami.
“Kebanyakan idea itu diperoleh ketika keluar membeli-belah dan diolah semula mengikut cita rasa kami,” tuturnya sambil memberitahu, dia mungkin menjadi seorang pereka jika tidak terlibat dalam bidang perkahwinan kerana cabang seni adalah jiwanya.
Norli Suzana baru sahaja membuka cawangan pertamanya di Kota Bharu April lalu.
Tambahnya, butik Rins Suzana menyediakan semua keperluan perkahwinan di bawah satu bumbung termasuk solekan, busana, pelamin, fotografi dan makanan dengan pakej perkahwinan bermula daripada RM3,500 hingga RM30,000.
“Saya berhasrat untuk memiliki bangunan sendiri sebagai perancangan lima tahun akan datang.
“Saya juga bercita-cita untuk mengembangkan lagi cawangan butik Rins Suzana di beberapa lokasi lain,” kata wanita yang berasal dari Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: