NDUSTRI buku tempatan bukanlah sesuatu yang baru lagi di kalangan remaja. Malah, puluhan pesta buku yang diadakan sebelum ini juga mendapat perhatian remaja.
Kini, industri buku telah bercabang dengan kewujudan penerbitan alternatif. Penerbitan alternatif ini merujuk kepada penerbitan yang tidak berada di arus perdana.
Penerbitan alternatif juga kini semakin mendapat sambutan hangat daripada remaja yang mahukan bahan dan corak bacaan yang berlainan sedikit dari arus perdana.
Sabtu lalu telah diadakan Pasar Buku Boco bertempat di Gravy Baby, Seksyen 13, Shah Alam dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada remaja.
Kebanyakan yang hadir tidak melepaskan peluang untuk membeli buku pilihan mereka daripada penerbitan alternatif yang hadir.
Antara penerbitan alternatif yang hadir ialah Selut Press, Sang Freud Press, FIXI, Merpati Jingga, Ana-anai Studio dan Lejen Press.
Pengasas program ini, Wani Ardy berkata, ini adalah kali keenam program seumpama ini diadakan dan semakin mendapat sambutan yang menggalakkan.
"Dulu kita adakan setahun sekali, tetapi disebabkan mahu memupuk budaya membaca dan cintakan buku kita lakukan ia selama empat bulan sekali.
"Alhamdulillah, sambutan semakin menggalakkan dan kita berharap lebih ramai anak muda dapat hadir," katanya yang kini bertugas sebagai pensyarah Fakulti filem, teater dan animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurut Wani, apa yang diusahakan kini bukan untuk mendapatkan keuntungan sebaliknya hanya untuk membantu industri penerbitan buku.
"Sewa tapak yang dikenakan juga tidak terlampau tinggi, cukup untuk membayar sewa khemah yang disediakan sahaja," ujarnya.
Pesta buku yang bermula jam 12 tengah hari dan tamat sekitar pukul 6 petang itu turut menyelitkan beberapa lagi acara lain seperti deklamasi sajak dan puisi daripada penulis-penulis yang hadir.
Tidak ketinggalan, pelancaran buku dari Selut Press yang bertajuk Rahsia Dua Pria hasil nukilan Mosyuki Borhan dan Adi Wafi turut diadakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: