Wednesday, February 1, 2012

Utama karier, jodoh menyusul

SUDAH tiga tahun Fahrin menjalani kehidupan sendirian tanpa teman cinta.


WANITA mana yang tidak terpikat jika dapat bersua muka dengan figura berbadan sasa ini yang dilihat sempurna dari segi penampilan diri dan tidak kurang juga bakat lakonan, akan membuat si gadis tidak berganjak dari kaca televisyen apabila melihatnya berlakon dalam drama mahupun mengacara sesuatu majlis atau program.

Sering juga kita dengar kisah cinta jejaka yang bernama Fahrin Ahmad ini yang sering tidak kesampaian dan kecundang di tengah jalan.

Namun bagi Fahrin, semua itu merupakan takdir dan jodoh yang diberi oleh Tuhan. Tidak mahu memberi definisi serik mahupun fobia untuk bercinta, lelaki yang lebih mesra disapa sebagai Fahrin ini berkata, dia tidak mahu terlalu memberi tekanan pada diri tentang perkara berkaitan jodoh.

"Saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan pada diri saya. Pada saya, di usia begini, kematangan kita menilai juga sudah berbeza. Jika mungkin masa muda dahulu kita fikir mahu seronok dan sebagainya, namun kini, kita akan lebih realistik.

"Bagi saya, saya ingin mencari pasangan hidup yang kekal hingga akhir hayat dan beri keluarga yang baik. Setakat ini saya masih bujang dan belum ada sesiapa yang bertakhta di hati.

"Saya tidak serik dan sebagai seorang lelaki, pasti punya perasaan untuk berkahwin tapi seperti saya katakan tadi, tidak meletakkan sebarang tekanan," jelas Fahrin yang juga mengatakan bahawa menjari jodoh itu dianggap sebagai tanggungjawab diri sebagai seorang lelaki.

Namun, adakah selepas kecundang beberapa kali di alam percintaan membuatkan Fahrin serik dan menjadi seorang pemilih. Jawab Fahrin yang yang telah hidup bujang selama tiga tahun ini, jujur dirinya mengakui, dia tidak terlalu memilih tetapi, calon isterinya kelak akan dipilih di kalangan orang biasa dan bukannya dari kalangan selebriti mahupun orang yang dikenali.


FAHRIN menegaskan hatinya belum dimiliki sesiapa buat masa ini.


"Saya kenal dan berkawan dengan ramai wanita dan juga ada beberapa rakan dari kalangan pereka fesyen. Satu sahaja akan saya beritahu, jika saya punyai teman wanita, pasti semua orang akan tahu kelak. Kini, saya sedang fokus terhadap kerjaya saya dan Alhamdulillah, rezeki saya memang ada dan tidak pernah lekang," jawab Fahrin apabila ditebak persoalan mengenai kisah cintanya bersama seorang pereka fesyen.

Jurucakap motivasi

Selain selesa di dalam bidang lakonan dan pengacaraan, Fahrin juga sedang berjinak dengan bidang keusahawanan dan juga menjadi jurucakap motivasi. Walaupun ada sesetengah yang mungkin katakan Fahrin semakin 'hilang' dalam industri seni tetapi tidak bagi tuan punya badan.

"Pada tahun ini, karier saya masih di landasan yang betul dan kadangkala melebihi apa yang disangka. Cuma, saya sudah lama mahu ada perancangan lain selain aktif dalam bidang hiburan iaitu keusahawanan. Jadi, perkara tersebut terbatas kerana jadual dan komitmen jadual karier seni saya.

"Bagaimanapun, saya juga ada berjinak dalam bidang motivasi bersama rakan kongsi saya. Pada Disember tahun lepas, kami ada buat kajian tentang modul yang berjudul Perisai Buat Wanita. Ia adalah tentang peringatan buat kaum wanita dan remaja yang mudah terpedaya dengan tipu helah lelaki hingga terjadinya pelakuan jenayah, seperti keldai dadah dan sebagainya," tambahnya yang modul ini untuk kaum wanita dan gadis menilai dan jauhkan perkara tidak diingini.


FAHRIN dikelilingi 12 peserta program realiti Misi 12.


Bukan itu sahaja, rancak bercerita, Fahrin berkata, dia dan rakannya juga pernah bekerjasama dengan pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah dan juga Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad dalam beberapa sesi motivasi.

Serius berbicara, kata Fahrin, dia bersama rakan telah membuat kajian tentang modul ini dan bagi dirinya untuk menerima tawaran ini adalah kerana ia merupakan perkara baharu dan berbeza kerana pengisiannya yang berasas dan disokong pula dengan masalah sosial yang melanda negara kini.

"Pertama kali lakukan modul ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada bulan Disember tahun lepas dan seramai lebih 200 pelajar menghadirkan diri. Selain itu, kami juga ada terlibat dalam seminar IPAC (Ibu Bapa Prihatin Anak Cemerlang) di Shah Alam yang bergabung bersama Datuk Dr. Fadzilah Kamsah dan Dr. Asmadi.

"Jadi sekali lagi akan jalankan seminar tersebut pada bulan Jun ini yang sebelumnya diadakan juga pada Disember lepas dan telah menarik lebih 400 orang pelajar untuk sertainya," katanya yang menggunakan pengalaman diri yang boleh dikongsi sebagai modul pengajaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: