Wednesday, September 19, 2012

Dilema antara tentera atau polis

SERING berbincang dengan anggotanya di Balai Polis Travers.
DILEMA untuk memilih antara pekerjaan antara tentera dan polis mungkin tidak pernah dilalui oleh semua orang namun bagi Inspektor Muhammad Hidayat Harun, 28, itulah yang dihadapinya sebelum ini.
Sebelum menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 2006, pegawai polis berusia 28 tahun itu pernah membuat permohonan untuk memasuki kedua-dua pasukan.
"Pada mulanya saya mengharapkan agar mendapat tempat di dalam pasukan angkatan tentera namun tawaran daripada Polis Diraja Malaysia datang terlebih dahulu.
"Surat tawaran daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperolehi hanya selepas dua bulan saya menjalani latihan," katanya ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini.
Katanya, sebaik sahaja mendapat tawaran daripada ATM, dia berada dalam dilema sama ada mahu mengikut jejak langkah arwah bapanya yang pernah bertugas sebagai tentera atau meneruskan sahaja latihan.
"Sukar untuk membuat keputusan, saya pun bertanyakan pendapat arwah ayah dan dia menasihatkan saya supaya meneruskan sahaja latihan.
"Dengan galakan dan sokongan keluarga akhirnya saya meneruskan sahaja latihan dan kini bertugas sebagai seorang pegawai polis," katanya yang turut berkongsi hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Sebaik sahaja selesai menjalani latihan, Muhammad Hidayat ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sebagai pegawai penyiasat jenayah sehingga kini.
Pada peringkat permulaan bertugas, pelbagai rintangan dan dugaan terpaksa dihadapi beliau berikutan baru menjejak langkah ke alam kepolisan.
"Tekanan pada tahun pertama memang perkara biasa yang akan dihadapi setiap pegawai namun kita hendaklah bijak mengawal situasi.
"Selain itu, kita hendak rajin bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman tentang bagaimana cara dan teknik menjalankan siasatan atau soal siasat dengan lebih berkesan," katanya yang beristerikan seorang timbalan pendakwa raya di ibu negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: