PINTU REZEKI...beca satu-satunya sumber pendapatan Mohd Nasir.
DENGAN menggunakan tulang empat kerat, mereka tidak jemu-jemu mengerah keringat tanpa mengira masa demi mencari rezeki halal kepada keluarga. Pada pandangan mata kasar, mengayuh beca mungkin tidak sesukar mana, namun selepas mencuba sendiri, anda pasti setuju bahawa pendapatan golongan ini tidak setimpal dengan tenaga dikerah.
Apa tidaknya, walaupun bergerak hingga puluhan kilometer setiap hari mencari penumpang atau muatan, mereka hanya mampu memperoleh upah sekitar RM15 sehari atau purata pendapatan sebulan sekitar RM400 hingga RM800.
Bagi mendapatkan gambaran sebenar, wartawan Metro Ahad menelusuri bandar Kota Bharu dan Kuala Terengganu untuk menyelami kehidupan golongan ini.
Walaupun penarik beca terkenal di Melaka dan tersenarai sebagai antara aset tarikan pelancongan, namun di Kelantan dan Terengganu ia boleh diibaratkan seperti melukut di tepi gantang.Ini kerana penarik beca di dua negeri ini seolah-olah terpinggir daripada arus kemajuan dan kemodenan.
Bukan tidak pernah berusaha untuk berubah, sebaliknya faktor usia kebanyakan penarik beca yang rata-ratanya 50 tahun ke atas menyebabkan mereka sukar mencari pekerjaan lain. Lagipun, kebanyakan majikan tidak sudi mengambil golongan warga emas untuk bekerja.
Lebih menyedihkan, ketiadaan usaha menjadikan beca sebagai aset tarikan pelancong menyebabkan pengangkutan awam ini yang sungguh popular pada 1960-an hingga 1980-an terus terpinggir.
Mat Tahir Abdullah, 64, yang menarik beca sejak 40 tahun lalu, tanpa segan silu mengakui pekerjaan itu makin tersepit berikutan jumlah penumpang menyusut dari sehari ke sehari.
Dia mengakui pelancong, sama ada orang tempatan atau luar, takut menaiki beca mereka kerana kenderaan itu kelihatan sangat usang dan paling utama, langsung tidak menarik perhatian penumpang.
Ditanya kenapa becanya tidak diubah suai dan dihias dengan cantik sebagaimana di Melaka bagi menarik penumpang, jawapannya mudah iaitu kekangan kewangan.
“Nak baiki beca yang rosak pun saya tak mampu, apa lagi nak menghiasinya,” katanya.
Mat Tahir berkata, ramai tidak menyedari beca sering rosak, terutama apabila kerap membawa muatan. Antara bahagian paling mudah rosak ialah tayar, rantai, brek dan pedal pengayuh.
Katanya, kos menampal tiub bocor sekitar RM3 manakala bagi mengganti baru pula antara RM8 hingga RM15.
“Walaupun dalam sehari saya boleh dapat RM15, semuanya boleh habis jika beca rosak.
“Saya kerap mengalami masalah beca rosak. Sudahlah terpaksa mengeluarkan wang untuk membaikinya, ada ketika pula terpaksa duduk saja di rumah menanti beca siap dibaiki,” katanya.
Rutin hariannya sama setiap hari, keluar rumah seawal jam 6 pagi dan pulang sekitar jam 5 atau 6 petang.
Kawasan yang menjadi tumpuannya mencari rezeki adalah di beberapa pasar, terutama Pasar Siti Khadijah.
Dia bukan mencari pelancong, sebaliknya menunggu jika ada peniaga gerai makan mahu mendapatkan khidmat mereka membawa barangan basah seperti sayur, ikan, daging atau ayam.
Dengan muatan mencecah puluhan kilogram, dia terpaksa menerima tawaran membawa barangan berkenaan dengan upah serendah RM2 walaupun jarak penghantaran tidak sampai satu kilometer.
Menurutnya, tiada istilah beca membawa pelancong di Kota Bharu kerana jika terlalu mengharapkan pelancong atau penumpang, mungkin dia tidak akan memperoleh sesen pun sehari. Ini kerana dia menyedari kebanyakan pelancong tidak sanggup menaiki becanya yang usang.
Lebih teruk lagi, ada beca yang mungkin layak dibuat ‘tukun’ berikutan mengalami kerosakan teruk, terutama pada bahagian kerangka yang mereput.
Berdasarkan pemerhatian, ada penarik beca terpaksa menggunakan kaki untuk menghentikan kenderaan mereka berikutan brek kerap rosak kerana muatan dibawa terlalu berat.
Cara mudah untuk menghentikan beca jika mengalami masalah brek ialah dengan melompat turun dan menahan kenderaan itu atau memperlahankannya sewaktu turun dari kawasan berbukit.
Di Kuala Terengganu, Mohd Nasir Jusoh, 59 , berkata menarik beca adalah satu-satunya pekerjaan yang mampu dilakukan sesuai dengan usianya.
Dia yang menarik beca hampir empat tahun lalu mendakwa, bukan tidak mahu melakukan pekerjaan lain, tetapi tiada majikan sudi mengambilnya bekerja berikutan faktor usia, apatah lagi dia hanya bersekolah setakat darjah enam.
Rutin hariannya juga bermula seawal jam 6 pagi apabila dia perlu mengayuh lebih 15 kilometer dari rumahnya di Kampung Gelugor Raja untuk ke Pasar Payang di bandar Kuala Terengganu yang mengambil masa hampir sejam bagi mencari penumpang.
Mohd Nasir yang lebih dikenali sebagai Pak Yah di kalangan rakannya berkata, setiap hari dia berkayuh hampir 70 kilometer sama ada untuk menghantar penumpang atau barangan pelanggan.
Secara purata, dia hanya mendapat antara tiga hingga lima penumpang dengan bayaran RM2 seorang. Bagi mencari pendapatan lebih, dia turut mengangkut barangan penduduk atau peniaga bagi dihantar ke kawasan sekitar.
Setiap kali menerima tawaran pelanggan supaya menghantar barangan dalam jarak yang kadangkala melebihi 10 kilometer dengan bayaran antara RM8 hingga RM10, dia tidak betah menolaknya walaupun mengetahui becanya pasti kosong sebaik kayuh pulang semula ke bandar.
“Macam inilah hidup kami. Kalau nak harapkan penumpang semata-mata, memang tidak ramai yang mahu menggunakannya kerana bergerak lambat.
“Jadi terpaksa kami cari cara lain untuk menambah pendapatan dengan mengangkut serta menghantar barang pelanggan selain tidak memilih penumpang,” katanya.
Menurutnya, dalam sebulan pendapatan diperolehnya sekitar RM600 dan hanya sekadar cukup makan bagi menampung isteri dan dua anaknya yang berumur tiga dan enam tahun.
Jika hujan lebat, ada ketikanya dia langsung tidak memperoleh pendapatan berikutan tidak ada sesiapa mahu menggunakan khidmat penarik beca kerana khuatir basah.
“Itu kalau sehari, kalau seminggu hujan lebat... seminggulah kami tidak memperoleh pendapatan, apatah lagi jika banjir melanda,” katanya.
Kudrat semakin susut, hasil tidak setimpal
BUKAN mudah untuk mengayuh beca. Dengan berat beca sekitar 30 kilogram, kudrat sepenuh tenaga perlu dikerahkan untuk mengayuhnya, apatah lagi jika ia dinaiki penumpang atau diisi dengan barang yang kadangkala mencecah lebih 100 kilogram.
Walaupun dikayuh lelaki dewasa berusia lingkungan 20 hingga 30-an sekalipun, ia bukan kerja mudah apatah lagi jika baru pertama kali melakukannya.
Mungkin ramai beranggapan kerana sudah menjadi kebiasaan bagi si penarik beca, mereka lali dengan bebanan berkenaan.
Namun, dengan usia kebanyakan penarik beca yang rata-ratanya 50 tahun ke atas, kebanyakan mereka sebenarnya terpaksa menggagahkan diri kerana tiada pilihan lain.
Ia diakui Pak Yah yang mengayuh beca kerana ia satu-satunya pekerjaan yang boleh dilakukannya. Walaupun ada waktunya dia seakan-akan malas untuk mengayuh beca berikutan kudratnya semakin susut dan pendapatan tidak setimpal, Pak Yah terpaksa menggagahkan diri bagi memastikan dapurnya berasap.
Tugas itu menjadi makin rumit apabila mereka terpaksa melalui laluan berbukit untuk menghantar penumpang atau barang berbukit.
Bukan sekadar mengerah kudrat untuk mengayuh atau menolak beca, sebaliknya mereka juga terpaksa menahan beca sewaktu menuruni bukit.
Ini kerana jika mengharapkan brek semata-mata, ia belum mampu menahan berat serta menampung beban dibawa kerana dikhuatiri beca bergerak laju, sekali gus membahayakan keselamatan penumpang.
Mengendalikan beca juga tidak boleh dilakukan secara membuta tuli kerana cara mengayuhnya berbeza mengikut kesesuaian kawasan dilalui.
Ada masanya perlu dikayuh dan ada ketika pula ia perlu ditolak atau ditahan. Jika tidak, tenaga akan terbuang begitu saja, seterusnya membazirkan masa.
Menyusuri kawasan jalan raya yang dipenuhi pelbagai kenderaan dipandu laju, mereka perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kemalangan.
Wartawan yang mencuba mengayuh beca sejauh hampir lima kilometer turut merasai keperitan untuk mengendalikan pengangkutan tradisional itu.
Walaupun tanpa penumpang dan muatan, ia sudah cukup membuatkan otot kaki sakit dan badan terasa lelah, terutama apabila terpaksa menempuh cuaca panas.
Untuk mengendalikannya juga sukar, apatah lagi ketika membelok atau melakukan pusingan, tidak seperti basikal biasa.
Dengan brek yang tidak mencengkam sepenuhnya, wartawan terpaksa meloncat dari atas beca dan menggunakan tenaga untuk menahan, sekali gus memperlahankan beca yang bergerak laju.
Tinjauan hampir lima jam di sekitar kawasan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu dan Pasar Payang, Kuala Terengganu mendapati penarik beca memang sukar mendapatkan penumpang.
Ini kerana mereka antara lima hingga 10 orang dalam satu-satu masa dan untuk berlaku adil kepada rakan lain, penarik beca perlu bergilir-gilir membawa penumpang.
Jika tidak betah menunggu penumpang, mereka perlu mengayuh di kawasan bandar dan mengharap ada penduduk setempat menggunakan khidmat itu.
Wartawan yang mengikut Pak Yah selama dua hari mendapati bukan mudah baginya untuk mendapatkan penumpang.
Berpusing-pusing selama sejam di Pasar Payang atau di sekitar bandar belum tentu akan mendapat penumpang.
Mahu tidak mahu, mereka berkayuh semula ke kawasan pasar bagi menanti jika ada peniaga mahu menggunakan khidmat menghantar barang.
Fakta Beca
BECA adalah kenderaan beroda tiga yang asalnya diubahsuai daripada lanca, iaitu kenderaan beroda dua yang ditarik menggunakan kudrat manusia.
Di Malaysia, sejarah bermula pada 1914 apabila 15 beca didaftar di Singapura sebelum diperkenalkan di negeri-negeri Tanah Melayu.
Walaupun pada awalnya ia hanya mengangkut penumpang, kini ia turut digunakan bagi mengangkut barang. Boleh dikatakan hampir kebanyakan negeri di Malaysia mempunyai perkhidmatan beca, namun ia paling popular di Melaka dan Pulau Pinang kerana diiktiraf sebagai aset tarikan pelancongan.
Di negeri lain, perkhidmatan penarik beca makin pupus berikutan kurangnya permintaan daripada pelancong tempatan atau asing.
Di Melaka, harga beca mencecah antara RM3,000 hingga RM5,000 sebuah, bergantung kepada kelengkapan yang ada padanya seperti bateri, alat perhiasan seperti lampu dan set radio.
Bagaimanapun, di kebanyakan tempat seperti Kelantan dan Terengganu, harga beca sekitar RM800 hingga RM1,000 kerana hanya dilengkapi barangan asas seperti tempat duduk penumpang dan penutup bahagian atas.
Dianggarkan ada kira-kira 300 beca di Melaka, manakala hanya tinggal kurang 30 beca di Kelantan dan Terengganu.
Di Melaka, bayaran kira-kira RM20 hingga RM30 dikenakan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman menaiki beca bagi pusingan tidak sampai satu kilometer manakala untuk bergambar saja sekitar RM20.
Bayaran itu jauh berbeza berbanding diterima penarik beca bagi mengangkut barang serta penumpang di Kelantan dan Terengganu, iaitu hanya RM2 bagi jarak kurang dua kilometer dan RM5 hingga RM10 bagi jarak lapan hingga 10 kilometer.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: