Pak Ya cekal cari rezeki
Pak Ya mengambil upah mengasah pisau penoreh lain dengan harga RM3 sebilah.

SEGAMAT - Mengambil upah mengasah pisau penoreh antara pekerjaan yang dilakukan seorang warga emas di sini, bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Yahya Abd Kadir, 61, atau lebih mesra dipanggil Pak Ya berkata, sejak berpisah dengan isterinya lebih 30 tahun lalu, dia kini tinggal di rumah seorang rakan kerana tidak mampu menyewa selepas mengalami masalah kewangan.

“Sebelum ini, saya ada juga mengambil upah menoreh getah di kebun orang tetapi kini sudah tiada dan menampung keperluan harian melalui bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan yang baru diterima pada Jun lalu.

“Disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat, saya turut mengusahakan beberapa jenis tanaman bagi menambahkan pendapatan.

"Selain itu, saya ada mengambil upah mengasah pisau penoreh lain dengan harga RM3 bagi sebilah pisau,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dirinya beruntung kerana pernah mempelajari bidang masakan daripada pakciknya sewaktu remaja, yang banyak membantunya untuk meneruskan kehidupan sebelum bantuan JKM diterima.

Selain menjual hasil pertanian, Pak Ya turut menjual ayam kampung peliharaannya sekiranya memerlukan duit tambahan bagi membeli ubat-ubatan atau sebagainya.

Terdahulu, Pak Ya mempunyai tiga anak lelaki tetapi seorang telah meninggal dunia manakala dua lagi berada di bawah jagaan isterinya sehingga kini kerana pihak mahkamah memutuskan hak penjagaan itu sewaktu awal perceraian.

Pak Ya mengambil upah mengasah pisau penoreh lain dengan harga RM3 sebilah.