Wednesday, September 19, 2012

Analisis fungsi otak

LIHAT...(berdiri dari kiri) Efnie dan Wong melihat kanak-kanak yang 
melakukan analisa cap jari.
LIHAT...(berdiri dari kiri) Efnie dan Wong melihat kanak-kanak yang melakukan analisa cap jari.
SEJAK dilahirkan, kanak-kanak memiliki bakat semula jadi yang secara lazimnya dapat diperhatikan ketika mereka masih kecil lagi.
Bakat semula jadi ini bukan dibina melalui proses penyesuaian luar atau dilatih tetapi potensi diri mereka berdasarkan kecenderungan atau cara minda bertindak balas terhadap lingkungan stimulasi.
  • Foto TUNJUK...Alya Izzati Zainal Abidin, 11, menunjukkan keputusan analisis cap jarinya.
  • Foto EFNIE...kaji selidik pemikiran dan fungsi otak yang sangat menarik.
Ia boleh dikenal pasti sejak awal melalui analisa cap jari anak yang bertujuan untuk memberi idea kepada ibu bapa berusaha menyokong si kecil menerusi bakat dimiliki.

Justeru, satu program analisis cap jari diperkenalkan melalui kempen Kenali Potensi Si Manja Dutch Lady bagi mengesan bakat semula jadi si kecil.

Menerusi analisis berkenaan, jari yang paling dominan dianalisis menerusi ukuran biometrik untuk mengkaji profil fungsi otak.

Analisis 10 jari tangan yang dilakukan selama 15 minit itu akan memberikan keputusan mengenai potensi sebenar anak untuk dijadikan panduan kepada ibu bapa.

Menurut Ketua Pembangunan Bahagian Psikologi Universiti Maranatha Christian, Indonesia, Efnie Indrianie, menggunakan analisis cap jari bagi mengenali perbezaan susunan formasi saraf otak adalah untuk membantu mengesan potensi kanak-kanak.

Meneroka potensi si kecil dianggap satu kaji selidik yang sangat menarik dari segi penyelidikan pemikiran (kognitif) dan fungsi otak.

Penyelidikan berkenaan berjaya membuktikan corak cap jari terbentuk di dalam janin di antara minggu 13 hingga 19 semasa dalam kandungan.

“Setiap kanak-kanak adalah individu yang unik kerana mempunyai profil fungsi otak berbeza antara satu sama lain yang terbentuk sejak dilahirkan.

“Analisis cap jari adalah salah satu kaedah yang boleh membantu ibu bapa mengenal pasti potensi bakat yang paling hebat di dalam diri si anak.

“Ia boleh membantu ibu bapa menentukan rangsangan yang betul untuk memupuk potensi anak dengan lebih giat. Misalnya, seorang kanak-kanak yang berbakat dalam muzik tetapi lemah matematik boleh menggunakan bakatnya sebagai penyokong dalam pembelajaran,” kata Efnie.

Dia percaya kajiannya dapat membantu si kecil membina kemahiran muzik serta matematik pada masa sama.

Jelasnya, analisa berkenaan juga dapat membantu ibu bapa yang mempunyai zuriat daripada kalangan orang kelainan upaya (OKU) bagi mengesan potensi dimiliki untuk mereka berjaya.

Tinjauan penelitian yang dijalankan di Indonesia oleh Makmal Psychobiometric (Spectrum Synergy Biometric) mendapati 75 peratus kanak-kanak biasanya menunjukkan sifat yang selari dengan keputusan analisa cap jari manakala 25 peratus lebih cenderung kepada pengaruh dan pendidikan daripada alam sekitar serta budaya.

Analisa cap jari yang dikendalikan melalui kempen berkenaan membolehkan ibu bapa mengenal pasti lima cabang luas bakat semula jadi anak mengikut kumpulan yang ditentukan oleh corak cap jari.

Antara kategori potensi anak yang dapat ditentukan melalui cap jari adalah Si Kreatif, Si Berani, Si Mahir, Si Fasih dan Si Pemerhati.

Sementara itu, menurut Pengarah Kanan Jenama, Dutch Lady Malaysia, Wong Vai Chi, analisa cap jari adalah kaedah inovatif untuk mengenal pasti potensi bakat dan cara pembelajaran anak bagi membantu ibu bapa mengoptimumkan rangsangan dan bimbingan mengikut bakat dimiliki.

“Di Dutch Lady Malaysia, amat penting bagi kami untuk memainkan peranan sebagai rakan seperjuangan kepada ibu bapa bagi memenuhi keperluan rangsangan dan pemakanan anak untuk perkembangan otak yang lebih baik.

“Justeru, kami memperluaskan skop ini dengan memperkenalkan inovasi analisa cap jari yang terbaru untuk ibu bapa mencari cara memberikan yang terbaik kepada anak mereka,” jelasnya ketika memperkenalkan program berkenaan, baru-baru ini.

Tambahnya, untuk memperkenalkan teknologi analisa cap jari dan mendidik ibu bapa mengenai cara memupuk potensi anak mereka, jenama berkenaan akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bermula 5 Oktober hingga 25 November ini.

Untuk maklumat lanjut, layari www.smartmoments.com.my atau lawati laman Facebook Kelab Ibu Dutch Lady di www.facebook.com/DutchLady.SmartMoments.


Fakta:

Analisa jari untuk menentukan potensi kanak-kanak apabila mereka dewasa:

1. Si Kreatif. Bakat semula jadi yang mewakili ibu jari mempunyai ciri unik kreatif iaitu keupayaan mengenal pasti, mencari dan mengembangkan idea baru. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu Si Kreatif Sistem dan Si Kreatif Pengantara.

Si Kreatif Sistem dapat dikesan melalui ibu jari kanan. Seorang kanak-kanak dengan bakat semula jadi dalam bidang ini mempunyai potensi menjadi pereka bentuk dan membangunkan sistem organisasi yang kecil ataupun besar. Kerjaya yang sesuai oleh Si Kreatif Sistem adalah ahli psikologi dalam bidang sumber manusia dan pengarah syarikat jika terbabit dalam sektor perniagaan.

Si Kreatif Pengantara diwakili oleh ibu jari kiri. Biasanya kanak-kanak ini mempunyai potensi menjadi seorang pengantara dalam pelbagai jenis perhubungan secara rasmi atau tidak rasmi. Jika anak memilih kerjaya di bidang politik, dia berupaya menjadi diplomat berjaya atau berkeupayaan bekerja sebagai kaunselor dan ahli terapi.


2. Si Berani boleh dikenal pasti melalui analisa pada jari telunjuk yang berkeupayaan dalam penyelesaian masalah. Ia mempunyai dua kategori berbeza iaitu Si Berani Berinisiatif dan Si Berani Yang Inovatif.

Si Berani Beinisiatif diwakili oleh jari telunjuk kanan. Kanak-kanak yang mempunyai bakat semula jadi dalam bidang ini lazimnya mempamerkan keupayaan yang menyokong pilihan kerjaya dalam bidang sains. Kerjaya sesuai dengan mereka adalah bidang teknologi maklumat, saintis, ahli antropologi atau penganalisa perniagaan.

Si Berani Yang Inovatif pula boleh dikenal pasti menggunakan jari telunjuk kiri. Mereka mempunyai keupayaan bekerja dalam satu kumpulan kreatif yang bebas melahirkan idea menarik. Kerjaya yang sesuai dengan mereka adalah bidang pembinaan seperti arkitek atau pereka hiasan dalaman, pengarah di dalam industri perfileman dan komposer.


3. Si Mahir boleh diwakili melalui analisa jari tengah. Ciri unik Si Mahir adalah berkeupayaan mengendali sistem atau program dengan cekap. Ia mempunyai dua kategori iaitu Si Mahir Teknikal dan Si Mahir Artistik.

Si Mahir Teknikal diwakili melalui jari tengah kanan yang dapat menjelaskan kejayaan mereka di dalam kerjaya sebagai pengurus operasi, juruteknik atau juruterbang.

Si Mahir Artistik mempunyai keupayaan bekerja dalam apa juga jenis kerjaya berhubung seni pergerakan badan dan membabitkan ketangkasan. Ia dapat ditentukan melalui imbasan jari tengah sebelah kiri dan pilihan kerjaya yang sesuai adalah atlet profesional, jurulatih, pereka seni tari, pelukis, doktor gigi, pakar bedah dan pakar estetik.


4. Si Fasih boleh dikenal pasti melalui imbasan jari manis yang berkeupayaan menyampaikan maklumat secara lisan mahupun bertulis dengan baik. Bidang kerjaya yang sesuai dengan mereka boleh dipastikan melalui imbasan jari manis di sebelah kiri dan kanan.

Si Fasih Bersistematik boleh dikesan menerusi jari manis kanan. Mereka mempunyai keupayaan mencapai kejayaan sebagai penyampai secara lisan, bertulis dalam cara berstruktur. Misalnya, kanak-kanak yang mempunyai mempunyai bakat semula jadi ini berpotensi dalam bidang politik, wartawan atau pembaca berita.

Si Fasih Yang Kreatif pula diketahui dengan menganalisa jari manis kiri. Mereka berpotensi menjadi pereka grafik, pengarah muzik atau cemerlang sebagai ejen publisiti bagi kumpulan pemasaran.


5. Si Pemerhati boleh dilihat menerusi analisa jari kelengkeng. Ciri unik kanak-kanak di dalam kategori ini adalah mempunyai keupayaan memerhati fenomena sosial atau peristiwa di sekitarnya.

Si Pemerhati Rujukan diwakili oleh jari kelengkeng kanan. Seorang kanak-kanak dengan bakat semula jadi ini mempunyai keupayaan memerhati perubahan dalam trend atau inovasi yang berlaku di sekitarnya. Kerjaya yang sesuai dengan mereka adalah penganalisa fesyen.

Si Pemerhati Fenomena ini diwakili oleh jari kelengkeng kiri. Kanak-kanak ini mempunyai keupayaan memerhati fenomena sosial atau peristiwa di sekitarnya.
Potensi mereka dapat digilap dalam bidang sosiologi, boleh menjadi penganalisa atau pemerhati sosial. Sekiranya menceburi bidang penjagaan kesihatan, kanak-kanak ini akan menunjukkan prestasi baik dalam bidang perkhidmatan kesihatan awam sebagai penganalisis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: