|
|
HANYA berbekalkan sebuah lagu, Berdua Bersatu, kumpulan vokal terbaru taruhan KRU Music, Forteen kini boleh berbangga dan tersenyum puas dengan kejayaan mereka.
Tidak sampai setahun, populariti yang dikecapi sudah setanding dengan penyanyi popular lain dan mula mengumpul peminat sendiri.
Namun, kumpulan yang dianggotai empat anak muda iaitu One, Ariz, Ameer dan Izzue ini tidak mahu jangka hayat mereka bergantung kepada lagu Berdua Bersatu sahaja.
Sebaliknya Forteen mahu kelangsungan populariti mereka berterusan sehingga sampai ke satu tahap mereka benar-benar puas.
"Alhamdulillah, kami sendiri tidak pernah menyangka lagu Berdua Bersatu telah melonjakkan nama kami di persada seni tanah air.
"Kehadiran kami bukanlah hanya sekadar mahu memeriahkan industri seni suara semata-mata. Sebaliknya, Forteen mahu mengembalikan kegemilangan populariti kumpulan vokal yang pernah mendominasi pasaran muzik satu ketika dahulu.
"Kami percaya kekuatan lagu Berdua Bersatu ciptaan Edry Abdul Halim ini sebenarnya memainkan peranan yang bukan kecil dalam memperkenalkan kami kepada khalayak," kata One mewakili teman-temannya sewaktu ditemui di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Forteen percaya populariti yang dikecapi ketika ini ada kaitannya dengan strategi pemasaran yang sangat berkesan oleh KRU Music.
Serasi
Sekadar berkongsi cerita penubuhan mereka, One menjelaskan kesemua anggota kumpulan Forteen dipertemukan dalam satu sesi uji bakat tertutup yang dianjurkan oleh KRU Music.
Jika ada yang terlupa, One terlebih dahulu mencipta nama sebagai penyanyi dan pernah dinobatkan dengan trofi Artis Harapan Anugerah Industri Muzik Ke-13 (2006).
Bahkan, pemilik nama penuh Muhammad Ridzuan Sharifuddin ini juga pernah menyertai pertandingan realiti terbitan 8TV, One In A Million musim ketiga.
Sementara Izzue pula menceburi bidang seni sebagai pelakon sebelum mencuba nasib untuk menjadi seorang penyanyi.
Begitu juga dengan Ameer yang sebelum ini pernah menyanyi di persembahan kecil manakala Ariz pula bakatnya dikesan menerusi laman YouTube.
"Selepas melihat kebolehan kami dalam menyampaikan lagu secara berharmoni, kami digabungkan menjadi sebuah kumpulan.
"Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya bertemu selepas dipanggil semula oleh KRU, kami tidak mengambil masa yang lama untuk mencipta keserasian," kata Ariz atau nama sebenarnya, Saiful Ridzuan Abdul Hamid yang berusia 23 tahun.
Mungkin bagi sesetengah pihak, untuk menjadi sebuah kumpulan vokal, cabaran yang timbul adalah untuk mencari kelebihan dalam menonjolkan kredibiliti vokal masing-masing.
Dalam konteks kedudukan Forteen pula, Izzue menjelaskan Edry selaku komposer lagu-lagu mereka lebih arif untuk mengetahui kekuatan vokal setiap anggotanya.
"Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang masalah dari aspek nyanyian kerana semuanya telah diatur dengan baik.
"Jadi, kami tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak pernah timbul soal untuk membuktikan siapa memiliki vokal paling hebat dalam Forteen. Setiap daripada kami tahu tugas masing-masing kerana semua memiliki kelebihan tersendiri," kata Izzue anak kelahiran Kampung Badak Mati, Kota Bharu, Kelantan dalam nada optimis.
Impak
Meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat kerjaya mereka berjalan dengan baik, Forteen mengakui kekuatan dan impak Berdua Bersatu masih belum kebah sehingga kini terus bertahan dalam carta radio popular.
Biarpun begitu, Forteen tidak mahu terus leka sebaliknya memberitahu bahawa mereka kini sedang dalam perbincangan untuk merakamkan single kedua mereka.
Cukup sedar genre pop balada sudah serasi dengan imej mereka, Ameer pula memberitahu berkemungkinan besar single seterusnya juga masih lagi mengekalkan konsep yang serupa.
"Sebagai bakat baru, Forteen mahu menjadi kumpulan yang versatil dan tidak terikat kepada satu genre sahaja. Kami juga ingin menonjolkan variasi kepada penyampaian kami.
"Malah, kami juga mengharapkan agar kami dapat tampil dengan sebuah album mini. Sebenarnya, banyak perancangan yang kami ingin lakukan dalam mengukuhkan lagi kedudukan di dalam industri.
"Bernaung di bawah KRU Music juga telah memberikan inspirasi kepada kami untuk berjaya seperti sifu kami iaitu KRU.
"Mungkin kedengaran impian ini agak tinggi, tetapi kami juga mahu bakat kami diiktiraf dalam anugerah berprestij seperti Anugerah Industri Muzik," jelas pemilik nama penuh Mohamad Ameerais Azhar ini bersungguh.
Kekal
Melihatkan kepada jangka hayat kumpulan vokal di negara ini yang tidak dapat bertahan lama, apakah Forteen sudah bersiap-sedia seandainya perkara itu akan menghampiri mereka kelak.
Tidak mahu berfikiran negatif, sebaliknya One memberitahu dengan kerjaya seni yang baru bermula, mereka masih lagi memerlukan pengalaman bagi memastikan Forteen mampu terus bertahan.
"Saya mengambil contoh diri saya sendiri di mana Forteen sebenarnya telah menjenamakan diri saya semula. Benar, saya sudah bergiat dalam bidang ini sejak berusia 16 tahun lagi.
"Banyak rintangan dan cabaran yang telah saya tempuhi dalam mengejar cita-cita sebagai seorang penyanyi. Satu persatu peluang yang saya cari tetapi ia tidak membuahkan hasil seperti mana yang diharapkan.
"Lalu, apabila bersama Forteen, saya bersyukur dan rasa diri ini sangat bertuah kerana segala kepayahan masa lalu sudah mula dibalas dengan kejayaan ini.
"Dalam masa yang sama, saya masih menyimpan hasrat untuk muncul dengan album solo yang telah lama diimpikan," kata anak jati Kuala Lumpur ini tanpa selindung.
Begitu juga dengan Izzue yang harus membahagikan masanya antara lakonan dan nyanyian.
Tetapi, kata pemuda berusia 22 tahun itu, mujurlah dengan bantuan pihak pengurusan KRU, dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah kerana semuanya diatur dengan baik.
"Untuk tidak menyusahkan diri saya dan pihak lain, saya lebih selesa untuk berterus-terang mengenai kerjaya. Seandainya terikat dengan penggambaran, saya akan memberitahu pihak pengurusan dan mereka akan mengubahnya.
"Begitu juga jika perlu melibatkan diri dalam mana-mana persembahan, saya akan menjelaskan kepada pihak produksi drama yang saya terlibat.
"Saya tidak mahu menjadi seorang yang tamak sehingga akhirnya ia menyumbang kepada masalah buat diri sendiri," jelas Izzue yang pernah membintangi filem Songlap dan kini sibuk di lokasi filem Ular arahan Jason Chong.
Lapuk
Sudah menjadi resmi untuk artis baru terutama berkumpulan seperti Forteen yang memiliki paras rupa comel dan kacak yang dikaitkan dengan hubungan songsang sejenis.
Malah, angin sepoi-sepoi bahasa mula bertiup apabila "kisah" di sebalik lagu Berdua Bersatu yang dikatakan cuba mengupas cinta terhalang sepasang lelaki.
Agak terkejut dengan cerita yang tersebar itu, Ameer menjelaskan dia dan rakan-rakannya tidak dapat menghalang sesiapa seandainya ada yang berfikiran sebegitu.
"Forteen mahu mengubah stigma lapuk itu dan berharap masyarakat tidak lagi memandang serong kepada penyanyi berkumpulan seperti kami.
"Apakah setiap kali munculnya kumpulan artis lelaki, isu itu harus dibangkitkan? Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita semua berfikiran terbuka dan tidak lagi mempunyai pemikiran lapuk seperti itu.
"Masyarakat kini sudah pandai menilai dan bakat yang menjadi keutamaan. Forteen mahu dikenali kerana lagu dan bakat yang dikurniakan. Seboleh-bolehnya, bukan kerana cerita yang tidak enak mahupun gosip liar," kata Ameer penuh diplomasi sambil memohon agar cerita itu tidak dibangkitkan lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: