|
WANITA itu tekun melipat longgokan pakaian yang baru diambil daripada ampaian rumahnya yang terletak di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Kuala Kubu Baru, Selangor itu.
Lazimnya begitulah rutin yang dilakukan Rabiatul Adawiyah Lokman, 22. Setiap hari, selepas membantu ibunya, Mahanum Mat Shah, 51, yang mengusahakan perniagaan baulu di kampung itu, barulah dia mempunyai masa untuk melakukan kerja-kerja di rumah.
Bagaimanapun konsentrasi wanita yang lebih mesra dengan panggilan Annur itu sedikit terganggu dengan kehadiran dua 'anaknya'' menyelerakkan pakaian yang telah dilipat.
"Mok, Kiko...Janganlah main-main dekat sini, Annur kan tengah sibuk lipat pakaian," katanya lembut.
Seakan memahami kata-kata yang diucapkan, Mok dan Kiko menundukkan kepala sambil mendiamkan diri.
"Macam ini lah gelagat kedua-duanya. Pantang tengok orang senang, ada saja yang datang nak mengacau atau nak bermanja.
"Itu belum lagi dengan kehadiran Isabel, Bob dan Kecik yang keluar sejak dari tadi lagi. Jika semua berkumpul sekali di rumah, boleh pening kepala dibuatnya," tutur Annur tatkala menceritakan keletah kucing-kucing kesayangannya itu.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, sebelum ini dia tidak berminat membela kucing kerana adik bongsunya, Anis Nurulhuda, 10, mengalami alahan akibat penyakit asma.
"Memang ada kucing-kucing liar yang berkeliaran di luar rumah, tetapi ia hanya datang seketika untuk mencari makanan sahaja," katanya.

KELETAH nakal Mok sering mencuit hati Annur.
Perasaan tersentuh
Bagaimanapun, persepsinya terhadap haiwan yang menjadi kesayangan Rasullullah S.A.W itu berubah ketika berkunjung ke Pasar Awam Batang Kali pada tahun 2007.
"Ketika berjalan-jalan, saya terjumpa tiga ekor anak kucing yang berkeliaran mencari ibunya.
"Perasaan saya tersentuh tatkala melihat keadaan kucing yang kelaparan dan tidak terurus. Tanpa berfikir panjang, saya tekad membawa kesemua kucing itu pulang," ujarnya.
Bimbang perkara itu diketahui, dia cuba menyorokkan kucing-kucing itu di luar rumah.
"Lama-kelamaan ibu mengetahuinya, apa lagi, puas saya menahan telinga mendengar leteran. Jika mahu membela kucing, saya kena pastikan ia tidak membuang najis merata-rata atau merosakkan perabot," katanya.
Ujar Annur, selepas dilatih kucing-kucingnya mula pandai mendengar kata dan menyesuaikan diri biarpun dibiarkan bebas berkeliaran di dalam rumah.
Sejak itu, keluarganya mula menerima kehadiran kehadiran haiwan itu, lebih-lebih lagi selepas adiknya tidak lagi menunjukkan tanda-tanda alahan seperti sebelum ini. Daripada tiga ekor, jumlah kucing miliknya terus bertambah menjadi 18 ekor. Dalam tempoh seminggu, kata Annur, dia terpaksa menyediakan tiga kilogram makanan untuk kucing-kucingnya itu.
Jelas Annur, kucing bukan sekadar haiwan peliharaan semata-mata sebaliknya teman akrab dirinya tatkala berada dalam keadaan suka dan duka.
![]() |
|
ANNUR sentiasa memastikan kucing-kucingnya sihat melalui pemakanan yang seimbang.
|
"Seperti manusia, kucing juga mempunyai perasaan. Mereka perlu dibelai dan dimanja setiap hari. Disebabkan itu, saya tidak kekok berdamping dengan kucing biarpun sehingga ke bilik tidur.
"Setiap kucing mempunyai perwatakan dan sifat-sifat yang tersendiri, namun saya paling sayang Kecik kerana sifatnya yang manja dan tidak mahu berdamping dengan orang lain kecuali saya.
Baru melangsungkan perkahwinan beberapa bulan lalu, Annur berkata, dia bertuah kerana suaminya, Mohd. Alif Haikal, 22, juga seorang peminat kucing seperti dirinya.
"Setakat ini tidak ada masalah, kami saling bekerjasama menguruskannya, lagi pun jumlah kucing hanya tinggal lima ekor sahaja kerana ada yang mati, hilang atau diberi kepada saudara-mara. Kata Annur, dia tidak menyangka hobi membela kucing menjadi inspirasi kepada Ahmad Nazri Mahmood, 38, seorang pelukis dan animator bebas untuk diadaptasi ke dalam komiknya yang bertajuk, Annur dan Meow.
Katanya, dia mengenali Ahmad Nazri yang merupakan salah seorang kenalan abangnya, Muhammad Ammar, 25.
Selepas Ahmad Nazri berhenti kerja dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan cita-citanya dalam bidang animasi, mereka masih tetap berhubung seperti biasa.
"Abang Nazri ada bercerita tentang hasratnya untuk menghasilkan komik tulisan jawi, secara berseloroh saya memintanya membuat kisah mengenai dirinya dan kucing-kucingnya itu," ujarnya yang sudah menganggap Ahmad Nazri sebagai abang kandung sendiri.
Tanpa diduga, komik itu telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat-peminat komik tempatan. Kata Annur, dia sendiri tidak percaya apabila diberitahu bahawa komik itu dibaca lebih 2,000 pembaca kurang sebulan ia dimuat naik di laman sosial Facebook.
![]() |
|
SETIAP hari masa Annur dihabiskan dengan membantu ibunya mengusahakan pernigaaan baulu.
|
Di belakang tabir
"Ada kisah yang memaparkan pengalaman saya sendiri, ada juga yang berdasarkan imaginasi Abang Nazri, namun apa yang penting populariti komik itu sedikit sebanyak telah menarik golongan muda untuk mendekati tulisan jawi.
"Biarpun hanya popular di belakang tabir, saya tidak kisah, apa yang penting saya dapat berkongsi pengalaman dengan peminat-peminat kucing di luar sana," jelasnya.
Sementara itu, Ahmad Nazri pula berkata, hasrat untuk menerbitkan komik tulisan itu jawi itu bermula selepas terbaca artikel mengenai kisah seorang seorang profesor dari Korea Selatan, Prof. Dr. Kang Kyoung Seok yang begitu obses terhadap tulisan berkenaan.
"Saya kagum dengan usaha yang dilakukan beliau dalam memartabatkan tulisan jawi di negara ini, jika orang luar boleh menghargai warisan bangsa Melayu ini, mengapa tidak saya mengetengahkannya melalui bakat yang ada.
"Lagi pun komik merupakan medium paling dekat dengan masyarakat tanpa mengira usia, bangsa dan jantina, seperti yang pernah dilakukan oleh Raja Kartun Malaysia, Rejabhad melalui karya-karyanya suatu ketika dahulu," kata Pengarah Urusan Frame to Frame Production Sdn. Bhd. itu.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: