Saturday, September 1, 2012

Julia insafi kekurangan diri

pix_middle

ANDAI orang lain mekar berbunga di hati kerana dilamun cinta, tetapi Julia Zieglar pula berbunga bahagia dan memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga apabila dapat menyaksikan sendiri kebesaran Allah S.W.T apabila dia pergi mengerjakan umrah bersama ibu tercinta Jun lalu.

Ketika dia bercerita pengalaman indahnya berada di bumi yang amat diberkati itu, berseri dan bercahaya wajahnya kerana dia tidak sangka akan dapat ke sana pada usianya yang muda dengan kudrat yang masih kuat. Dia memang sudah lama berhasrat untuk ke sana, tetapi dia tidak menduga yang Allah akan memakbulkan keinginannya dengan begitu cepat sekali.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

“Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata ketika dapat menjejakkan kaki di bumi Rasulullah s.a.w iaitu Madinah dan rumah Allah di Makkah. Terasa kerdilnya diri ini apabila dapat menyaksikan sendiri segala tinggalan sejarah Rasulullah dan sahabat baginda di sana. Betapa sukarnya mereka berjuang untuk menyebarkan agama Allah berbanding kita sekarang yang semuanya sudah tersedia di depan mata.

“Betapa Allah Maha Berkuasa untuk melakukan sesuatu dan sebagai hamba-Nya yang hina, kita mestilah mendekati-Nya selalu hanya kerana Dialah yang maha memberi pertolongan, perlindungan dan kasih sayang. Sebaik saja ternampak kaabah di depan mata, saya terus menangis dan memanjatkan doa agar saya, keluarga, Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia berada di bawah lindungan dan peliharaan-Nya.


“Rasa tak percaya saya sudahpun sampai ke Makkah dan pemergian saya ke sana pula bersama ibu, lagilah membuatkan saya berasa sayu dan terharu. Tenangnya hati saya ketika bersujud kepada-Nya. Saya mohon kepada Allah untuk menjadikan saya manusia yang lebih baik. Insya-Allah saya akan ke sana lagi dan bercadang untuk mengerjakan fardu haji pula.


“Selama 12 hari berada di sana terasa masa begitu cepat berlalu dan tidak puas untuk terus mengembara di bumi Allah itu. Walaupun saya belum bersedia untuk bertudung, namun jauh di lubuk hati ini, saya minta kepada-Nya seandainya saya berubah, biarlah ia perlahan-lahan dan bukanlah secara drastik ataupun atas desakan orang lain.

“Saya pun tak mahu menjadi orang yang terlalu ekstrem kerana bimbang apa yang dilakukan nanti hanya separuh jalan saja. Oleh itu, saya akan lebih banyak mendalami agama sebagai persediaan untuk menghadapi saat perubahan itu datang nanti,” katanya.

Julia menambah, sekembalinya dari sana, dia mula mengerti apa itu hidup, mula teringatkan alam kematian yang akan datang pada bila-bila masa dan kewujudan Allah itu sendiri.

“Kalau sebelum ini kita berasa besar diri dan bangga, tetapi apabila berada di Makkah, kita semua adalah sama. Tiada yang kaya dan miskin, yang membezakan kita adalah kekukuhan iman masing-masing. Saya bebas ke sana ke mari kerana tiada yang mempedulikan saya kerana semuanya sibuk memperbanyakkan amal ibadat.

“Sewaktu saya berada di sana juga, negara itu sedang mengalami cuaca panas lebih kurang 53 darjah Celsius tetapi Allah itu Maha Besar sewaktu berjalan dari hotel menuju ke Masjidilharam setiap kali masuknya waktu solat, terasa sejuk alam sekeliling. Tetapi kalau saya keluar membeli barang untuk dijadikan kenangan, terus terasa panas.

“Dalam hidup saya sudah terdapat banyak tanda dan petunjuk daripada Allah seperti kemalangan yang hampir meragut nyawa saya beberapa tahun lalu. Semuanya adalah petunjuk daripada-Nya agar saya berubah untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik. Namun untuk berubah, dugaannya tetap ada.

“Saya akan berusaha untuk menambah kekurangan diri kerana kita tidak tahu bila masa kita akan dipanggil pergi untuk menghadap-Nya,” katanya.

Selepas Aidilfitri, Julia menjalani penggambaran iklan komersial untuk Maxis dan sedang berjinak-jinak dalam perniagaan pakaian menerusi online bersama rakan kongsi, Juliana Raja Wahman.

Menurutnya, dia memang ada sedikit asas dalam bidang rekaan kerana pernah mengambil jurusan seni ketika menuntut di Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, saya tidak mampu mengusahakannya sendiri sehinggalah saya berjumpa dengan Juliana. Pakaian yang kami jual lebih bersifat kasual yang dipadankan blaus dengan skirt labuh. Ia kelihatan sangat feminin dan mereka yang bertudung pun boleh menggayakannya.

“Untuk memberi lebih keistimewaan kepada setiap rekaan kami berdua, kami banyak ‘bermain’ dengan rona terang seperti yang saya gayakan pada sesi fotografi ini, rona kuning dipadankan dengan skirt labuh rona samar ‘menjerit’.

“Peminat fesyen sekarang sukakan warna yang kontra untuk lebih memberi kelainan dan gaya kepada si pemakainya. Rekaan saya ini belum ada label kerana sedang mencari nama yang sesuai. Kepada mereka yang ingin melihat koleksi yang ada, layari facebook saya, Julia Zieglar.

“Kalau sambutannya bagus, saya dan Juliana bercadang membuka butik dan memperkenalkan jenama saya sendiri. Perniagaan saya ini baru dijalankan. Saya memang suka berniaga. Dua tahun lalu saya membuka restoran tetapi ‘hayat’ perniagaan itu tidak panjang pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: