Wednesday, September 19, 2012

Anak kecil mangsa dunia seni?

mia Sara dijaga oleh bapanya supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan dengan mudah terhadap bakatnya.
ISTIMEWANYA industri lakonan dan nyanyian berbanding bidang pekerjaan lain adalah kelonggaran untuk menerima "pekerja" seawal usia bayi dan kanak-kanak lagi.
Jika dilihat kehadiran kanak-kanak di dalam filem atau drama, ia banyak melengkapkan perjalanan sesebuah hasil seni itu. Status sebagai anak seni yang dipegang mereka pada usia setahun jagung juga membolehkan mereka menerima imbuhan lumayan ke atas setiap titik peluh yang telah gugur.
Walaupun setiap keputusan yang diambil golongan ini masih bergantung kepada penjaga, namun persoalannya kini adakah hak mereka sebagai kanak-kanak dan pekerja dapat kekal tanpa melibatkan sebarang eksploitasi?
Paling menakutkan adakah hasil yang dikecapi mereka ini berbaloi demi menjamin masa depan? Mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda Pekerjaan, akta ini melindungi golongan ini agar tidak dieksploitasi sehingga mengganggu pendidikan, kesihatan dan keselamatan diri mereka.
Selain itu juga ia menetapkan syarat penggajian kanak-kanak ialah bagi mereka yang berumur 15 tahun dan orang muda berumur 18 tahun.
Pernah suatu ketika Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan meminta agar setiap kanak-kanak yang ingin menceburi industri hiburan seperti menjadi pelakon atau penyanyi perlu mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja terlebih dahulu.
Menurut beliau ini adalah sebagai satu langkah untuk memastikan hak golongan ini tidak dicabuli. Selain memastikan mereka mendapat khidmat pelajaran yang betul, akta ini juga mengambil kira waktu bekerja, cuti , sumbangan insurans dan jaminan keselamatan yang perlu disediakan oleh pihak yang mengambil mereka bekerja.
Membesar dengan populariti juga memberi impak yang luar biasa buat kehidupan seseorang kanak-kanak, ini bermakna mereka bukan sahaja bakal melalui satu kehidupan yang jauh berbeza daripada rakan-rakan sebaya tetapi juga membesar dengan pelbagai tanggungjawab iaitu sebagai kanak-kanak, pelajar dan pekerja.
Seringkali kita beranggapan bahawa golongan ini sering menjadi mangsa kerana umur mereka yang masih muda. Melihat kembali persepsi ini mungkin ada benarnya.
Dengan tahap pemikiran yang masih belum mampu untuk berfikir secara matang kebanyakan dari mereka ini lebih mempercayai orang yang rapat. Akhirnya ibu bapa dan penjaga sering menjadi insan penting dalam memastikan golongan ini mendapat pembelaan sewajarnya.
Ibu bapa juga dianggap dengan mudah seperti cuba mengambil kesempatan dengan menjadikan anak-anak ini sebagai 'penyara' keluarga meskipun pada usia yang masih kecil.
Bagaimanapun, melewati pandangan beberapa ibu bapa yang mempunyai anak-anak hebat ini kami percaya eksploitasi ke atas bintang kanak-kanak tidak akan wujud sebaliknya mereka hanya menggunakan bakat yang dianugerahkan dengan sebaik mungkin.
Mia Sara seronok
Bagi ayah kepada pelakon cilik Mia Sara Nasuha, 7 Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh,37, dia tidak akan sesekali menindas atau membenarkan anak kesayangannya itu ditindas golongan lain.
Walaupun ada sesetengah pihak yang beranggapan penjaga sepertinya hanya mengambil kesempatan, dia tahu hanya masa depan Mia dapat membuktikan semuanya suatu hari nanti.
"Saya tahu banyak yang terus mempersoalkan tindakan saya membenarkan Mia berlakon.
"Saya mahu lakukan yang terbaik untuk masa depan anak saya, dan buat masa ini segala pulangan dari bakat yang ditonjolkan Mia saya uruskan. Ini demi memastikan segala titik peluhnya berbaloi dan disimpan untuk masa depannya sendiri," katanya.
Bercakap soal pelajaran, Ridhuan memberitahu sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan Mia tidak ketinggalan mendapatkan harta yang paling penting ini.
"Jika ikutkan hati saya sendiri mahu Mia jadi macam kanak-kanak lainm tumpukan sepenuh perhatian kepada bidang pengajian, namun ini semua rezeki yang telah ditetapkan.
"Sebagai seorang ayah, saya tetap akan memastikan dia tidak mengabaikan pelajarannya.
"Buat masa ini saya akan pastikan tawaran yang tiba sesuai dengan jadualnya. Selain itu juga di dalam memastikan Mia tidak "terpaksa" saya akan meletakkan pendapatnya dahulu sebelum menerima apa-apa tawaran," katanya yang kini juga sedang mengusahakan satu perniagaan demi kelangsungan keluarganya.
Bercakap soal bayaran, Ridhuan tidak menolak untuk mengatakan masih ada pihak yang masih mahu mengambil kesempatan atas umur anaknya itu. Bertindak bijak, bagi Ridhuan tiada apa yang lebih penting dari pihak ibu bapa sendiri tegas di dalam memastikan anak-anak mereka juga layak mendapat layanan yang sepatutnya.
"Tidak dinafikan, ada juga yang mahu mengambil kesempatan. Saya sebagai penjaga akan buat kajian dahulu untuk setiap tawaran. Bagi memastikan bayaran yang diberikan itu setimpal dengan kerjanya, selalunya sendiri saya akan meletakkan bayaran.
"Apa yang pihak tertentu ini tidak tahu adalah umur tidak dapat membezakan hasil yang diberikan. Jika Mia mampu memberikan yang terbaik saya rasa dia juga layak menerima bayaran yang setimpal. Biarlah orang kata saya nak jual anak, tapi saya percaya Mia layak untuk dapat masa depan yang lebih terjamin," katanya.
Minat mengatasi segalanya
Memulakan kerjaya lakonan seawal umur empat tahun, bagi Anne Ngasri, 28, minat yang mendalam berjaya membuka laluan untuk dirinya dikenali sebagai pelakon amat muda. Merasai sendiri pengalaman tersebut bagi Anne kehadiran ibunya sebagai pengurus banyak membantu dia di dalam meneruskan kariernya itu.
"Ibu tidak pernah memaksa saya sebaliknya dia banyak meletakkan syarat di dalam membatasi kerjaya lakonan saya sewaktu kecil dahulu. Ibu dan ayah masih mahu kami menjadi seperti kanak-kanak lain, membesar dan ke sekolah seperti biasa walaupun sudah bergelar pelakon," katanya.
Bergantung dengan bantuan ibunya sehingga berumur 18 tahun, menurut Anne pelajaran masih lagi merupakan perkara yang di utamakan.
Walaupun ada kata-kata kasar yang mengatakan ibunya mengeksploitasi bakat yang dimiliki dia dan adik beradiknya yang lain, bagi Anne itu bukan yang sebenarnya yang berlaku.
"Pernah ibu saya dianggap sebagai mengambil kesempatan pada anak-anak sendiri. Mereka di luar sana tidak tahu adalah ini adalah kemahuan kami sendiri.
"Ibu banyak berkorban dan membantu kami menguruskan hidup. Sehingga kini saya masih lagi mempunyai simpanan, yang diambil alih selepas saya berumur 18 tahun," katanya.
Ditanya sama ada dia membesar dengan cara yang betul, bagi Anne tiada ada apa yang terlalu berbeza. Bagi ibu tunggal ini dia hanya meneruskan kesinambungan dalam lakonan kerana itu adalah bakat yang dikurniakan kepada dirinya.
Anne sendiri dia percaya tidak ada salahnya jika bakat ini digilap pada tahap yang terlalu awal, kerana ia juga merupakan satu aktiviti yang tidak menyalahi undang-undang.
"Saya masih melalui sebuah kehidupan yang normal. Saya pergi sekolah, ada kawan-kawan, cumanya bakat yang saya miliki itu di gilap sejak dari kecil.
"Jika anak-anak saya nanti mahu melibatkan diri dalam bidang yang sama saya akan pastikan mereka mendapat sokongan penuh dari saya," katanya.
Bantu keluarga
Kepetahan bercakap sejak berumur enam tahun berjaya mencuri hati penonton di negara ini dan ramai yang mengingati nama Fimie Don, 14,.
Pernah popular melalui lakonannya di dalam drama bersiri Hikayat Putera Shazlan menurut Fimie kepuasan ketika berlakon memberi sebab utama mengapa dia memilih untuk menceburi bidang ini sejak dari kecil lagi.
"Saya memang minat berlakon, mungkin seronok melihat kakak dan abang saya berlakon lalu saya juga mencuba.
"Setelah sembilan tahun bergelumang sebagai anak seni, kini saya dapat rasakan tiada apa yang membezakan saya dengan rakan-rakan di luar sana kerana saya juga masih membesar sebagai remaja yang normal," katanya.
Melantik ibunya sebagai pengurus, bagi Fimie ibunya bukan sahaja bertindak sebagai penjaga tetapi juga insan penting di sebalik siapa dirinya kini.
"Saya hanya perlu fikir mengenai lakonan sahaja, hal lain akan diuruskan ibu.
"Sebagai ibu dia lebih kenal saya, jika saya tidak mampu lakukan sesuatu dia pasti tidak akan memaksa. Dan kini mengambil kira pengalaman dan umur, saya diberikan hak oleh ibu untuk membuat keputusan," katanya.
Tidak menolak untuk mengatakan hasil yang diterimanya kini dikongsi bersama keluarga, menurut Fimie, dengan kelebihan yang dimiliki, ia hadir dengan tanggungjawab.
"Sebagai anak saya tahu kesusahan yang dialami keluarga saya. Dan rasanya tidak ada masalah untuk saya berkongsi dengan keluarga. Selain itu juga di dalam memastikan segala usaha saya kini tidak terjejas, ibu juga turut membantu di dalam melakukan pelaburan untuk masa depan saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: