Monday, September 17, 2012

Mengilham batik futuristik


KOLEKSI dres pendek bermotifkan batik hasil karya pelajar kolej SEGi yang kreatif dan inovatif.


MENGANGKAT batik sebagai pusat cerita, promosi mengagungkan kesenian kebanggaan nusantara itu oleh pelajar-pelajar SEGi wajar diberi pujian. Masih berpegang kepada gelaran mahasiswa, kelompok tersebut berjaya menghasilkan acara I Heart Batik dengan penuh gemilang.

Berlatarkan kumpulan multi etnik Malaysia, rekaan estetik dengan suntikan trendy hasil ciptaan beberapa pelajar tahun akhir jurusan Fesyen dan Tekstil dengan kerjasama fakulti Pengajian Komunikasi itu cuba memecahkan stereotaip pakaian bernuansa batik.

Meskipun ada pihak yang melihat beberapa kelemahan rekaan dari segi potongan, pemilihan palet dan beberapa aspek kecil lain, namun hasil kerja mereka sedikit sebanyak membuka mata penonton bahawasanya, batik mampu diolah membentuk busana moden yang elegan.

Tradisional urban

Setiap daripada mereka menampilkan kreativiti berbeza. Dres pendek dengan potongan skirt sedikit kembang menerapkan warna pastel sebagai asas. Elemen batik diserapkan pada skirt menukarkan gaya ringkas kepada tradisional urban.

Turut kelihatan ialah rekaan batik menerusi pakaian tradisional kaum Cina, ceongsam. Teknik dan kepelbagaian jenis batik diaplikasikan sebaik mungkin pelajar-pelajar tersebut.

Andrew Low, 21, memaparkan dua rekaan berseni dengan memberi penekanan kepada batik dengan cetakan kupu-kupu. Meminjam teknik ikat dan celup (tie and dye), penataan batik sentuhan Andrew memberikan imej segar kepada si pemakai.

“Idea batik kupu-kupu ini saya kembangkan daripada projek semester lepas. Beberapa lakaran dipilih bagi menghidupkannya dalam bentuk fizikal. Hasilnya, dua rekaan berjaya disiapkan khas untuk acara ini.

“Menjadikan batik sebagai fokus utama tidak mudah kerana ia memerlukan kajian menyeluruh dan aplikasi teknik yang betul. Saya cuba menjadikan rekaan saya bersifat futuristik agar seiring dengan peredaran zaman,” jelas pelajar tahun akhir jurusan Fesyen dan Tekstil itu.

Tambah Andrew yang berasal dari Kuantan, Pahang, pensyarah mereka memang menggalakkan rekaan berkonsep tempatan dan tradisional yang dilihat berpotensi untuk dikomersialkan ke peringkat global.

Beliau sendiri melihat batik sebagai teknik yang mula dipandang serius industri fesyen antarabangsa. Berdasarkan pengetahuannya, sekolah-sekolah fesyen di dunia telahpun mengajar teknik batik kepada para pelajar mereka dan secara tidak langsung mengangkat nilai warisan tempatan itu.

“Kedua-dua rekaan saya ditumpukan kepada golongan muda dan sesuai disarungkan ke mana-mana sahaja. Saya mengambil masa kira-kira dua minggu bagi menyiapkan sepenuhnya dua pakaian tersebut,” ujar Andrew yang menyanjungi hasil kerja Jendela KL.

I Heart Batik

Selain acara pertunjukan fesyen yang turut disertai barisan pereka tersohor tanah air di bawah Bumiputra Designers Association (BDA), kempen I Heart Batik juga melibatkan pameran mural berkonsep batik ciptaan pelukis-pelukis muda.

Kempen yang berlangsung bermula 28 Jun hingga 4 Julai itu bertujuan menimbulkan kesedaran dan rasa cinta golongan belia terhadap batik. Ia menjadi satu medium pembelajaran luar kelas melibatkan kerjasama pelajar dan pendidik.

“Program I Heart Batik ini diadakan bagi menukar persepsi anak-anak muda terhadap batik. Mereka yang tidak suka pakaian berkonsep batik pasti takjub dengan kebolehan warisan kebangsaan itu diolah menjadi pakaian moden yang selari dengan trend terkini.

“Sebagai permulaan, kami menggalakkan pelajar-pelajar di sini memakai baju T dan seluar Bermuda bermotif batik di dalam kampus sebagai tanda sokongan,” demikian kata-kata Pengetua fakulti Pengajian Komunikasi, Faisal Ibrahim.

Kempen tersebut juga mendapat sokongan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan ditaja oleh Trendz Image, AKM Caterers, Citizenn Sound and Light Entertainment, Laila Florist, Baked Cookies, Cuppie Stuffie, Image Academy, Wanted Symphony dan Rhythm Nation.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: