Tuesday, September 25, 2012

Facebook medium sebarkan jawi


USAHA memartabatkan tulisan jawi seharusnya bermula sejak kanak-kanak lagi.


TULISAN jawi merupakan satu seni penulisan yang wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kehadiran orang Arab yang menjalankan aktiviti perniagaan di samping menyebarkan dakwah Islam di rantau ini.
Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, antara kesan penyebaran dakwah ini ialah penggunaan huruf-huruf Arab sebagai medium untuk berkomunikasi yang kini dikenali dengan nama tulisan jawi.
“Abjad jawi diambil dari abjad Arab bermaksud Jawah. Jawi merupakan istilah yang digunakan pedagang Arab ketika itu untuk mengenali alam Melayu dan penduduknya,” katanya.
Tambah Ramlah, tulisan jawi telah berkembang sejak zaman kerajaan Melayu silam bermula dari kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Melayu Johor dan Aceh pada kurun ke-17.
“Biarpun tidak terdapat tarikh jelas mengenai kehadiran tulisan jawi ke Tanah Melayu, namun ia dipercayai telah bertapak sejak kurun ke-13, melalui penemuan Batu Bersurat di Terengganu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Kegemilangan tulisan jawi
Pada zaman dahulu, tulisan jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan.
“Tulisan jawi turut digunakan pada perjanjian penting antara Raja-Raja Melayu dengan penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris.
“Kegemilangannya menyebabkan ia tersebar ke seluruh dunia. Ia dapat dibuktikan melalui penemuan surat-surat Sultan Iskandar Muda dari Aceh kepada Raja James I dari England pada tahun 1615 dan surat daripada Sultan Abdul Jalil IV dari Johor kepada Raja Louis XV dari Perancis pada tahun 1719,” katanya.
Bagaimanapun, kehadiran penjajah Inggeris yang memperkenalkan tulisan rumi pada akhir abad ke-19 menyebabkan tulisan jawi semakin terhakis di Tanah Melayu.
Pembukaan sekolah-sekolah varnikular yang berteraskan bahasa ibunda secara tidak langsung telah meminggirkan tulisan jawi dalam sistem pendidikan negara ketika itu.

TULISAN jawi merupakan khazanah dan warisan unik kepada bangsa, identiti dan tamadun masyarakat Melayu.


“Ia adalah agenda halus Inggeris untuk mengurangkan rasa taksub orang Melayu terhadap agama Islam di samping menghapuskan warisan Melayu itu secara perlahan-lahan.
“Keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap segelintir kaum Melayu sendiri yang memandang rendah terhadap tulisan jawi. Akibatnya kemahiran membaca, menulis dan memahami tulisan jawi semakin terhakis daripada generasi ke generasi,” ujarnya.
Menyedari nasib tulisan jawi yang semakin kelam, beliau menyokong mana-mana pihak yang mahu mengangkat dan memperjuangkan warisan Melayu itu khususnya melalui media baharu seperti Facebook.
“Tidak semestinya bahan ilmiah, menerusi komik atau kartun tulisan jawi juga kita mampu menarik minat generasi muda untuk mengetahui keunikan dan mempelajari tulisan jawi,” katanya.
Sementara itu, seorang pencinta tulisan jawi, Ujud Sindut, 54, berkata, generasi muda kini tidak menyedari betapa bertuahnya mereka memiliki sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan penyambung legasi bangsa.
“Tulisan jawi sinonim dengan al-Quran, apabila mereka terbiasa dengan tulisan jawi ini akan memudahkan pengenalan kepada pembacaan al-Quran.
“Khazanah tulisan jawi perlu diangkat semula kerana ia sebahagian daripada warisan sejarah Melayu,” ujarnya.
Berpengalaman luas dalam memperkembangkan sistem pembelajaran tulisan jawi sejak 32 tahun lalu, Ujud memberitahu, kaedah terbaik untuk memartabatkan semula tulisan itu ialah melalui transformasi di dalam sistem sedia ada.
Berdasarkan kajiannya, terdapat 30 hingga 35 peratus pelajar gagal menguasai tulisan jawi.

RAMLAH


Masalah serius
Antara kelemahan-kelemahan yang dikesan ialah ketidakmampuan mengenal huruf jawi, tidak memahami suku kata terbuka dan suku kata tertutup serta menguasai tradisi tulisan itu.
“Ia masalah serius dan perlu ditangani segera oleh pihak-pihak yang terlibat di kementerian. Dalam kalangan guru pula mereka bukan sahaja perlu mahir tetapi kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran. Hanya dengan ini masalah tulisan jawi dapat disuburkan dalam jiwa para pelajar kita,” katanya.
Bagi mengatasi masalah ketirisan tulisan jawi itu, beliau telah mencipta kaedah Wujudi pada tahun 2006 iaitu teknik pembelajaran jawi yang pantas dan berkesan berdasarkan sistem gambar dan bunyi.
“Setakat ini ia menunjukkan kejayaan yang membanggakan. Pelajar-pelajar yang bermasalah mempelajari tulisan jawi akhirnya mahir dan berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas mengikutinya.
“Saya turut menghasilkan buku bertajuk, Pemulihan, Pengayaan dan Pengajaran Jawi Kaedah Wujudi yang dilancarkan tahun lalu,” ujarnya yang aktif mengadakan bengkel pembelajaran tulisan jawi di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: