Wednesday, February 1, 2012

Sentuhan emas Fa memukau Fa


Fauziah Suhaili bersama pemuzik latar yang akan mengiringinya ketika membuat persembahan.


PERTAMA kali mendengar petikan gambus, disusuli nyanyian merdu gadis ini terasa sungguh istimewa.

Lagi pula, untuk melihat seorang anak gadis yang baru berusia 23 tahun menguasai alat muzik yang boleh dikategorikan sebagai tradisional itu agak jarang.

Lazimnya juga, gambus hanya dimainkan oleh lelaki dan mereka yang telah berusia.

Tetapi bagi Fauziah Suhaili, anak kelahiran Bongawan, Papar, Sabah, dia bukan sahaja memecah tradisi, malah kemahirannya bermain gambus melayakkan dirinya digelar puteri gambus.

Anugerah tidak ternilai kurniaan ilahi tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin apabila dia melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Selain ingin meneruskan legasi keluarganya yang juga berdarah seni, Fauziah atau lebih mesra disapa Fa juga ingin memaparkan keunikan muzik tradisional melalui petikan gambus.

Sentuhan emasnya bukan sahaja mampu memukau sesiapa sahaja yang mendengarnya malah Fa turut memiliki pakej yang lengkap - cantik dan pintar.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam seni tersebut, menurut anak kedua daripada lima beradik itu, seluruh ahli keluarganya termasuk datuknya berdarah seni.

Malah dia yang sememangnya meminati muzik sedari kecil telah mula bermain gambus sejak berusia 14 tahun.

"Saya memang meminati muzik sejak kecil lagi malah seluruh ahli keluarga saya sememangnya orang seni. Ini termasuk datuk saya yang bukan sahaja seorang pemain gambus tetapi dia juga seorang pembuat gambus.

"Mungkin bakat yang saya ada hari ini diwarisi daripada datuk dan juga ibu bapa saya," ujar gadis berbintang Scorpio itu ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kehadirannya dalam industri muzik seolah-olah sebutir bintang yang bergemerlapan. Ini kerana tidak ramai anak muda hari ini yang mahir dan gemar mempelajari serta bermain alat muzik tradisional.

Fa pernah menghasilkan album bertajuk Fauziah Gambus pada tahun 2007. Album tersebut berkonsepkan tradisional pop.

Apa yang menarik mengenai penampilan Fa ketika membuat persembahan, dia pastinya akan 'beraksi' bersama gambus Brunei yang dihasilkan datuknya sendiri, Ismail Matusin.

Memiliki dua jenis gambus yang berbeza, bagi Fa, kedua-duanya memiliki kelebihan masing-masing.

"Ketika ini, dalam simpanan, saya mempunyai dua jenis gambus iaitu gambus Brunei dan gambus Mesir.

"Bagi saya, kedua-dua gambus ini ada kelainan serta keistimewaan masing-masing. Tetapi selalunya saya lebih senang bermain gambus Brunei. Selain saiznya yang kecil, ia juga mempunyai tali yang membolehkan saya membuat persembahan sambil menari ataupun berdiri," katanya.

Begitupun, bagi gadis itu, walaupun dia terkenal dengan petikan gambus dan mengalunkan lagu-lagu bercorak tradisional, dia juga sebenarnya mampu bermain alat muzik lain seperti piano, gitar, drum dan akordian.

Malah Fa juga mampu mengalunkan lagu-lagu yang bercorak rock dan kontemporari. Untuk itu, bagi single terbarunya yang dijangka keluar hujung bulan Februari ini, ia lebih kepada disko rock dan juga rock.

Hari ini selain bergerak secara solo, Fa turut mempunyai pemuzik latar yang akan mengiringi persembahannya sekiranya perlu.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Fa telah banyak menjayakan persembahan kumpulan gambus di majlis-majlis makan malam dan majlis perkahwinan di seluruh Sabah.

Pada masa yang sama, bermula tahun 2002 hingga 2009, beliau terlibat dalam Pesta Gambus anjuran Persatuan Masyarakat Brunei Sabah.

Selain itu, kejayaan yang paling membanggakan Fa ialah apabila dia menjadi pemain gambus wanita utama dengan diiringi 60 orang pemain gambus lelaki dalam persembahan Okestra Gambus, Pesta Sabah pada tahun 2006.

Selain itu, pada tahun 2007, dia mewakili Brunei sempena Konsert Orkestra Kuala Lumpur, Song of Asia di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Melihat akan gadis yang memiliki ketinggian 151 sentimeter itu, penglibatannya dalam dunia seni bukan sekadar menjadi seorang penyanyi dan juga pemain gambus. Fa juga pernah berlakon dalam bangsawan Haris Fadilah, makyong Raja Bongsu Sakti dan bangsawan Puteri Maharani.

Tidak henti setakat itu, gadis genit itu juga sebenarnya berbakat besar kerana dia juga mempunyai kebolehan menggubah lagu dan juga menulis lirik.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah single yang bakal menjengah Februari ini adalah hasil nukilan penuh dirinya.

Kehebatannya dapat dilihat apabila memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan mencipta lagu.

Apapun, saat yang paling indah buat Fa apabila dia memenangi Pertandingan Bermain Gambus sambil menyanyi bagi ketiga-tiga peringkat iaitu peringkat Kampung Tengah di Bongawan, Daerah Papar dan peringkat Negeri Sabah pada tahun 2006.

Lagi satu keistimewaan yang terdapat pada Fa, mungkin tidak dimiliki individu lain seusianya ialah, dia berkemampuan membuat gambus sama seperti datuknya.

Dalam menghasilkan alat muzik klasik itu, menurut Fa, ketelitian dan kemahiran amat dititikberatkan.

"Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis gambus di dunia ini dan apabila sebut sahaja gambus, pastinya negeri Johor terlintas di fikiran.

"Tetapi sebenarnya ada gambus dari Arab, Brunei dan Turki, kesemuanya berbeza mengikut ketebalan bunyi dan daripada segi talinya.

"Jadi proses pembuatan bagi setiap jenis itu juga berbeza dan paling sukar adalah pemilihan kayu," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: