Wednesday, September 19, 2012

Restoran Arab beri pilihan gastronomi


KEBANYAKAN restoran Melayu menyajikan menu nasi campur dan makanan bergoreng.


MASYARAKAT negara ini yang mahu menikmati makanan Arab, kini tidak perlu pergi ke negara-negara Asia Barat. Sebaliknya, mereka boleh menikmatinya di negara ini kerana bilangan restoran Arab yang dibuka boleh didapati di mana-mana terutama di ibu negara.
Bahkan, para pemilik restoran Arab ini tidak kisah untuk mengeluarkan belanja jutaan ringgit bagi membuka restoran di lokasi-lokasi strategik seperti di Jalan Ampang dan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan masakan Arab dengan suasana sama seperti di Tanah Arab, pengusahanya bukan sahaja menggaji chef dari negara tersebut malah menggunakan perhiasan dan muzik dari negara berkenaan.
Lubuk emas
Hasilnya, restoran Arab yang agak asing sedekad lalu dalam kalangan rakyat tempatan kini menjadi salah satu destinasi pilihan untuk menjamu selera bersama rakan dan ahli keluarga.
Selain itu, kewujudan restoran masakan Arab juga dapat menarik kedatangan pelancong dari Asia Barat ke negara ini. Ini kerana masyarakat negara berkenaan lebih selesa menikmati makanan dari negara mereka berbanding makanan lain.
Persoalannya, adakah kemunculan restoran-restoran Arab ini menjejaskan pengusaha restoran Melayu di bandar-bandar besar?
Berdasarkan tinjauan penulis di beberapa restoran di Kuala Lumpur mendapati, pengusaha restoran atau gerai-gerai makanan tempatan mengalu-alukan kewujudan restoran Arab.
"Kawasan segi tiga emas seperti Bukit Bintang misalnya, merupakan lubuk emas kepada para peniaga, selain pelanggan yang bekerja di sekitar kawasan ini, ia juga merupakan tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
"Jadi, para pelanggan kita tidak tertumpu kepada sesuatu kaum, kewujudan restoran Arab juga bukanlah satu saingan malah membantu menarik lebih ramai orang datang ke kawasan ini," kata Anwar Khalid, 30, pengusaha Suasana Cafe di Jalan Bukit Bintang.
Kemampuan peniaga-peniaga Arab melabur berjuta-juta ringgit Malaysia bagi membuka restoran berkonsepkan Asia Barat cukup berbeza dengan restoran tempatan.
Ia membantu kawasan Bukit Bintang sebagai salah satu destinasi utama pelancong menjamu selera di ibu negara sekali gus meningkatkan pendapatan pengusaha restoran.
Anwar berkata, perniagaannya bukan sahaja tidak terjejas malah para pelancong luar termasuk warga Arab turut menjadikan restorannya yang menawarkan menu 1Malaysia termasuk asam pedas sebagai pilihan menjamu selera.

OPERASI kafe Suasana yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur ini tidak terjejas meskipun dengan kemunculan restoran-restoran Arab berhampirannya.


"Orang tempatan hanya pergi ke restoran Arab pada hari-hari tertentu kerana harga di restoran berkenaan biasanya lebih mahal berbanding restoran Melayu.
"Selain itu, rakyat tempatan juga sudah biasa menikmati asam pedas dan masakan Melayu lain, jadi restoran Melayu adalah pilihan utama mereka untuk menjamu selera," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pemilik restoran Appah's Place, Nooraini Jamal, 51, turut menyambut baik pertumbuhan restoran Arab di ibu kota.
Sejak tiga tahun lalu, terdapat dua restoran Arab yang terletak kira-kira 500 meter dari restoran Nooraini yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan sebuah lagi restoran Arab sedang dalam pembinaan.
Harga murah
"Kafe saya menawarkan masakan Melayu iaitu nasi campur dan makanan panas. Pelanggan saya paling ramai ketika makan tengah hari manakala restoran Arab lebih ramai pelanggan pada waktu malam.
"Selain warga tempatan, orang-orang Arab juga ada berkunjung di restoran saya malah mereka mengatakan harga yang kami tawarkan sangat murah. Justeru, saya menyangkal dakwaan restoran Arab menjejaskan peniagaan kami," katanya yang telah berniaga sejak 18 tahun lalu.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Bahrim Razak berpendapat, kehadiran orang Arab melabur dan membuka restoran di negara ini sebagai satu perkembangan yang baik.
Umat Islam juga lebih yakin untuk menjamu selera di restoran Arab berbanding restoran Jepun atau Korea yang belum pasti status halalnya.
"Restoran Arab ini diuruskan oleh golongan profesional dan mereka berkemampuan melabur di kawasan orang Melayu yang sukar untuk membuka perniagaan kerana faktor modal," katanya.
Tambah Bahrim, orang ramai tidak perlu prejudis dengan pembukaan restoran Arab di negara ini kerana ia boleh membantu membangunkan ekonomi negara terutama masyarakat Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: