Sunday, September 9, 2012

Angin pasang boleh dipulihkan

HAKIMI, 20, menghidap penyakit hernia sejak kecil. Namun, penyakit itu yang dikenali sebagai angin pasang itu dibiarkan begitu sahaja kerana dia yakin masih mampu hidup seperti individu normal lain.

Pada peringkat kanak-kanak, dia pernah mengalami kesakitan terutama pada bahagian sulitnya selain sukar membuang air kecil.

Tempo kesakitan yang dialami semakin bertambah apabila dia menginjak usia remaja selain sering berasa gelisah.

Setelah beberapa kali doktor menasihatkan Hakimi supaya menjalani pembedahan, barulah dia bersetuju. Hasilnya, kesihatannya beransur baik.

“Semasa pembedahan, bahagian perut saya ditebuk dengan empat lubang sehingga bahagian skrotum sebelah kanan.

“Banyak darah kotor yang keluar. Kesakitan yang dialami pada mulanya tidak terperi tetapi lama-kelamaan beransur pulih,” katanya.

Dia juga berasa lega kerana tidak lagi mendengar sindiran daripada adik serta abangnya yang lain mengenai penyakit angin pasangnya itu.

Normal

“Keadaan saya lebih baik berbanding rakan lain yang terpaksa menyembunyikan penyakit mereka dengan memakai seluar yang lebih besar.

“Selain itu, ada yang memakai beg sandang di sekeliling pinggang mereka,” ujarnya.

Pakar bedah Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ahmad Zulkiflee Laidin memberitahu, sesetengah bayi memang dilahirkan dengan beberapa bukaan kecil pada tubuh yang sepatutnya tertutup sebelum kelahiran.

Tetapi terdapat beberapa kes keadaan itu tidak berlaku menyebabkan tisu berhampiran menembusi bukaan tersebut dan menjadi hernia.

Katanya, hernia kanak-kanak lazimnya berlaku semasa tekanan fizikal seperti menangis, menjerit, berlari atau batuk dan ia akan kembali mengecut kemudiannya.

“Hernia jenis ini boleh ditutup dan selalunya tidak mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. Cuma kadangkala tisu-tisu boleh terjerut di dalam bukaan dan tidak boleh ditarik semula kepada kedudukannya yang asal.

“Ia terjadi apabila sebahagian daripada organ badan tertentu seperti gelungan usus menonjol keluar daripada dinding otot yang lemah atau terbuka.

“Ia juga boleh jadi membran abdomen atau tisu lain yang menolak dinding otot sehingga menyebabkannya menjulur ke dalam ruang yang tidak sepatutnya.

“Penonjolan inilah yang dipanggil sebagai hernia yang kelihatan seperti bengkak atau bonjolan yang keluar daripada kaviti tubuh,” katanya.

Terdapat dua jenis hernia yang biasa terjadi pada kanak-kanak, iaitu hernia umbilikal pada bahagian pusat dan hernia inguinal yang terjadi di sekitar pangkal paha di mana abdomen bertemu bahagian atas paha.

Hernia pusat berlaku pada sesetengah bayi yang memang dilahirkan dengan kelemahan atau bukaan pada bahagian otot-otot abdomen di sekitar pusat di bawah kulit, yang mana sesetengah membran abdomen atau usus kecil menjulur keluar melaluinya.

Bengkakan lembut yang terjadi ini boleh dilihat dengan jelas apabila bayi menangis, meneran, batuk atau menggeliat.

Hernia inguinal pula selalunya disebabkan oleh penonjolan gelungan usus atau lipatan membran daripada abdomen atau ovari atau salur falopian bagi kanak-kanak perempuan, melalui pembukaan masuk ke bahagian groin.

Bengkak

Bengkak dalam bahagian groin timbul terutamanya apabila kanak-kanak menangis, batuk atau berdiri.

“Bagi kanak-kanak lelaki dianggarkan seorang bayi daripada 40 kelahiran mengalami hernia jenis ini,” ujarnya.

Rawatan moden satu-satunya kaedah yang dapat menyelesaikan masalah bayi yang mengalami hernia.

Jika ibu bapa takut dan tidak mahu mengambil apa-apa tindakan atau hanya mencuba kaedah mengurut, besar kemungkinan hernia itu menjadi lebih parah.

“Pembedahan untuk pemulihan, bukannya kemudaratan. Bayangkan jika hernia itu dibiarkan. Ia akan membesar dan menolak buah zakar dan zakar ke belakang. Lama-kelamaan ia akan merosakkan alat kelamin bayi.

“Pembedahan hanya akan dijalankan jika saiz hernia mencecah dua sentimeter,” ujarnya.

Katanya, pembedahan juga tidak mengambil masa lama iaitu kira-kira 15 minit sekiranya hernia tersebut tidak berada pada tahap risiko yang tinggi.

“Pembedahan segera perlu dilakukan jika ia hernia inkarserat dan terjerut kerana bahagian tersebut membusuk dan menjadi sumber jangkitan ke seluruh dinding usus.

“Akibat yang lebih buruk ialah kematian,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: