DALAM lapangan hiburan Malaysia hari ini, tidak ada banyak penyanyi solo lelaki yang mempunyai aura dan magis luar biasa. Jika mahu diingat-ingat, hampir tidak ada, kecuali penyanyi generasi baharu seperti Hafiz dan Aizat. Namun jika diselak ke belakang, boleh dinamakan beberapa orang penyanyi solo lelaki yang memang telah membuktikan kredibiliti dan terus menjadi pujaan ramai. Mereka adalah seperti Datuk M.Nasir, Ramli Sarip dan Anuar Zain.
Termasuk dalam barisan tersebut juga adalah Jamal Abdilah - si legenda penyanyi solo lelaki yang masih belum tawar manis aksinya di pentas dan menyentuh kalbu lunak vokalnya. Menyaksikan dia menghiburkan peminatnya di Ipoh, Perak dalam Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 yang dibawakan oleh Bombay WorldWide Sdn Bhd dan Persatuan Budak Bus Stand Ipoh (BBSI) di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada malam Sabtu lalu, ia adalah bukti kehebatan Jamal memang tiada tandingan.
Jamal hadir mempersona lebih 4,000 peminatnya dengan sungguh sederhana namun penuh mengujakan. Tanpa sebarang gimik atau penari latar yang berlebihan, dia yang segak dengan kot kelabu dan berkaca mata hitam berjaya ‘memasung’ peminat-peminatnya untuk terus asyik dibuai untaian lagu indah dendangannya tanpa lelah. Dua jam setengah tanpa henti Jamal menghiburkan peminatnya tanpa gagal.
Di atas pentas, dia mengaku agak lelah menyanyi tanpa henti dalam durasi dua jam setengah itu. Namun apa yang disuarakan seolah tidak memberi sebarang impak terhadap prestasi persembahannya. Vokal Jamal terus konsisten, malah langsung tidak tergelincir dan lebih membuat khalayak terpersona adalah keaslian vokalnya saling tidak tumpah dengan vokal yang telah dirakamkan di dalam album.
Membuat persembahan julung-julung kali di negeri kelahirannya, Perak, selepas 32 tahun menjadi penyanyi adalah satu momen emas buat ayah kepada dua anak, Osama Yamani dan Zaki ini. Malah dia begitu berbangga kerana secara tidak langsung telah membawa masuk ‘tetamu’ dari negeri berhampiran seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta ada yang datang dari Kuala Lumpur juga Singapura ke Perak untuk menjadi saksi persembahan perdananya di Ipoh.
“Sebenarnya saya ada banyak kenangan sedih di Ipoh, kenangan sewaktu zaman saya baru ingin bergelar penyanyi dan bersusah payah untuk menyertai pertandingan radio Bintang RTM di sini sebelum ke Kuala Lumpur. Jadi saya begitu teruja kerana selepas 32 tahun menjadi penyanyi, saya akhirnya kembali menyanyi di sini,” ujarnya di selang-seli segmen konsertnya.
Satu persatu hitnya didendangkan. Tersenarai dalam 24 buah lagu pada malam itu adalah Gadis Melayu, Di Sudut Kamar Hatiku dan Seroja yang menjadi pujaan ramai turut dilantunkan. Berada dalam senarai lagu yang didendangkan juga termasuk Secupak Dua Cupak, Sandarkan Pada Kenangan, Ghazal Untuk Rabiah, Azura dan banyak lagi.
Menerusi segmen khas P. Ramlee, Jamal mendendangkan lagu-lagu kegemarannya daripada seniman agung tersebut, antaranya Jeritan Batinku yang menyaksikan dia menitiskan air mata. Ditanya apa yang menyentuh hatinya sehingga dia menangis, Jamal memberitahu, perkara itu berlaku secara semula jadi kerana dia perlu menghayati lirik lagu tersebut.
“Ia juga mengingatkan saya tentang proses kehidupan saya. Saya berdoa kepada Allah agar proses kehidupan saya yang baik hari ini tidak jatuh sekali lagi. Harap Allah memberi rahmat terhadap kehidupan saya,” ujar Jamal penuh makna mengenai perjalanan hidupnya yang memang sinonim dengan najis dadah.
Seniman Menangis yang menjadi lagu terakhir adalah klimaks terbaik untuk menutup konsert tersebut. Duduk sambil memetik gitar, Jamal melontar vokal sehabis baik dan begitu mendalami setiap bait lirik nukilan Mama Juwie dan lagu hasil Datuk Ahmad Nawab itu. Ia kemudian serentak mendapat tepukan gemuruh dan seluruh isi stadium berdiri sebagai tanda apriasiasi terhadap kredibiliti Jamal.
Jamal Abdillah, biar apapun latar belakang kehidupannya, dia adalah penghibur legenda yang tiada tolok bandingan. Resipi Jamal sukses sehingga hari ini ada tiga. “Positif, reda dan ikhlas, Insya Allah kita akan bertahan kepada tahap yang kita ada sekarang,” katanya. Semoga dia masih mahu menjadi penghibur dan tidak kalah dalam peperangan peribadi sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: