Wednesday, February 1, 2012

Eksesais Maritim Perkasa 2/2011


Helikopter antara aset yang digunakan dalam latihan penguatkuasaan maritim di sekitar perairan Selat Melaka baru-baru ini.


BAGI menguji keupayaan dan kesiapsiagaannya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) baru-baru ini telah mengadakan eksesais penguatkuasaan maritim di sekitar perairan Selat Melaka.

Eksesais Maritim Perkasa 2/2011 yang bermula 10 Disember hingga 16 Disember itu melibatkan kira-kira 500 pegawai dan pegawai penguat kuasanya serta 13 buah kapal peronda serta dua helikopter.

Eksesais yang diadakan di utara Selat Melaka dan Pulau Langkawi itu melalui Perak dan Pulau Jarak ke Lumut bertujuan mempamerkan elemen cegah rintang di Zon Maritim Malaysia di Wilayah Utara serta mempertingkatkan kecekapan aset sedia ada agensi tersebut.

Ia melibatkan kira-kira 13 kapal terdiri daripada empat kapal Wilayah Maritim Timur (WILTIM), lima dari Wilayah Maritim Utara (WILUTA), empat dari Wilayah Selatan (WILSEL). Antaranya ialah Kapal Maritim (KM) Langkawi, Amanah, Gagah, Marlin, Kimanis, Nyireh dan Siamil.

Turut digunakan ialah dua helikopter AS365 N3 Dauphin dari Cawangan Operasi Udara Maritim Malaysia selain penglibatan Cawangan Carilamat dan Bantuan Bencana, Cawangan Siasatan Jenayah Maritim, Pasukan Tindakan Khas, Sistem Pengawasan Laut (Swasla) dan Cawangan C3I.

Latihan itu turut disertai 13 penjawat awam bukan beruniform Maritim Malaysia bagi menilai sendiri tugas-tugas serta operasi di perairan sekali gus dapat memahami fungsi agensi itu.

Pelaksanaan Eksesais Maritim Perkasa 2/2011 dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan pada 10 Disember, fasa laut (12 hingga 14 Disember) dan fasa pasca eksesais (15 Disember). Secara amnya, latihan itu melibatkan empat Kumpulan Tugas (KT) iaitu dua kumpulan kapal-kapal peronda, satu unit udara dan satu tim gempur Pasukan Tindakan Khas.

Latihan komunikasi

Dalam fasa latihan, pegawai dan anggota diberi pendedahan berkaitan taktikal komunikasi kapal, prosedur senggaraan dan tatacara penembakan meriam 40/70mm, latihan komunikasi dan pandu arah terang dan gelap, menguji tahap kecekapan operator dalam melaksanakan setiap pengendalian pergerakan taktikal yang melibatkan komunikasi antara kapal ke kapal.

Pegawai dan anak-anak kapal juga menguji keupayaan sistem persenjataan berat kapal dengan melakukan ujian penembakan meriam 40/70mm di perairan Lumut. Ia bagi memastikan setiap sistem komunikasi, jentera, sistem persenjataan kapal sentiasa berada dalam tahap siap siaga yang tinggi pada sebilang masa.

Pegawai dan pegawai penguat kuasa turut mengadakan latihan menggeledah serta tugas-tugas penguatkuasaan di laut.

Turut diuji ialah koordinasi latihan carilamat (Sarex), Index dan tadbir kawasan perairan (sector screen). Bagi unit udara pula, mereka diuji kemahiran winchex serta deck landing dan fast roping bersama tim gempur Pasukan Tindakan Khas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, latihan tersebut bagi meningkatkan aspek penggunaan aset-aset Maritim Malaysia dari wilayah maritim yang berbeza termasuk pesawat udara.

Beliau selaku Pengarah Eksesais tersebut memberitahu, latihan itu juga menilai keberkesanan sistem logistik merangkumi bantuan teknikal dan bekalan serta keberkesanan sistem komunikasi.

"Menerusi eksesais, ia dapat mempertingkatkan keupayaan khusus dalam melaksanakan evolusi di laut, kemahiran siasatan terutamanya pengumpulan bukti serta keberkesanan koordinasi dalam mengendalikan operasi carilamat.

"Selain itu, latihan tersebut juga memberi impak yang baik kepada ekonomi negara khususnya perdagangan antarabangsa kerana kita mahu menunjukkan kehadiran kita di perairan Selat Melaka dengan bukan sahaja kapal peronda, malah aset-aset lain termasuklah sistem kawalan laut.

"Dari segi tekniknya pula, kita dapat melihat bagaimana ketahanan aset yang dimiliki dapat melaksanakan tanggungjawab dan pelaksanaan tugas yang diberikan," ujarnya.

Tambah beliau, tugas penguatkuasaan maritim memberi kesan yang positif terhadap keselamatan perairan negara.

"Statistik dari 2006 hingga 2010 menunjukkan penurunan kes perlakuan jenayah di laut iaitu 47.22 peratus kepada 4.23 peratus sahaja pada tahun ini.

"Begitu juga dari segi hasil pula, sebanyak RM23.7 juta berjaya dikutip agensi ini menerusi denda, kompaun dan lelongan sepanjang tempoh yang sama," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: