PASANGAN Shaifubahrim, Mohd. Saleh dan Peggy Ng tidak mementingkan ruang yang besar tetapi memadai selesa didiami bersama anak-anak. Mereka juga menitikberatkan kerjasama dalam melakukan kerja-kerja di rumah.
“Saya tidak lagi menggunakan perkhidmatan orang gaji sejak tiga tahun lalu bertujuan menggalakkan ketiga-tiga anak saya berdikari.
“Kalau hanya bergantung pada pembantu rumah, mungkin sukar untuk mereka menyesuaikan diri dengan kerja-kerja rumah apabila berkahwin nanti,” ujar Shaifubahrim.
Ketiadaan orang gaji juga bermakna beliau dan anak-anak perlu mengemas sendiri rumah, menjaga tanaman landskap malah membasuh pinggan mangkuk.
Dari luar, banglo dua tingkat ini sederhana sahaja saiznya. Bagaimanapun, andaian ruang dalamannya juga agak terhad meleset sebaik sahaja memasuki kediaman ini. Selain tidak sarat dengan perabot, susun aturnya juga dilihat praktikal.
Apa yang unik, hampir semua sudut terdapat barangan cenderamata yang dibeli Shaifubahrim semasa melancong atau bertugas di luar negara.
Kolonial
“Ini hanya sebahagian kecil cenderamata saya kerana kebanyakannya dihadiahkan kepada rakan-rakan. Saya tidak mahu rumah menjadi sesak dengan aksesori perhiasan tersebut selain memudahkan kerja mengemas rumah.
“Item yang tinggal sekarang hanya yang ada nilai sentimental dan kenangan kepada kami sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan barangan seperti pinggan mangkuk, gelas, patung haiwan serta alat muzik tradisional dibeli di Indonesia, Itali, Jerman, Syria dan Britain.
Berbicara mengenai perabot dan hiasan, lelaki yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini memberitahu, beliau seorang penggemar kayu jati.
“Ia lebih mudah untuk dijaga, lagipun saya dan isteri berkongsi minat yang sama iaitu kayu walaupun kami membesar di bandar.
“Kayu mempunyai nilai estetika yang tinggi sekiranya diukir dengan teliti,” tegasnya.
Bahagian rumah tamu jelas mempamerkan ciri kolonial dengan siling tinggi sebagai kaedah pengudaraan semula jadi sekali gus mengurangkan kos utiliti khususnya penggunaan kipas atau pendingin hawa.
Reka bentuk tingkap bercirikan lama turut dikekalkan sejak rumah ini dibina 20 tahun yang lalu.
Tutur Shaifubahrim, beliau inginkan ruang tamu yang luas untuk keluarga dan tetamu.
“Saya juga mengelak daripada meletakkan set televisyen dan audio di ruang tamu kerana ia boleh mengehadkan ruang kemesraan jika tetamu dan penghuni rumah lebih banyak menonton televisyen daripada berbual bagi mengelakkan silaturahim.
“Memadailah menonton televisyen di dalam bilik,” katanya.
Menjengah bahagian dapur, ciri-ciri kayu turut ditonjolkan. Uniknya, lantai dapur menggunakan kayu jati nipis yang bertindak menyejukkan ruang tersebut.
Bahagian ini juga menempatkan almari untuk menyimpan gelas dan pinggan hiasan dalam kuantiti banyak.
“Sama seperti ruang tamu, tiada pendingin hawa atau kipas di dapur. Bagi pencahayaan pula, tingkap bersaiz besar berhadapan meja makan sudah mencukupi khususnya semasa siang,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: