Tuesday, September 18, 2012

Pencemaran sungai di Jawa Barat


SUNGAI Citarum merupakan kawasan tumpuan bagi penduduk Sukamaju untuk membasuh pakaian.


HAMPARAN sawah padi yang menghijau, layang-layang berterbangan di udara dan suara kanak-kanak ketawa keriangan menghiasi suasana kampung Sukamaju yang terletak di bahagian Jawa Barat, Indonesia.
Namun di sebalik suasana indah itu, bau busuk menusuk hidung penduduk di situ. Longgokan sampah dan plastik yang mengalir dalam aliran Sungai Citarum membunuh keindahan kampung tersebut.
Sungai sepanjang 297 kilometer itu dianggap sebagai tong sampah akuatik yang merentasi Kepulauan Jawa dan pusat bandar raya Indonesia iaitu Jakarta.
Dilabel sebagai kawasan yang tercemar di dunia oleh agensi suruhanjaya kerajaan tempatan dan badan bukan kerjaan (NGO) yang terlibat dengan tahap kebersihan, sungai tersebut merupakan satu-satunya sumber air kepada 15 juta rakyat Indonesia walaupun ia berisiko kepada kesihatan dan tanaman penduduk di negara itu.

WALAUPUN kerajaan Indonesia telah melancarkan projek memulihara Sungai Citarum sejak 15 tahun lalu, sungai yang menjadi sumber air republik itu masih tercemar.


Sungai tercemar
Di Sukamaju, terdapat sebuah telaga di dataran kampung itu yang dijadikan tempat tumpuan orang ramai membersihkan diri. Telaga tersebut disambung terus dari terusan berdekatan.
Seorang penduduk kampung, Noor, 40, mempunyai tompok putih pada lengan beliau sejak enam bulan yang lalu.
"Setiap hari saya membasuh pakaian di sungai ini dan pada mulanya lengan saya hanya mengalami gatal-gatal. Ini merupakan kesalahan kilang-kilang yang telah menyebabkan sungai tercemar.
"Saya tidak mempunyai wang untuk berjumpa doktor dan sehingga kini saya tidak tahu penyakit yang saya hidapi," ujarnya.
Sukamaju terletak tidak jauh dari pusat bandar Jawa Barat iaitu Bandung. Lembangan Bandung merupakan salah sebuah pusat bersejarah dalam perkembangan industri tekstil di republik itu.
Di lembangan itu, terdapat 1,500 kilang yang menumpahkan 280 tan sisa toksik sehari ke Sungai Citarum.
Terusan Sukamaju terletak di antara sawah padi dan air dari terusan itu mengalir melalui sawah yang bertukar warna hitam.
"Ini terjadi kerana pewarna tekstil dari kilang-kilang. Warna-warna itu berubah pada setiap dua jam bergantung kepada pembuangan pewarna yang telah digunakan dan ia telah memberi kesan kepada kualiti padi yang ditanam," luah Deni Riswandani tidak hati.
Menurut Deni, kini hasil padi di kawasan tersebut telah menyusut sehingga 50 peratus. Di pinggir sawah padi, terdapat sebuah bangunan besar yang berwarna kelabu yang turut dilengkapi dengan beberapa cerobong dan dikelilingi kawat berduri.
Di sebelah pantai pula kelihatan sebuah injap yang telah disambung ke tapak kilang sisa toksik yang dialirkan ke sawah padi.
"Kebiasaannya kilang-kilang tidak boleh melupuskan sisa toksik ke dalam air tanpa merawatnya terlebih dulu. Secara teori, mereka seharusnya dikenakan hukuman berat akibat perbuatan ini. Kerajaan berpura-pura melakukan pemeriksaan tetapi pada dasarnya tiada apa yang berubah," jelas Deni.

SUNGAI yang kotor menyebabkan penduduk Sukamaju terdedah kepada pelbagai penyakit yang turut membawa maut.


Penyakit akibat pencemaran
Menurut Ketua Biro Wilayah Persekitaran Jawa Barat, Windya Wardhanbi, mereka mengamalkan kawalan intensif dan memantau kilang-kilang itu.
"Di dasar Sungai Citarum, terdapat logam berat dan mendapan yang mungkin disebabkan oleh kilang-kilang ini.
"Sungai itu juga mengandungi merkuri, plumbum, zink dan krom yang boleh menjadi salah satu faktor kepada penyakit kanser, kerosakan organ, jangkitan pada bayi serta kanak-kanak dan ia boleh membawa maut," jelas Windya.
Menurut kajian, kesan daripada merkuri dan plumbum boleh menyebabkan penyakit sendi seperti reumatoid artritis dan penyakit buah pinggang, sistem pendarahan dan sistem saraf.
Penduduk telah meminta pampasan kerana tanaman padi mereka rosak. Persatuan Tekstil Indonesia menegaskan, sumbangan industri itu kepada pencemaran sungai tidak lebih daripada antara 15 hingga 25 peratus.
"Pencemaran sungai terjadi daripada hasil sisa domestik dan plastik. Jadi, tidak adil menuduh industri kami sebagai penyumbang utama kepada pencemaran sungai di negara ini," jelas Kevin Hartanto selaku Ketua Persatuan Tekstil Bandung.
Tegasnya, mudah untuk mengira bilangan kilang-kilang tetapi tiada siapa yang mahu mengira bilangan manusia yang tinggal di tepi sungai dan membuang sampah ke dalam sungai setiap hari.
Pembersihan Sungai Citarum dan 22 anak sungai telah menjadi satu keutamaan oleh pihak pemerintah Indonesia. Mereka telah melancarkan projek untuk memulihara sungai selama 15 tahun.
"Kita perlu belajar beberapa kaedah untuk menangani isu ini dari negara Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan. Negara-negara ini mengalami pencemaran air di bahagian pertama abad ini. Bagaimanapun, mereka mempunyai pelan jangka masa panjang untuk menangani masalah ini," kata pakar sumber air Bank Pembangunan Asia (ADB), Thomas Panella.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: