Monday, September 24, 2012

Perjuangan calon

LANCAR...proses penamaan calon di UKM minggu lalu berjalan lancar tanpa dicemari isu panas.
LANCAR...proses penamaan calon di UKM minggu lalu berjalan lancar tanpa dicemari isu panas.
PILIHAN raya kampus yang berlangsung sepanjang minggu ini di kebanyakan institusi pengajian tinggi awam negara dijangka bakal membawa pelbagai pembaharuan berbeza.
Paling nyata apabila calon bertanding atau mahasiswa yang bakal membuat pemilihan pastinya menggunakan pindaan ke atas Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai landasan menjalankan tanggungjawab masing-masing.
  
  • Foto JANGAN LAKUKAN....jangan lakukan tindakan atau perlakuan merugikan sekali gus mengundang kekecohan yang menjejaskan proses pilihan raya kampus - Gambar hiasan.
  • Foto UNDI...mahasiswa hari ini diyakini semakin matang menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan membuat pilihan terbaik. - Gambar hiasan.
  • Foto INGIN TAHU...mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk melihat nama calon yang bakal bertanding.
  • Foto PELBAGAI...perang poster untuk memancing perhatian pengundi ada di mana-mana. - Gambar hiasan.
Bagaimanapun, pasti timbul persoalan sama ada ia digunakan dengan baik atau masih mencetuskan kontroversi sekali gus menyaksikan pertembungan hangat antara calon pro-mahasiswa dan aspirasi dengan perjuangan manifesto masing-masing.

Justeru, apakah jangkaan bagi pilihan raya kampus pada tahun ini? Adakah pro-mahasiswa terus melebarkan sayapnya atau pun dapat ditangkis aspirasi?

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Ahmad Shukran Shaharudin berkata, pertembungan calon dari kedua-dua belah pihak yang bertanding di institusi itu dijangka sengit.

Menurutnya, sebagai Majlis Perwakilan Pelajar yang menguasai UKM selama setahun, pihaknya bertungkus-lumus berusaha bagi memastikan kemenangan besar mampu diraih.

“Sejak diberi mandat pada tahun lepas, kami sentiasa berusaha menunaikan janji yang dibuat kepada mahasiswa terutama dari aspek menjaga kebajikan.

“Dan itulah juga antara yang kami perjuangkan pada pilihan raya kampus kali ini dan berharap diberi kepercayaan sekali lagi untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

“Persaingan dijangka sengit kerana setiap calon pasti mempunyai manifesto sendiri dan memastikan kemenangan. Saya berharap semuanya menjalankan tanggungjawab dengan baik sekali gus memilih calon yang benar-benar berkebolehan,” katanya.

Kedua-dua pihak yang bertanding di UKM juga bersetuju pada dasarnya bahawa pilihan raya kampus tahun ini berjalan lancar tanpa dicemari insiden besar yang memalukan.

Timbalan Ketua Jentera Satu Aspirasi UKM, Wan Ahmad Shukrie Wan Daud berkata, hingga hari penamaan calon minggu lalu, semua yang bertanding tidak menimbulkan kekecohan selain yakin semuanya berjalan lancar.

“Biarpun kedua-dua pihak semakin agresif melakukan kempen, semuanya terkawal dan keadaan ini amat melegakan terutama kepada pengundi. Ini juga menunjukkan mahasiswa semakin matang.

“Bagi aspirasi pula, kami sudah lama merangka pelbagai strategi sebagai persediaan merampas kembali tampuk pemerintahan pelajar. Ada banyak isu yang diperjuangkan terutama kegagalan Gabungan Mahasiswa dalam melaksanakan pesta konvokesyen yang mencemarkan imej universiti, baru - baru ini,” katanya.

Pilihan raya kampus di negara ini, meskipun hanya membabitkan penyertaan mahasiswa, ia sentiasa dibelenggu kontroversi panas terutama di beberapa institusi terpilih.

Malah, pilihan raya kampus yang diadakan lewat dari tarikh kebiasaan pada tahun ini juga dijangka memperjuangkan beberapa isu semasa yang relevan dengan permintaan antaranya kebebasan bersuara selaras perubahan akta AUKU selain keazaman tinggi aspirasi menawan kembali kubu institusi yang dikuasai pro-mahasiswa.

Sementara pro-mahasiswa pula menjangkakan penambahan penguasaan di institusi tertentu rentetan persiapan jentera yang dilakukan sejak awal.

Diyakini tiada insiden buruk bakal tercetus seperti tahun lalu kerana mahasiswa dilihat semakin matang membuat keputusan kecuali isu panas yang berlaku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, minggu lalu. Ia membabitkan tindakan pihak tertentu menyiar dan memuat naik sepucuk surat palsu yang kononnya ditulis Perdana Menteri kepada Rektor UIAM menjelang pilihan raya kampus universiti itu dijadualkan esok.

Minggu lalu hanya lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang memulakan proses pilihan raya awal iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Sepanjang minggu ini, 15 IPTA memulakan proses pengundian termasuk di beberapa kubu kuat pro-mahasiswa seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia dan UM.

Mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, isu kalah atau menang bukan pokok utama perjuangan mahasiswa di universiti terbabit sebaliknya aspek kebajikan dititik beratkan.

Menurutnya, sama ada pro-mahasiswa yang bakal meneruskan tampuk pemerintahan atau aspirasi yang bakal mengambil alih, kepentingan terhadap kebajikan mahasiswa haruslah diutamakan.

“Inilah asas perjuangan yang perlu menjadi pegangan setiap calon bertanding. Pilihan raya kampus bukanlah tempat untuk menjadi ‘raja’ tapi sebenarnya berkhidmat untuk mahasiswa.

“Paling penting, penjagaan aspek kebajikan mahasiswa. Inilah yang perlu diperjuangkan setiap calon bertanding tanpa mengira aspirasi atau pro- mahasiswa.

“Sama ada kemenangan atau kekalahan berpihak pada mereka, yang perlu diperjuangkan adalah penjagaan kebajikan kerana atas dasar itulah mahasiswa lain membuat pilihan iaitu mahu kebajikan mereka dijaga,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai mantan yang menguasai barisan pro-mahasiswa, beliau meminta supaya pilihan raya diadakan dapat dilakukan dengan adil.

“Pro-mahasiswa amat mengharapkan pilihan raya ini dilaksanakan dengan adil tanpa campur tangan pihak berkepentingan atau terpaksa mengikut telunjuk kerenah birokrasi.

“Ini adalah hak eksklusif mahasiswa untuk memilih, jadi jangan disekat cuma lakukan pemantauan supaya semuanya dapat dilaksanakan dengan telus,” katanya yang optimis pro-mahasiswa pasti terus menguasai kubu UM sekali lagi.

Mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Muhammad Afiq Fikri Mislan pula berkata, biarpun sebelum ini dicemari beberapa insiden panas dan memalukan membabitkan mahasiswanya, UPSI juga dijangka melalui proses pengundian dengan aman.

Menurutnya, insiden berkenaan tidak menjadi kudis kepada mahasiswa lain untuk membuat pilihan masing - masing.

“Saya percaya mereka tidak mudah disogok dengan isu atau propaganda pihak tertentu terutama yang hanya ingin memporak perandakan keharmonian sedia ada.

“Malah mereka sebenarnya sudah tidak mempunyai isu pun kerana selama ini apa yang disuarakan sudah didengar dan diperbaiki.

“Saya harap pengundi boleh membuat pilihan bijak dan pandai membuat penilaian. Tunjukkan sikap kedewasaan dan kematangan untuk melalui proses ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga berpendapat tidak perlu lagi tindakan semberono atau agresif semata - mata mahu melaungkan perjuangan.

“Mahasiswa hari ini sebenarnya semakin matang kerana mereka memperoleh akses maklumat tanpa sempadan. Malah, tidak perlu lagi budaya seperti mengeji, mengejek dan propaganda kerana ia hanya menunjukkan kedangkalan sendiri sekali gus mengecilkan lagi peluang untuk dipilih.

“Diharapkan pilihan raya kali ini berlangsung aman terutama di institusi yang menjadi kubu kuat sama pro-mahasiswa atau aspirasi. Tunjukkan keikhlasan dalam memperjuangkan nasib mahasiswa yang mengundi dan memberi kepercayaan,”
katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: