Belia jadi juara
Qauyum (tengah) diapit Azieyatul (kiri) dan Anisa Izulya menunjukkan trofi yang dimenangi mereka dalam Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu 70-an, kelmarin.
KANGAR - Usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis dalam mengetengahkan bakat-bakat baru dalam seni nyanyian lagu 70-an berjaya menarik minat golongan belia dan beliawanis.

Ia terbukti apabila juara dan naib juara Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu-lagu 70-an dianjurkan JKKN Perlis dimenangi golongan itu.

Difahamkan, pertandingan berkenaan melibatkan 12 peserta terdiri daripada golongan muda dan veteran.

Muhamad Qauyum Zawawi, 25, yang mendendangkan lagu nyanyian Broery Marantika bertajuk Mimpi Di Siang Hari, berjaya meraih gelaran johan.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka dirinya dinobatkan johan memandangkan semua peserta terbabit mempunyai bakat tersendiri.

“Pertandingan ini sangat sengit kerana kebanyakan peserta menyertainya bukan calang-calang orang.

“Mulanya, setelah nama pemenang tempat ketiga diumumkan, saya sangka nasib tidak menyebelahi saya kerana sasaran saya setidak-tidaknya dapat tempat ketiga, namun saya bersyukur atas kurniaanNya diberi peluang untuk memenangi pertandingan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Kakitangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu berkata, sebelum menyertai pertandingan terbabit, dia terlebih dahulu membuat kajian mengenai lagu-lagu 70-an sebelum memilih lagu sesuai.

Qauyum turut mengucapkan penghargaan kepada penganjur dan Unimap sendiri yang banyak memberi sokongan sepanjang pertandingan.

Naib Johan, Azieyatul Adira Bidi, 30, berasal dari Taman Gasing Jejawi berkata, dia gembira dengan kemenangan itu walaupun tidak menyangka menjadi salah seorang pemenang.

Menurutnya, dia yang sering menyertai pertandingan seumpamanya juga terharu sokongan rakan-rakannya.

Johan pertandingan membawa pulang wang tunai RM1,000; naib johan, RM700 dan tempat ketiga, RM500 (dimenangi Anisa Izulya Mohd Aziz, 32) dengan masing-masing menerima trofi dan sijil.

Matlamat utama pertandingan itu dianjurkan untuk menjadi landasan mengasah dan mengetengahkan bakat baru dalam bidang nyanyian serta meningkatkan kesedaran  masyarakat pentingnya menghargai hasil seni 70-an yang kian dilupakan.