Sunday, September 2, 2012

Dunia gajet budak dua tahun


IBU bapa perlu mengawal tahap pendedahan gajet elektronik kepada anak-anak.


KEMAJUAN teknologi banyak memberi kesan kepada perkembangan minda kanak-kanak. Bayangkan, budak berusia dua tahun sudah disogokkan dengan bermacam-macam peranti eletronik.

Itu tidak termasuk permainan video yang membuatkan ramai kanak-kanak terpaku, selain televisyen, telefon pintar, komputer riba dan permainan video.

Golongan itu kini dilihat sebagai pengguna yang aktif hinggakan banyak produk elektronik secara komersial memberi tumpuan kepada pasaran kanak-kanak.

Mungkin cara mudah untuk seorang kanak-kanak duduk diam dan tidak mengganggu orang lain ialah dengan menyuruh mereka bermain gajet.

Malangnya, pendedahan yang berlebihan terhadap peralatan moden itu mampu mendatang kesan negatif sekiranya tidak dikawal oleh orang dewasa.

Berdasarkan kajian Barbara J. Wilson daripada Universiti Urbana-Champaign Illinois, Amerika Syarikat, pendedahan media elektronik kepada kanak-kanak boleh menyumbang kepada ketakutan, kecemasan, keganasan dan sifat agresif.

Masa

Kajian itu mencadangkan, kawalan oleh orang dewasa diperlukan bagi memastikan kesesuaian program yang patut didedahkan kepada kanak-kanak selain kandungan gajet yang disesuaikan dengan usia mereka.

Kajian lain oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hobbycraft, Catriona Marshall, pula mendapati satu pertiga daripada ibu bapa menyesal memberi anak mereka alat permainan, telefon bimbit dan komputer.

Sebanyak 34 peratus ibu bapa yang lain melahirkan kebimbangan mengenai kemahiran kreatif dan sosial serta masa berkualiti yang dibazirkan si anak hingga menyebabkan mereka mengambil kembali gajet yang diberikan sebelum itu.

Manakala 67 peratus bimbang tentang jumlah masa yang anak mereka habiskan di hadapan komputer atau menonton televisyen dan bukannya menikmati aktiviti tradisional.

“Sebanyak 73 peratus lagi cuba mengehadkan masa anak menggunakan peranti atau menonton televisyen.

“Kebanyakan kanak-kanak telah diberikan gajet dan ibu bapa mendapati keadaan itu sukar diubah sekarang.

“Sesetengah ibu bapa pula menghadapi dilema sama ada mahu memberi atau membiarkan anak mereka menonton atau bermain apa yang mereka mahu, atau mengaturkan beberapa permainan dan aktiviti kreatif untuk anak mereka,” ujarnya.

Tambah Catriona, dengan begitu banyak tekanan yang diberikan kepada kanak-kanak supaya mereka mencapai keputusan akademik yang cemerlang, aktiviti kreatif penting dalam membina harga diri dan keyakinan mereka.

Kreatif

Satu kajian yang melibatkan 2,000 ibu bapa kanak-kanak berusia 3 hingga 16 tahun pula mendapati, hampir separuh daripada kanak-kanak yang dikaji dibekalkan alat permainan mudah alih manakala 50 peratus lagi memiliki permainan video seperti Nintendo Wii.

Empat dalam 10 kanak-kanak pula didapati disediakan televisyen sendiri di dalam bilik tidur.

Pelbagai jenis gajet yang kini dimiliki oleh kanak-kanak membolehkan mereka menghabiskan masa sehingga tiga jam sehari dengan menonton televisyen, bermain permainan komputer atau melayari internet.

Dua pertiga daripada ibu bapa menyalahkan gajet kerana menyebabkan jumlah masa berkualiti untuk keluarga berkurangan. Disebabkan itu, 80 peratus daripada mereka masih memikirkan hadiah yang boleh diberikan kepada anak-anak mereka.

Kajian itu juga mendapati bahawa separuh daripada ibu bapa kerap bertengkar dengan anak-anak tentang penggunaan gajet mereka, iaitu nisbah satu kepada empat mengatakan ia berlaku setiap hari.

Tetapi 43 peratus mengakui mereka sering memberi dan membiarkan anak-anak mereka bermain atau menonton apa yang mereka ingini bagi menjalani kehidupan yang lebih mudah.

Penyelidik juga mendedahkan bahawa 62 peratus ibu bapa mahu anak-anak mereka lebih kreatif.

Walau bagaimanapun, kurang daripada separuh ibu bapa menyatakan anak mereka tahu untuk membuat kapal terbang kertas.

Seorang ahli psikologi media, Emma Kenny, berpendapat, mereka yang lahir bermula tahun 2000 akan mengalami zaman kanak-kanak yang berlainan daripada zaman kanak-kanak daripada mana-mana generasi lain.

“Adalah penting untuk mempertimbangkan kesan jangka panjang akibat kekurangan aktiviti kreatif pada zaman kanak-kanak. Mereka membesar sebagai orang yang kurang tumpuan, tidak sabar dan kurang mahir menyelesaikan masalah,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: