Monday, September 24, 2012

Survival minyak wangi tradisional


BUNGA terpilih akan dimasukkan ke dalam periuk khas yang akan dididihkan untuk melalui proses penyulingan wangian.


JAUH di sebuah bandar, Kannauj yang juga ibu kota minyak wangi bagi India, beberapa orang pekerja tradisional berjuang seadanya bagi memastikan produk mereka terus hidup di sebalik persaingan sengit dengan pembuat wangian moden.
Persaingan itu adalah antara perniagaan kecil seperti syarikat penyulingan minyak aroma Pragati dan kumpulan global seperti Armani dan Chanel. Ia juga secara simbolik mencerminkan ribuan persaingan lain di seluruh India yang sedang mempertembungkan amalan kuno dan kuasa kemodenan.
Laxmi Narayan, 72, telah menghabiskan 30 tahun terakhir hidupnya membuat haruman attar, iaitu minyak wangi yang terhasil daripada kaedah warisan beribu-ribu tahun.
"Pembuatan attar adalah satu seni yang penuh ketelitian," kata Narayan di sebalik suasana berselubung asap tebal daripada bakaran kayu api di bawah periuk tembaga yang isinya menggelegak.
"Kami bergantung kepada naluri. Kami tahu attar itu siap menerusi bau dan rasanya," kata Narayan.
Sushil Singh, seorang penyelia di syarikat penyulingan yang berlokasi kira-kira 130 kilometer dari ibu negeri Lucknow di Uttar Pradesh, percaya bahawa mesin tidak boleh menggantikan skil tangan yang berpengalaman.
"Bau akan hilang jika kita mula menggunakan mesin. Bagi kami, attar adalah kehidupan," ujar Singh.
Setiap pagi, petani tempatan berhampiran Kannauj memetik bunga mawar, melati dan kelopak bunga lain hingga penuh sebuah beg. Mereka akan menjualnya kepada kilang penyulingan minyak wangi berdekatan yang boleh ditemui di sepanjang sisi bandar yang sunyi itu.
Penyulingan bunga
Dalam proses yang boleh mengambil beberapa hari untuk disiapkan, bunga dicampur dengan air dan dipanaskan dalam periuk tembaga. Wap aromatik kemudiannya dipindahkan melalui paip buluh ke dalam bekas yang mengandungi minyak cendana. Ia bertindak sebagai asas untuk attar.
Walaupun attar masih popular dalam kalangan peminat wangian semula jadi, ia semakin dijauhi pengguna yang obses terhadap jenama di India. Golongan tersebut memilih produk asing sejak reformasi ekonomi sekitar tahun 1990-an.
Peningkatan kos bahan mentah, khususnya minyak yang terpaksa diimport kerana pengeluaran yang terhad di India juga antara penyebab utama perubahan cita rasa.
"Industri attar bertungkus-lumus untuk terus hidup," kata Naib Presiden Persatuan Haruman dan Perisa India, Rohan Seth. Ia sebuah persatuan yang menjadi payung untuk kira-kira 800 ahli perniagaan.
Terletak di tebing Sungai Gangga, bandar Kannauj pernah menjadi pusat perdagangan utama bagi minyak wangi dan rempah serta sutera di India yang suatu masa dahulu dihantar ke Asia Barat.
Bandar dengan populasi 1.7 juta orang itu mencapai kemuncak kegemilangan pada abad ketujuh apabila ia menjadi pusat empayar yang diketuai seorang Raja Hindu iaitu Harsha Vardhan.
Selepas itu, syarikat wangian tempatan membekalkan minyak wangi kepada Maharaja Moghul yang memerintah India selama hampir 300 tahun.
Kewujudan kubu-kubu yang luas dan patung diraja yang masih berdiri kukuh di Kannauj pada hari ini menjadi bukti kegemilangan bandar itu pada masa silam.
"Ini bandar minyak wangi negara untuk beribu-ribu tahun. Kannauj di India samalah seperti Grasse di Perancis. Di sini, pembikinan minyak wangi adalah seni. Ia adalah sebahagian daripada budaya dan warisan rakyat," kata Timbalan Pengarah Pewangi dan Pusat Perisa (FFDC), Shakti Vinay Shukla.
Fungsi pusat yang dikelilingi pokok serai, pudina dan inai itu adalah untuk membantu petani dan pembuat minyak wangi. Ia adalah sebagai usaha untuk mengekang kekurangan bilangan kilang penyulingan.
"Bandar ini dipenuhi hampir 700 buah kilang penyulingan minyak wangi sehingga akhir 1990-an.
"Sekarang angka tersebut turun kepada kira-kira 150 buah kilang sahaja. Alternatif penggunaan kimia dan minyak wangi berasaskan parafin yang jauh lebih murah menyebabkan mereka membuat pilihan sedemikian untuk perniagaan. Ia sekali gus mengubah cara tradisional yang sekian lama dijalankan," kata Pulkit Jain daripada syarikat penyulingan minyak aroma, Pragatis.
Pewangi murah
Di jalan-jalan berliku yang sempit di sebuah kawasan lama New Delhi, Praful Gundhi, 49, masih berniaga seperti biasa. Dia menjalankan perniagaan minyak wangi yang diasaskan oleh keluarganya sejak tahun 1816. Dia mempunyai pelanggan daripada golongan berada hinggalah kepada mereka yang mencari pewangi murah.
Kedainya, Gulab Singh Johrimal, menyimpan minyak wangi dalam botol kaca berwarna yang diukir cantik dan dipapar kemas di atas rak-rak kedainya.
Para pekerjanya pula memastikan intipati pewangi tidak hilang di udara kerana sibuk melabel botol dengan nama-nama seperti Iceberg, White Musk dan Sandal Gold.
"Pelanggan Islam merupakan pelanggan terbesar bagi kami di sini kerana mereka tidak menggunakan minyak wangi berasaskan alkohol," kata Gundhi.
Tambahnya, dia biasanya mengenakan harga 14,000 rupee (RM700) untuk 10 mililiter minyak wangi bunga ros tulen, tetapi bagi minyak wangi sintetik, ia boleh didapati pada harga semurah 400 rupee (RM18).
"Ia adalah mengenai rasa dan pilihan. Peminat sebenarnya tidak kisah berbelanja selagi dia berpuas hati dengan kualiti."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: