JALALUDDIN menunjukkan barangan curi yang dirampas daripada tiga sekeluarga pada sidang akhbar di Pasir Puteh semalam.
|
PASIR PUTEH - Suami buat kerja meragut dan pecah rumah, isteri dan ibu menjual barangan hasil curi manakala si abang merancang kegiatan jenayah.
Begitulah hasil siasatan polis Kelantan yang mendapati sebuah keluarga di daerah ini terlibat dalam jenayah berkaitan 30 kes samun, ragut dan pecah rumah yang dilaporkan berlaku di Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu dan Bachok.
Hasil siasatan itu ekoran daripada penangkapan seorang lelaki berusia 19 tahun bersama isteri berusia 20 tahun dan ibunya yang berusia 51 tahun di ruang menunggu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kelmarin.
Sebelum berjaya ditangkap, ketiga-tiga suspek dipercayai cuba melarikan diri ke Sarawak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga suspek dikendaki polis untuk membantu siasatan 21 kes jenayah di Pasir Puteh, lima kes di Kota Bharu, dua di Bachok dan satu kes di Pasir Mas dan Tumpat.
Beliau berkata, suspek pertama dipercayai melakukan kegiatan jenayah ragut, pecah rumah dan samun manakala isteri dan ibunya akan menjual barangan yang dicuri kepada orang ramai.
"Semasa tangkapan dibuat di lapangan terbang berkenaan, polis yang membuat pemeriksaan badan menemui wang tunai RM1,847 dan wang Thailand berjumlah Baht 230.
"Suami isteri berkenaan kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah di Taman Panglima Gong Serapat dekat sini dan menemui 131 barangan yang dipercayai dicuri oleh mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan hajat seorang remaja yang dipercayai meragut seorang guru di Pasir Tumboh pada Jumaat lalu untuk melarikan diri ke negeri lain dengan kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra tidak tercapai apabila dia ditahan polis.
Suspek berusia 19 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 pagi semasa berada di ruang berlepas lapangan terbang itu.
Siasatan mengesyaki suspek terlibat dalam kes meragut seorang guru hingga cedera di Pasir Tumboh.
Dalam kejadian itu, mangsa, Zura Ashikin Mustafa, 48, bukan sahaja kerugian RM2,000 akibat diragut malah tulang pinggul kiri wanita itu patah akibat dilanggar kereta dinaiki suspek.
Jalaluddin berkata, antara barangan yang ditemui adalah pelbagai jenis kamera digital, TV LCD, pelbagai jenis telefon bimbit, beberapa unit komputer riba, alat pengimbas, pembesar suara, pelbagai jenis jam tangan, set kerongsang emas tiruan, beg komputer riba bertulis 'Hak Kerajaan Malaysia' dan dua kotak perkakasan besi yang mengandungi pelbagai saiz sepanar dan skru yang dipercayai digunakan ketika menjalankan kegiatan pecah rumah.
Beliau berkata, kesemua barangan tersebut dianggarkan bernilai lebih RM50,000 dan ia dipercayai belum sempat dijual oleh isteri dan ibu suspek.
"Suspek pertama memang merbahaya kerana dia sanggup merempuh polis dengan kenderaan yang dipandu ketika polis cuba menangkapnya selain menyerang anggota polis di Pasir Puteh bulan lalu.
"Saya menganggap kes ini adalah jenayah pertama tahun ini yang membabitkan pergerakan aktif sebuah keluarga selain suspek pertama yang merupakan penagih dadah," tambahnya.
Jalaluddin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 394, 395, 457, 353, 307 Kanun Keseksaan dan semua suspek terbabit ditahan reman sehingga 30 September ini.
Bagi membantu siasatan kes, katanya, pihak polis sedang mencari abang suspek, Mohd. Raffiq Razuady Abdul Aziz, 29, (gambar kecil) atau Afis Cina yang mempunyai kad pengenalan bernombor 830321-03-5347.
Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati abang suspek adalah perancang utama kegiatan jenayah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: