|
BELIAU pernah bekerja sebagai ‘mat despatch’ selepas tamat persekolahan dan pengajian peringkat ijazah daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pengurusan hotel.
Tidak pernah mengeluh dengan apa juga kerjaya dilakukan sama ada kecil atau besar, Datuk Borhanuddin Osman, 57, menikmati kehidupannya dengan sebaik mungkin sehinggalah berada pada kedudukannya kini.
Menurut Borhanuddin, dia memegang prinsip apa juga pekerjaan yang dilakukan mestilah dengan sepenuh hati.
“Semasa remaja, saya sangat suka menunggang motosikal jadi saya bekerja sebagai mat despatch. Ayah tidak menghalang malah, berpesan kepada saya apa juga yang ingin saya lakukan, mesti lakukan dengan sehabis baik walaupun hanya sebagai penghantar surat.
“Saya memegang kata-katanya sehingga kini. Percaya atau tidak, ia merupakan kata-kata azimat yang menyumbang kepada kejayaan saya hari ini,” jelas anak kepada bekas Ketua Pengarah Filem Negara Malaysia, Allahyarham Osman Shamsuddin itu.
Borhanuddin kini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Radio Komersial Malaysia (CRM) dan Pengarah Eksekutif Airtime Management and Programming (AMP) Radio Network.
Bahkan, sebagai orang kuat radio di negara ini dia juga, diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dan Pengerusi Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU).
Menurut Borhanuddin, walaupun beliau menyandang banyak jawatan, jadual sehariannya tidak sesibuk yang dibayangkan malah, tidak memberi tekanan kepadanya kerana ia adalah perkara yang disukainya.
“Saya anggap kerjaya saya sebagai hobi tetapi, hobi ini dibayar. Bukankah seronok begitu?” katanya.
Borhanuddin berkata, sebagai pengerusi CRM, dia bertanggungjawab untuk bekerja dengan 19 stesen radio komersial di Malaysia bahkan, dilantik memegang jawatan itu sebanyak lapan penggal berturut-turut sejak tahun 2004.
“Saya pun tidak tahu kenapa orang masih memilih saya. Tetapi selagi saya berada di sini harapan saya adalah untuk melihat industri radio di Malaysia berkembang pesat walaupun tidak dapat menandingi industri percetakan dan penyiaran lain.
“Justeru, saya menggunakan kelebihan yang saya miliki dalam bidang pengiklanan untuk membawa industri radio ini ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya yang menyertai bidang penyiaran seawal usia 23 tahun.
Selain itu, menjelaskan peranannya di AMP Radio Network yang mengendalikan radio seperti Sinar ERA, My FM dan Light & Easy, Borhanuddin memberitahu, dia bertanggungjawab memastikan pembangunan perniagaan selain menghantar laporan mengenainya kepada kumpulan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan lembaga pengarah.
“Objektif rangkaian ini ialah memberikan hiburan kepada pendengar dan dalam masa sama dapat menaikkan jumlah pendengar sekali gus meraih keuntungan.
“Daripada 19 stesen radio yang bernaung di bawah AMP, setiap satunya mempunyai kumpulan pendengar sasaran masing-masing serta memegang tanggungjawab menjalankan tanggungjawab korporat sosial yang bersesuaian,” katanya.
Menerusi ABU pula katanya, dia berpeluang menjelajah banyak negara Asia serta bertukar pendapat dan pengalaman dengan pengamal media penyiaran radio lain.
“Keghairahan saya dalam menyumbangkan idea setiap kali persidangan diadakan mungkin menjadi punca saya turut dilantik sebagai pengerusi di ABU walaupun delegasi lain yang hadir datang daripada pelbagai industri radio komersial lain di seluruh Asia.
“Justeru saya menganggap sifat keterbukaan, keyakinan dan keghairahan dalam melakukan sesuatu perkara amat penting bagi sesiapa sahaja dalam bidang yang mereka ceburi supaya setiap pekerjaan menjadi perkara yang seronok untuk dilakukan,” katanya.
Memori arwah bapa
Menyoroti zaman awal pembabitannya dalam bidang pengiklanan dan radio, Borhanuddin memberitahu, dia yang telah mengabdikan dua dekad kehidupannya dalam bidang pengiklanan terjun ke dalam bidang radio dengan membawa sebanyak mungkin ilmu pengiklanan itu.
“Saya memilih radio walaupun bidang penyiaran televisyen dan penerbitan akhbar lebih jauh ke depan ketika itu kerana saya mempunyai visi untuk menaikkan imej radio. Ia terbukti berjaya dan semakin mendapat tempat di hati pendengar malah, dengan adanya sistem penyiaran yang sistematik dan berteknologi tinggi hasrat ini lebih mudah dicapai.
“Tidak seperti zaman dahulu, radio memang susah nak jual,” katanya yang sudah 13 tahun menyertai industri radio komersial.
Barangkali juga katanya, memori bersama arwah bapa beliau yang suka mendengar radio semasa dia masih kecil menyebabkan dia lebih dekat dengan bidang itu lebih-lebih lagi dia turut sempat melihat kemesraan arwah bapanya dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang sama-sama membina kerjaya pada waktu berkenaan.
“Dahulu di rumah saya di Petaling Jaya ayah sentiasa memasang radio di rumah bahkan, ada pembesar suara di mana-mana termasuk di dalam tandas. Pada ketika itu sekitar tahun 1970-an saya amat menggemari siaran radio RTM waktu pagi yang dihoskan oleh Patrick Teoh iaitu Kee Huat’s Fantastic Facts and Fancies.
“Malah, saya juga gemar berkunjung ke sebuah kedai rekod di Ampang Park, Kuala Lumpur kerana kita boleh memilih lagu-lagu yang ingin dirakamkan dan dibeli,” katanya yang masih menyimpan dan memainkan rekod-rekod berkenaan di rumahnya kini.
Kecintaannya kepada dunia muzik juga menyebabkan lelaki itu menyediakan sebuah studio jamming di rumah lengkap dengan peralatan muzik seperti gitar, drum dan piano.
“Saya berkongsi hobi dalam bidang muzik bersama anak-anak saya Afiq, Aqil dan Atiqah walaupun mereka tidak memilih bidang penyiaran untuk menyambung pengajian di peringkat universiti,” katanya mengenai tiga orang anaknya yang masing-masing berumur 23, 21 dan 18 tahun itu.
Tambahnya, tanggungjawab kerjaya juga tidak menghalang untuknya memiliki hobi lain seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi dan menyertai sukan golf setiap kali mempunyai kelapangan.
“Saya tidak bercadang untuk berhenti daripada bekerja selagi terdaya kerana ia perkara yang saya suka lakukan dan gembira melakukannya.
“Isteri saya, Datin Juwizah Idris pernah bertanya kepada saya, apa lagi cita-cita saya selepas ini?” katanya yang telah mengunjungi 33 buah negara sepanjang kerjayanya di dalam industri radio komersial.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: