Sunday, September 23, 2012

Remaja terlalu bebas?

ERSOALAN itu pasti akan menimbulkan pelbagai jawapan sama ada bersetuju mahupun tidak bergantung kepada siapa dan mengapa dia memberi jawapan berkenaan.
Mungkin bagi mereka yang telah berusia beranggapan bahawa remaja negara ini semakin rosak dan tidak lagi mengamalkan cara mereka terdahulu.
Norma-norma kehidupan Timur semakin terhakis akibat daripada kemasukan budaya luar seperti rock, skin head, punk dan sebagainya.
Walau apa jawapan yang diberikan terdapat pro dan kontra mengenai perkara tersebut.
Kali ini, krew .com mendapatkan jawapan dan pandangan daripada remaja sendiri mengenai apa yang berlaku terhadap remaja hari ini.
Hanya remaja yang kenal remaja, jadi ia perlu ditanyakan kepada remaja apakah sebenarnya yang berlaku kepada mereka hari ini. - AMIRUL/FAIRUZ
KEBANYAKAN remaja kini terlampau mengikut budaya Barat seperti kumpulan skin head dan punk yang mana banyak mempengaruhi budaya tidak sihat.
Sebagai contoh ketika malam sambutan Hari Kemerdekaan yang lalu, pelbagai aksi dapat disaksikan terutama di tempat tumpuan seperti Pavillion mahupun di Menara Berkembar Petronas yang mana mereka langsung tidak mencerminkan adat orang Timur.
Namun ia adalah sebahagian sahaja remaja yang melakukan perkara tersebut, ada juga remaja yang masih dianggap baik.
Bagi diri saya, saya lebih suka untuk tidak menyertai mana-mana kumpulan dan lebih selesa bergerak sendiri.
Jadi terpulanglah, masing-masing ada pendapat sendiri asalkan jangan hanyut dengan keseronokan yang akhirnya merosakkan.
MUSTAKIM MUSTAFFA, 25
Pelajar
TANGGAPAN orang luar (orang dewasa) melihat remaja semakin rosak adalah tidak benar, kerana masih ramai remaja yang baik dan tidak terlampau terikut dengan budaya Barat.
Sebagai contoh rakan sekolah saya, mereka boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan, ada yang terlalu bebas, ada juga yang biasa sahaja dan ada juga boleh dikatakan sebagai ‘anak mak’.
Jadi, tanggapan sebegitu perlu melihat keseluruhan bukan hanya menuding jari ke arah satu kumpulan sahaja dan terus membuat sesuatu andaian.
Dalam usia sebegini, mereka suka mencuba benda baru. Jadi pelbagai perkara yang mereka akan lakukan.
YUSSIRA YUSNIZAM, 15
Pelajar
APABILA ada orang yang mengatakan bahawa remaja hari ini telah rosak mahupun terlalu bebas mungkin bagi saya ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan.
Sebenarnya, tidak semua daripada mereka ini terlalu mengikut budaya luar yang tidak sihat kerana ramai juga yang masih melakukan aktiviti berfaedah.
Biasalah kalau seorang yang buat salah semua akan terkena tetapi, dalam situasi ini remaja itu sendiri perlu pandai memilih kumpulan mahupun kawan.
Pendirian dan jati diri juga perlulah kuat untuk memastikan budaya yang kita amalkan sejak kecil tidak rosak dihambat oleh pelbagai masalah sosial hari ini.
Mungkin kita tidak sama dengan mereka namun kita masih boleh memilih yang mana baik dan buruk.
MUHAMMAD RIDHWAN ABDUL JALIL,17
Pelajar

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: