Sunday, September 9, 2012

My harapan didik belia

Pengajar khas dipanggil bagi melatih para belia dalam projek MyHarapan.

DENGAN perkembangan pesat di negara ini, masyarakat mengalami pelbagai perubahan termasuk ikatan kemasyarakatan mulai luntur.

Kelunturan ikatan kemasyarakatan itu telah mengurangkan peluang golongan remaja dan belia mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk berkembang dan berdikari.

Bagi kawasan yang terpinggir daripada arus pembangunan pula, kemiskinan akan menjadi penghalang kepada pembangunan positif belia.

Keperitan hidup bukan sahaja menghalang mereka terbabit dalam pembangunan kendiri, tetapi ia mempengaruhi keupayaan mereka untuk melihat diri sebagai berharga dan boleh memberi sumbangan kepada masyarakat.

Ekoran itu, Yayasan Belia atau MyHarapan telah merangka pelbagai aktiviti untuk memberi ruang kepada belia-belia terbabit bergerak aktif.

Salah satu program yang dijalankan ialah Projek Asas Teater.

Projek tersebut yang mengumpulkan golongan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun menawarkan latihan teater kepada yang berminat.

Menurut Pegawai Eksekutifnya, Khairul Azri Mohamad Khalid, projek asas teater tersebut dianjurkan dengan tujuan memberi ruang dan peluang kepada belia-belia yang berminat.

Tambahnya, walaupun terbuka kepada semua belia, tetapi pada dasarnya pihaknya mensasarkan untuk golongan belia yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, kawasan PPR kurang aktiviti positif untuk golongan belia.

Justeru MyHarapan menjadi wadah bagi golongan tersebut untuk bukan saja melakukan aktiviti yang diminati bahkan mengisi masa terluang dengan cara lebih berfaedah.

"Semasa projek pertama diadakan, hanya terdapat empat belia dari PPR yang menganggotai kumpulan pertama dan Alhamdulillah untuk kumpulan kedua ini jumlahnya telah bertambah kepada 16 orang.

"Kumpulan yang ditubuhkan lazimnya tidak dianggotai oleh ramai peserta dan untuk kumpulan pertama dan kedua, kedua-duanya mempunyai seramai 19 orang peserta.

"Rata-ratanya mereka ini tinggal di sekitar Lembah Klang," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, projek tersebut bukanlah satu yang sia-sia ataupun syok sendiri kerana selain latihan berlakon, menari, muzik dan vokal dan sinografi (hal yang berkaitan dengan set atau pentas), mereka juga berpeluang membuat pementasan di hadapan penonton.

Dalam erti kata lain, masa hadapan belia-belia tersebut cerah kerana mereka berpeluang meneruskan kerjaya di bidang lakonan, tarian, muzik dan juga belakang tabir.

Jelas Khairul Azri, pihaknya bersungguh-sungguh membantu belia-belia berkenaan sebab itu tiada sebarang yuran dikenakan.

Sebaliknya, setiap belia yang hadir diberikan elaun kedatangan RM10.

Bukan itu sahaja, khidmat tenaga pengajar profesional turut disediakan dalam usaha memastikan projek tersebut berjalan seperti dirancang.

Mengulas lanjut mengenai pementasan teater yang dijangka sekitar September atau Oktober ini, Khairul Azri berkata, hasil daripada penjualan tiket akan digunakan untuk membina kawasan riadah PPR terpilih dengan membeli sebuah kontena.

"Kontena tersebut akan dijadikan tempat riadah bagi golongan belia ini.

"Mereka boleh menjadikannya tempat untuk memberikan kelas tambahan kepada penduduk setempat, kafe siber dan juga tempat mengadakan pelbagai aktiviti.

"Adanya kontena ini, sekurang-kurangnya mereka mempunyai aktiviti untuk dilakukan dan tidak membuang masa begitu sahaja," katanya.

Apa yang ingin dinyatakan ialah golongan belia dalam era globalisasi ini sudah menunjukkan petanda perubahan dari segi budaya hidupnya.

Selaras dengan itu katanya, tidak seharusnya hanya menumpukan untuk melihat kesan negatif globalisasi terhadap pembangunan belia.

Tetapi sebaliknya perlu melihat perubahan dalam era globalisasi ini sebagai satu kekuatan yang ada pada diri dan persekitaran belia untuk dimanfaatkan demi masa depan mereka.

Jadi, kepada belia-belia di luar sana yang berminat untuk menyertai Projek Asas Teater ini boleh hubungi Khairul Azri di talian 012-2473554 atau 017-2002944 (Faisal).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: