Menjelang 2020 bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar saintis tempatan untuk meraih Hadiah Nobel, salah satu pengiktirafan bagi para penyelidik di seluruh dunia.
Mereka yang memenanginya mendapat sanjungan kerana sumbangan yang diberikan itu telah mengubah hidup sebahagian besar masyarakat dunia.
Namun tidak semua para penyelidik atau bidang penyelidikan berpeluang untuk bersaing di pentas Hadiah Nobel.
Untuk itu, Akademi Sains Malaysia (ASM) telah mengambil inisiatif memperkenalkan satu anugerah bagi mengiktiraf penyelidik dan institusi khusus bagi kawasan tropika yang banyak menyumbang kepada menyelesaikan masalah masyarakat.
Matlamatnya untuk mendorong saintis menjalankan penyelidikan bagi membantu masyarakat yang menghadapi masalah.
Malah sebagai menghargai jasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang banyak menyumbangkan idea dan tenaga ke arah perkembangan bidang sains serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negara ini - anugerah tersebut dikenali sebagai Anugerah Sains Mahathir (MSA).
Pada 2005, apabila mula diperkenalkan, pemenang pertamanya ialah Profesor John Sheppard Mackenzie yang membantu dalam penyelesaian penyakit Japanese Encephalitis (JE) ketika itu.
Berdasarkan rekod, pemenang selepas beliau juga sama ada institusi atau individu adalah penyumbang kepada penyelesaian penyakit dan makanan di kawasan tropika.
Begitu juga dengan pemenang 2011 yang akan menerima anugerah ini esok, Prof. Yuan Longping telah mengabdikan dirinya dalam penyelidikan padi hibrid.
Meskipun melalui ranjau yang memeritkan termasuk gagal pada kali pertama dan kemudian berdepan dengan masalah perubahan rejim di negaranya - China - yang menyebabkan penyelidikannya di rampas, itu bukan penghalang untuk beliau terus dengan kajiannya.
Ketekunannya itu akhirnya menjadi satu 'revolusi' di negaranya yang ketika itu berdepan ancaman kebuluran yang berjaya di atasi hasil penyelidikan beliau.
Semangat itulah yang ASM cuba terapkan di kalangan saintis tempatan supaya mereka dapat 'mengabdikan diri' dalam bidang sains dan akhirnya mencurahkan segala tenaga dan kepakaran untuk membantu masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Dr. Ahmad Ibrahim berkata , oleh kerana belum ada pemenang daripada kalangan saintis tempatan, MSA sewajarnya dilihat sebagai cabaran kepada mereka untuk berada dalam senarai penerima pada masa akan datang.
Menonjol
"Setakat ini pemenang hanya dari kalangan institusi penyelidikan tempatan seperti Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan FRIM (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia) ," ujarnya.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai banyak institusi penyelidikan yang boleh digerakkan dalam penyelidikan termasuk Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Ini kerana katanya, banyak masalah boleh diselesaikan di rantau Tropika berhubung isu penyakit dan pertanian.
Sebagai contoh bagi membantu masyarakat tetapi sebaliknya penyelidik atau saintis dari luar tropika yang lebih menonjol.
Katanya, terdapat beberapa penyelidikan dalam bidang perubatan yang dijalankan oleh saintis tempatan seperti penghasilan vaksin dan kit tetapi mereka perlu lebih fokus.
"Syarat kejayaan ialah dengan memfokus kepada satu-satu bidang penyelidikan hingga ke peringkat yang menghasilkan dapatan boleh dimanfaatkan oleh pengguna," katanya.
Generasi saintis seperti itu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap sains dan penyelidikan, mencurahkan segala masa, usaha malah wang ringgit untuk menghasilkan sesuatu yang berguna waima tanpa bayaran atau ganjaran wang sekalipun.
Apa yang berlaku di Malaysia ialah wujudnya masalah budaya kurang minat generasi muda terhadap sains atau menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.
Dr. Ibrahim memberi contoh, terdapat kalangan pereka cipta termasuk pencipta mentol lampu, Thomas Alva Edison yang menggunakan guna wang sendiri untuk tujuan tersebut dan melakukannya bersungguh sungguh.
"Bekerja demi sains dan bukan mengejar jawatan atau pangkat,'' ujarnya.
Beliau juga menarik perhatian bahawa saintis dan pereka cipta merupakan dua individu yang berbeza orientasi kerja mereka. Saintis bukanlah pereka cipta dan begitulah sebaliknya.
Dalam pada itu mengulas mengenai usaha Yayasan Anugerah Sains Mahathir (MSAF), beliau berkata, RM100,000 diberikan kepada pemenang dan pihaknya bercadang meningkatkan hadiah kepada AS$200,000 atau kira-kira RM600,000.
Beliau juga mengalu-alukan sumbangan daripada sektor korporat bagi menambah dana yayasan berkenaan dan pada masa sama menggalakkan budaya menyumbang yang dapat meningkat penyelidikan sains dan perubatan.
Yayasan tersebut memerlukan dana bagi membolehkan beberapa program lain dapat diadakan antaranya melahirkan bakat saintis muda menerusi program bersama tokoh saintis terkenal termasuk penerima anugerah yayasan berkenaan .
Pihaknya sedang merangka program seumpama itu bagi membolehkan saintis muda dalam lingkungan usia 35 tahun dapat bekerjasama dengan saintis tersohor dalam pelbagai platform untuk mempromosi sains dan penyelidikan.
Selain memberi anugerah kepada mereka yang berjaya dalam penemuan bidang penyelidikan tropika, ia turut mempromosi program pertukaran pengetahuan di peringkat antarabangsa
Penerimanya pula adalah penyelidik atau institusi yang berjaya mencapai penemuan saintifik, mendapat pengiktirafan antarabangsa dan merintis penyelidikan tropika yang memberi impak positif terhadap kesejahteraan masyarakat.
Anugerah tersebut untuk penyelidikan dalam bidang perubatan tropika, pertanian tropika, arkitek tropika dan sumber semulajadi tropika.
Selama beberapa tahun, lima tokoh telah menerimanya yang dianugerahkan RM100,000, pingat emas dan sijil.
Terdapat beberapa kriteria pemilihan iaitu penemuan saintifik, impak penemuan dan bagaimana ia menyelesaikan masalah di kawasan tropika.
ASM pula merupakan badan bagi menaungi saintis, jurutera dan diamanah oleh MSAF untuk menggerakkan pemilihan Anugerah Sains Mahathir bagi pihak yayasan.
Itu kata beliau membuktikan bahawa Dr. M ahathir tokoh yang sangat mengambil berat mengenai bidang sains dan sewajarnyalah sumbangan beliau itu dihargai dan ditandai dengan mewujudkan anugerah berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: