Sunday, September 23, 2012

Kejayaan perniagaan

SESUATU kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang gigih. Semua yang telah memperoleh kejayaan sudah melalui proses yang begitu mencabar dan biasanya memerlukan pengorbanan dalam segala aspek. Kita tidak boleh mengharapkan kejayaan datang tanpa terlebih dahulu berdepan dengan perasaan penat, perit, susah dan sebagainya. Allah SWT menetapkan peraturan dan sistem untuk menyusun kehidupan manusia di atas muka bumi ini yang disebut sebagai sunnatullah.
Orang yang mengharapkan kejayaan dalam masa yang singkat biasanya akan mengambil jalan pintas kerana tidak dapat bersabar menunggu kejayaan tersebut. Lantas, kadang-kadang akan mendorongnya melakukan perkara yang di luar batasan agama dan akal yang sejahtera.
Maka sekiranya ia memperoleh kejayaan, kejayaan tersebut bukanlah kejayaan yang sebenar dan hakiki. Malahan, kejayaan tersebut tidak mendapat keredaan Allah SWT. Ia tidak akan berkekalan kerana hilang keberkatan. Justeru, untuk berjaya kena ikut sunnatullah tanpa mengabaikan syariatullah.
Islam telah lama membentuk pemikiran umatnya dengan mendatangkan erti dan nilai sebenar kepada sebuah kejayaan. Kejayaan yang sejati dan hakiki merangkumi kedua-dua aspek; dunia dan akhirat. Ia dapat dilihat dalam doa yang diajarkan oleh Allah SWT. (rujuk al-Baqarah: 210)
Inilah ukuran umum kejayaan di sisi agama Islam. Sesiapa yang hanya berjaya di dunia, namun gagal memperoleh kejayaan di akhirat, belum lagi dianggap berjaya walaupun manusia di dunia menjulangnya sebagai orang yang berjaya. Mungkin pada perkiraan kita, kejayaan yang diperoleh ialah apabila dapat menghasilkan keuntungan yang besar kepada syarikat atau dapat melonjakkan nama syarikat di mata masyarakat dan sebagainya.
Betul, memang itu sebenarnya kejayaan yang ingin dicapai di dunia ini. Namun, ia hanyalah kejayaan yang separuh masak. Kejayaan yang sepenuhnya ialah apabila kejayaan-kejayaan yang dihasilkan itu dapat membawa kejayaan di akhirat kelak.
Cita-cita untuk berjaya di dunia dan di akhirat ini perlu dijadikan komitmen bersama agar segala usaha yang dilakukan bukan sahaja diberkati, bahkan mendapat suntikan semangat yang berkekalan. Semangat yang ada biasanya akan pudar apabila berhadapan dengan kegagalan, namun kita akan sentiasa dimotivasikan dengan pahala dan kasih-sayang Allah SWT di sebalik kegagalan tersebut.
Ini kerana dalam Islam, tiada istilah kegagalan, yang ada hanya sebuah kejayaan yang tertangguh! Maka beruntunglah mereka yang memperoleh kejayaan di mata Allah SWT. Ingatlah, kejayaan di dunia hanyalah sementara, yang kekal abadi ialah kejayaan di akhirat. (rujuk al-Baqarah: 126)
Rahsia kejayaan
Beberapa persoalan perlu dilihat supaya kejayaan yang dikecapi itu diiktiraf oleh Allah SWT, sekali gus membawa kepada kejayaan di akhirat nanti.
Yang pertama, apakah objektif asal perniagaan kita? Persoalan ini mungkin berbangkit apabila kita ingin menubuhkan syarikat perniagaan pada peringkat awal lagi. Namun, bagi yang sudah sekian lama membangunkan syarikat, tidak menjadi halangan untuk melakukan muhasabah kembali agar dapat diperbetulkan sekiranya objektif tersebut tersilap dan dapat ditajdidkan kembali kalau ia sememangnya betul. Persoalan ini penting untuk memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan terpandu ke jalan yang benar. Justeru, penting untuk kita bertanya, "Kenapa aku perlu jalankan perniagaan ini?".
Mungkin agak remeh bagi sesetengah pihak. Namun, bukankah segala perbuatan itu perlu dimulakan dan diseiringkan dengan niat yang baik. Niat yang baik itu ialah apabila kita melaksanakan sesuatu perkara kerana Allah SWT, untuk melaksanakan tuntutan agama, untuk mencari rezeki yang halal, untuk menyumbang kepada masyarakat dan sebagainya. Jadikan objektif perniagaan kita merangkumi beberapa segmen; untuk diri, keluarga, syarikat, masyarakat, agama dan ummah.
Yang kedua, apakah operasi perniagaan kita terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT? Persoalan ini sangat penting untuk kita ajukan kerana niat dan nawaitu bukanlah penentu segala-galanya. Ia bukanlah sumber hukum yang boleh menukar yang haram menjadi halal. Maka, niat yang baik tidak menghalalkan kita untuk melakukan apa sahaja, sama ada halal atau haram demi memperoleh kejayaan dalam perniagaan. Justeru, kita perlu pastikan produk yang kita tawarkan adalah halal dan tidak memberikan mudarat kepada masyarakat.
Pun begitu, produk yang halal tidak cukup tanpa mempunyai sistem yang selari dengan Syariah. Di sinilah pentingnya kontrak atau aqad yang mendasari sesuatu perniagaan itu dibuat secara jelas dan terang. Setiap pihak yang terlibat perlu memahami isi kandungan kontrak yang dibuat, syarat dan disiplin yang perlu dipatuhi. Walaupun produk asalnya halal, namun akibat kesilapan pada kontrak, maka ia akan menyebabkan transaksi yang dibuat wujud elemen-elemen yang bercanggah dengan Syariah seperti gharar (ketidaktentuan), maisir (perjudian), riba dan banyak lagi.
Selain itu, syarikat juga perlu menjauhi sebarang bentuk penipuan yang boleh menyebabkan pelanggan ditindas dan dizalimi. Syarikat juga perlu mempromosikan produk secara telus dan jujur, agar tidak mendatangkan perselisihan apabila pembelian telah dibuat kerana tidak mengikut spesifikasi atau kualiti yang dipersetujui pada awal kontrak.
Yang ketiga, apakah syarikat membayar zakat perniagaan? Persoalan ini juga amat penting untuk kita perhatikan kerana terdapat di kalangan syarikat-syarikat khususnya yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam atau yang dimiliki oleh orang bukan Islam tetapi menjalankan perniagaan yang berlandaskan Syariah seperti pengendali takaful, perbankan Islam dan sebagainya, gagal membayar zakat perniagaan.
Dalam hal ini, perlulah merujuk pusat zakat untuk mengetahui kaedah pengiraan zakat agar tidak terkeliru. Demikian juga sekiranya syarikat berkenaan mempunyai kakitangan beragama Islam. Mereka juga perlu disediakan dengan kemudahan membuat bayaran melalui potongan gaji bulanan dan sebagainya.
Pihak syarikat perlu memperbanyakkan program bagi membantu masyarakat dengan menyediakan sumbangan atau bantuan dalam apa bentuk sekalipun. Ia amat penting untuk memastikan keberadaan syarikat dalam masyarakat dirasai dan masyarakat dapat berkongsi nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada syarikat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: