Sunday, September 16, 2012

Mengharap kasih orang muda


SEBANYAK 15 peratus rakyat negara ini ialah orang tua menjelang tahun 2030.


ZAMIR, 60, sudah lima tahun tinggal di sebuah rumah jagaan orang tua di Puchong, Selangor. Walaupun dia mempunyai tiga orang anak yang sudah berkeluarga dan menjawat jawatan eksekutif di syarikat terkenal di ibu negara, Zamir menjangkakan dia akan menghabiskan sisa kehidupannya di rumah tersebut.

“Saya terima sahaja ketentuan ini. Saya tidak pernah menyalahkan anak-anak. Mereka sudah besar dan inginkan kehidupan sendiri,” kata Zamir kepada Jurnal.

Dia tinggal di situ selepas kematian isterinya pada tahun 2007.

“Ibu bapa dahulu boleh menjaga anak dengan baik sehingga mereka berjaya tetapi anak-anak hendak menjaga ibu atau bapa sekarang seorang pun susah,” ujarnya dalam nada sedih.

Begitupun, dia bersyukur kerana kehidupan dan kesihatannya lebih terurus sepanjang tinggal di rumah jagaan tersebut.

“Makanan disediakan secara teratur. Surau juga terletak berdekatan, jadi senang untuk solat berjemaah,” katanya.

Tutur Zamir, pernah ketiga-tiga anaknya berjanji untuk mengambilnya pulang setiap minggu tetapi malangnya tidak dilaksanakan.

“Hanya rakan-rakan seusia di rumah ini yang menjadi peneman,” katanya.

Kisah Zamir wajar menjadi iktibar. Ini kerana Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 ekoran peratusan warga emas yang berumur 60 tahun mencapai kadar 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Kelahiran

Faktor ini turut didorong oleh penurunan kadar kelahiran yang menyebabkan bilangan generasi muda semakin berkurangan.

“Berdasarkan perangkaan terkini, kadar kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk yang dicatatkan sejak tahun 1980 hingga 2010 jelas menunjukkan penurunan.

“Kadar kematian juga mengalami penurunan iaitu daripada 5.3 orang bagi setiap 1,000 penduduk kepada 4.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

“Secara tidak langsung, jumlah warga tua akan terus meningkat di negara ini,” jelas Pengarah Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Tengku Haizan Hamid.

Tengku Haizan memberitahu, perkara lain yang perlu diambil kira ialah jumlah rumah jagaan warga tua bakal meningkat.

“Dalam tempoh 18 tahun akan datang kita khuatir ramai anak muda yang enggan menjaga ibu bapa mereka yang uzur khususnya mereka yang menetap di bandar-bandar besar,” ujarnya.

Tambah beliau, tidak mustahil kawasan perumahan juga akan dipenuhi oleh warga tua.

“Kemudahan taman awam untuk golongan muda selain penjagaan kesihatan bagi warga tua perlu ditambah,” ujarnya.

Hokkien

Beliau turut bimbang fenomena kekurangan orang muda akan memaksa negara mengimport tenaga kerja asing.

“Faktor ini mungkin mendorong peningkatan kadar jenayah sekiranya tiada perancangan dibuat,” tutur Tengku Haizan.

Beliau juga menasihatkan golongan berumur 40-an kini supaya tidak hanya bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi mencari sumber simpanan lain.

“Simpanan KWSP tidak mencukupi. Duit itu akan habis dalam tempoh yang singkat bagi membayar penuh pinjaman perumahan serta perbelanjaan semasa.

“Saya sendiri mempunyai simpanan khusus kerana tidak ingin mengharapkan belas ihsan orang lain apabila tua kelak,” tegasnya.

Bekas Presiden Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia (Usiamas), Syed Barkat Syed Ali memberitahu, Malaysia boleh mencontohi negara Barat dalam isu penjagaan warga emas.

Katanya, di sana masyarakat bekerjasama dengan pihak kerajaan dan swasta untuk menjaga warga emas yang hidup sebatang kara atau dipinggirkan oleh anak-anak.

Merujuk negara ini, Syed Barkat mencadangkan kita mencontohi sikap masyarakat Hokkien.

“Mereka bukan sahaja menyediakan rumah perlindungan dan kemudahan untuk warga emasnya, bahkan menyalurkan bantuan kepada kaumnya yang kesempitan hidup.

“Tetapi tugas ini sebenarnya perlu digalas oleh kerajaan,” ujarnya.

Mengulas bagaimana masyarakat boleh memainkan peranan, katanya, rumah ibadat seperti masjid boleh menganjurkan program bagi menjana wang.

“Duit itu boleh digunakan untuk membina sebuah rumah kebajikan warga tua di dalam kawasan kampung atau kariah masjid itu.

“Saiz rumah kebajikan itu mestilah cukup untuk menampung jumlah warga tua di kawasan masing-masing,” tutur Syed Barkat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: