
RESTORAN ini yang dibuka sejak tahun 1921 masih beroperasi hingga sekarang.
COLISEUM Cafe & Grill Room yang masih berdiri megah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur ibarat sebuah muzium sejarah yang menjadi saksi suka-duka pembinaan negara Malaysia.
Didirikan pada penghujung tahun 1921, ia menjadi tempat pilihan penjajah British untuk bersantai sambil minum kopi, menonton wayang malah bermalam di hotel yang terletak di tingkat atas bangunan dua tingkat itu.
Pada masa itu, Coliseum sememangnya direka dengan menggabungkan restoran, panggung wayang dan hotel di bawah satu bumbung.
Kini, Coliseum merupakan antara lokasi tumpuan bagi menikmati makanan ala Barat tetapi malangnya hotel berkenaan tidak lagi beroperasi. Sementara pawagam Coliseum yang terletak di lot bersebelahan kafe berkenaan sedang diubah suai oleh pemiliknya yang baharu.
Sebaik sahaja pintu restoran berusia hampir 100 tahun ini dibuka, Pengurus Operasi Coliseum Cafe & Hotel (KL) Sdn. Bhd., Kenneth Low, menyapa mesra tetamu yang hadir.
“Anda boleh duduk sebelum pesanan diambil atau berjalan-jalan di sekitar tempat ini,” katanya.
Melihat ke sekeliling restoran, ciri-ciri kolonial Inggeris begitu terserlah. Pintu masuk kayu utuh berdiri, sama seperti bar dalam filem koboi. Sementara nama restoran ditulis dalam tulisan jawi memandangkan tulisan itu sangat sinonim dengan zaman awal penubuhannya.
Lantai marmar lama pula terjaga rapi, begitu juga bahagian dinding dan suis kipas lama yang sangat nostalgik. Selain itu, meja dan kerusi kelihatan seperti dalam keadaan asal di samping lambang syarikat yang megah terpamer.
Sementara mata meliar mencari item-item klasik di dalam restoran, seorang lelaki warga emas yang sedang menghirup secawan kopi panas mengajak penulis duduk semeja sebelum dia galak bercerita mengenai kenangannya bersama restoran berkenaan.
Mohan Narayanan, 54, bekerja di Coliseum Cafe sebagai tukang masak sejak berumur 15 tahun lagi.
Ibarat keluarga
“Sebaik sahaja tamat tingkatan tiga, saya terus bekerja di sini. Bila dikenang-kenang agak lucu juga kerana pemilik pada masa itu meletakkan syarat iaitu saya mesti menguasai dialek Hokkien dalam masa enam minggu.

KERATAN akhbar dan majalah mengenai Coliseum Cafe dipamerkan di dinding restoran.
“Kalau tidak, saya akan dipecat. Bersusah payah saya mempelajarinya walaupun pada awalnya banyak perkataan berbaur lucah yang diajar,” ceritanya.
Oleh kerana kesungguhannya, dalam tempoh kurang tiga tahun Narayanan menguasai bahasa itu.
“Walaupun kulit saya gelap, wanita Cina yang putih gebu pun boleh terpikat jika saya mengurat mereka dalam bahasa Cina,” katanya ketawa.
Narayanan boleh bertutur dalam bahasa Melayu, Tamil, Inggeris dan Hokkien.
Bercerita mengenai gaji, beliau memberitahu, sewaktu mula bekerja upah yang diterimanya hanya RM60 sebulan.
“Nilai RM60 tidaklah besar pada 30 tahun lalu tetapi jika diurus dengan baik, kita masih boleh hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
“Sebaliknya walaupun gaji tukang masak sekarang jauh lebih besar tetapi jika boros berbelanja tidak mustahil mereka akan menghadapi masalah kewangan kelak,” ujarnya.
Rutin kerja Narayanan bermula dari pukul 10 pagi hingga 11 malam setiap hari.
“Jika penat saya akan berehat di bilik tingkat atas restoran ini. Saya mungkin bekerja di sini sehingga ke akhir hayat,” katanya yang tinggal di Flora Damansara, Petaling Jaya.
Perbualan kami terhenti apabila rakannya, Heng Sock Seng, 51, mencelah. Lelaki Cina itu menjadi ahli keluarga Coliseum Cafe sejak berusia 18 tahun.
“Pada mulanya saya ditugaskan sebagai pelayan restoran tetapi disebabkan saya ada alahan yang teruk terhadap makanan laut, saya ditukarkan ke bahagian juruwang.
“Begitupun, saya lebih kagum dengan sepupu saya, Kapten Ho Sing Fong (gelaran pelayan restoran) yang bekerja di sini sejak berumur 17 tahun lagi.
“Dia bekerja selama 74 tahun di restoran ini dan bersara tahun lalu semasa berusia 91 tahun.
“Sekarang setiap minggu dia akan berkunjung ke sini. Dia mungkin bosan tinggal di rumah kerana sudah biasa bekerja setiap hari untuk tempoh yang sangat lama,” katanya.
STIK lembu pilihan pelanggan.
|
Menurut Sock Seng, sepupunya itu seorang yang istimewa.
“Badannya masih bertenaga kerana tidak minum ais dan kurang makan makanan berminyak,” ujarnya.
Ternyata Sock Seng juga memiliki perasaan sentimental terhadap Coliseum.
“Sejak usia belasan tahun saya mencari rezeki di sini. Jika sesetengah orang hidup mati mereka demi bola, hidup mati kami adalah untuk restoran ini,” ujarnya.
Bagi Kenneth Low, 46, pengorbanan pekerja lama tidak sekali-kali akan dilupakan.
“Bayangkan mereka mampu mengingati lebih 200 menu makanan yang dipesan pelanggan dengan kod nombor sahaja. Tetapi untuk memudahkan mereka, saya kurangkan kepada 50 jenis makanan sahaja sekarang.
“Waktu bekerja mereka agak fleksibel iaitu empat jam bekerja dan kemudian rehat selama tiga jam sebelum kembali bekerja,” katanya.
Menurut Kenneth, bangunan Coliseum hakikatnya masih utuh walaupun ada bahagian tertentu yang dimakan anai-anai.
“Saya yakin restoran ini akan kekal untuk satu tempoh yang lama. Ia bukan sekadar mengenai perniagaan bahkan rentetan sejarah hidup rakyat Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: