Wednesday, February 1, 2012

Zaki sambung legasi keluarga


SEWAKTU melangsungkan perkahwinan dengan isteri tersayang.


PERTEMUAN dengan Inspektor Mohd. Zaki Ahmad berlaku secara kebetulan di Balai Polis Mutiara Damansara kira-kira pertengahan bulan ini.

Dengan penampilan segak dan kemas, pegawai polis berusia 29 tahun ini pada mulanya keberatan untuk ditemubual kerana merasakan beliau masih 'baru' berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya tidak ada apa yang hendak diceritakan kerana masih baru dalam polis," katanya yang telah berkhidmat dua tahun setengah dalam pasukan keselamatan itu.

Inspektor Mohd. Zaki yang lebih selesa dipanggil Zaki ketika ditemubual tidak dapat melupakan bagaimana perasaan gembira apabila diterima menyertai keluarga Sang Saka Biru.

Beliau yang memiliki diploma dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak tidak sesekali menyesal memilih kerjaya dalam bidang kepolisan.

Katanya, minat yang tinggi dalam badan beruniform sejak di bangku sekolah lagi memberinya semangat untuk berkhidmat menabur bakti kepada masyarakat bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan sejahtera.

"Selain minat, bapa saya, Ahmad Mat Amin, 67, adalah pendorong utama saya dalam memilih kerjaya sebagai pegawai polis.

"Bapa saya merupakan seorang anggota polis berpangkat konstabel tambahan di Teluk Intan. Apabila setiap hari melihat dia segak memakai pakaian seragam polis, timbul minat untuk mengikuti jejak langkahnya," katanya bersungguh-sungguh.

Jelas Mohd. Zaki, selain menyambung legasi bapanya dalam pasukan polis, beliau juga berharap agar anak-anaknya akan turut mewarisi legasi itu pada masa akan datang.

Beliau kini tidak sabar untuk menimang cahaya mata pertama kerana isteri tercinta, Rosidah Rosdi sedang hamil tiga bulan.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu menambah, walaupun keluarganya tidak pernah menetapkan beliau mesti menjadi anggota atau pegawai polis namun, perasaan untuk menyambung legasi dalam pasukan PDRM itu secara semulajadi timbul.

"Biarpun pelbagai persepsi masyarakat yang mengatakan polis kini tidak bagus dan sering mengambil rasuah namun, ia tidak boleh dianggap sebagai halangan. Apa yang penting adalah nawaitu untuk bekerja selain tahu batas-batas," katanya yang sanggup melepaskan peluang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kerana diterima menjalani latihan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak pada 2008.

Sepanjang dua tahun setengah menjadi pegawai penyiasat (IO) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Mohd. Zaki sudah menyiasat lebih 300 kertas siasatan (IP).

Namun, terdapat satu peristiwa yang masih segar dalam ingatan beliau apabila menjalankan satu siasatan berhubung satu kes melibatkan senjata api.

Kejadian berlaku pada Mei lalu apabila terdapat seorang lelaki ditahan pihak polis kerana terlibat dalam satu kes pergaduhan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol di dalam kereta dan tujuh butir peluru hidup dalam beg suspek.

"Apa yang mengejutkan saya adalah ketika pemeriksaan di rumah suspek menemui kira-kira 50 butir peluru hidup di dalam rumah itu.

"Ketika melakukan siasatan saya terfikir sendiri, apa tujuan kesemua peluru itu dan dari mana suspek memperolehnya," katanya yang menceritakan salah satu pengalaman beliau sebagai IO.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: