Saturday, February 18, 2012

Lokasi wajib peminat tegar automotif



INDUSTRI automotif dunia berubah mendadak sejak awal tahun 1990-an apabila peralatan sokongan dari industri hiliran membanjiri pasaran. Tahun 1990-an adalah era emas buat pengilang barangan aftermarket dengan meningkatnya permintaan daripada pengguna.

Komponen seperti audio, aksesori, peralatan prestasi tinggi, rim serta teknologi baharu komputer menghasilkan banyak produk yang mula mendapat perhatian dari rumah talaan (tuning house). Begitu juga dengan pembuat bodykit sehinggalah industri sekecil pelekat (stickers) dan wangian dalam kereta.

Pada hari ini, Tokyo Auto Salon (TAS) adalah pameran aftermaket terbesar di dunia. Ia memperagakan lebih 600 buah kenderaan, melibatkan 300 pengusaha, puluhan persatuan serta penyertaan universiti dan kolej automotif di Jepun.

Kesempatan mengunjungi TAS pada Januari lalu sekali lagi membuka mata saya betapa pentingnya industri ini dalam menjamin kelangsungan hidup industri pembuatan kenderaan dalam persekitaran yang sentiasa berubah.

Berbeza dengan pameran kereta seperti Tokyo Motor Show yang menghidangkan model baharu dan konsep, TAS menumpukan sepenuhnya pada industri aftermarket.

Keunikan yang boleh dilihat di sana adalah persembahan produk baru daripada penala terkenal seperti HKS, Blitz, APEXi, 5Zigen, Fujitsubo, TEIN, Endless dan berpuluh-puluh lagi nama yang menjadi nadi sebenar dalam merancakkan industri automotif Jepun.

Mereka telah bertapak dalam industri. Bukan sekadar mendapat sokongan pengguna, malah 'pengesahan' tidak rasmi daripada pengeluar kenderaan sendiri. Ternyata Toyota tidak hanya cukup dengan sayap Modellista dan TRD. Nissan pula tidak bergantung sepenuhnya kepada Nismo dan Honda bukanlah hanya berkenaan Spoon dan Mugen.


TRUST mempamerkan GTR konsep iaitu Greddy 35RX GT-R yang menggunakan bodykit Bensopra.


Acara itu diadakan setiap awal tahun di dewan pameran Nippon atau lebih dikenali sebagai Makuhari Messe Convention Centre. Terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Tokyo, ia menjadi lokasi paling sibuk setiap kali acara TAS berlangsung. Lapan buah dewan tertutup, satu petak khusus lapangan drift dan sebuah dewan pameran tambahan mengambil posisinya pada tahun ini.

Masuk ke dalam dewan pameran, limpahan lampu neon berkelip-kelip dari segenap sudut. Kereta-kereta daripada penala kecil dan peserta persendirian saling berkongsi lokasi dengan jenama besar seperti Mugen dan Nissan. Jarang sekali dapat dilihat sebuah kereta baharu dipamerkan, pada masa sama di sebelahnya pula ialah model yang sudah siap dengan modifikasi produk terbaharu.

Terdapat beberapa pelancaran menarik yang dilangsungkan pada TAS 2012. Berikut adalah sorotan yang dipilih dan saya kira merupakan tarikan utama pada tahun ini.


NISSAN GTR yang dipasang dengan widebody ekstrem Bensopra.


Bensopra

Bensopra berjaya apabila projek kereta pertamanya, Lamborghini Gallarado mendapat liputan meluas. Termasuklah liputan dalam majalah paling berprestij di Jepun iaitu Genroq. Bensopra ialah sebuah syarikat baharu yang didaftarkan pada tahun lalu dan berpusat di Osaka, barat Jepun.

Untuk TAS 2012, Bensopra menampilkan Nissan GTR dengan rekaan badan widebody yang ekstrem. Lihat saja rekaan fender hadapan, arch belakang, sayap dan hud yang dibuka secara one piece. Kit itu telah mula dijual pada harga RM150,000. Sekali gus meletakkan Bensopra sebagai tuner eksotik. Kalau dalam industri fesyen, GTR Bensopra ibarat Louis Vuitton atau Hermes.

Tidak hanya tertumpu pada kerja kosmetik badan sahaja, enjin GTR itu turut diubah suai dan mampu menghasilkan 1,000bhp. Kuasa yang sama dihasilkan oleh Bugatti Veyron pada harga lebih 10 kali ganda. Reputasi Bensopra semakin dihormati apabila mereka mendapat tempahan daripada Trust/Greddy. Pihak Trust mempamerkan GTR konsep mereka iaitu Greddy 35RX GT-R yang menggunakan bodykit Bensopra.

RE Amemiya

Jika anda pemilik atau peminat Mazda RX-7, ini bukanlah nama asing. Inilah syarikat yang benar-benar menumpukan R&D mereka terhadap teknologi enjin rotari Mazda.

Tahun ini mereka mempersembahkan Super NA7. Ia adalah versi asal RX7 keluaran 1993 yang dihasilkan semula dengan kit badan cukup kontroversi. Bentuknya berubah sama sekali berbanding RX7 yang pernah dihasilkan sebelum ini. Jentera tersebut menggunakan enjin aspirasi biasa 13B tanpa pendesak turbo yang mempunyai tahap putaran rpm tertinggi dalam kelasnya.

Hakosuka

Kereta-kereta ‘old school’ Jepun sebenarnya jauh lebih berpengaruh daripada jentera Hot Rod AS. Kereta klasik Jepun seperti Nissan Fairlady Z, Datsun Skyline ‘Hakosuka’, Starlet KP, Toyota GT2000, AE86 Trueno dan Mazda RX2 mengisi ruang pameran di sisi kereta berteknologi moden. Ini juga menjadi faktor unik TAS dikenali ramai. Melihat kereta-kereta klasik itu direstorasi dengan begitu sempurna di bawah satu bumbung adalah syurga buat penggemar kereta ‘old school’.

Rocky Auto ialah antara bengkel terkenal yang mengkhusus kepada pemulihan kereta lama. Pada TAS2012, mereka mempamerkan sebuah Skyline GTR keluaran 1969. Jika Hakosuka dikenali di seluruh dunia dengan mesin S20 (enam silinder sebaris) yang mengagumkan, Rocky auto sebaliknya memasang 1UZ. Enjin Lexus dengan bentangan 8 silinder V8 berkapasiti 4,000cc. Boleh bayangkan sebuah enjin V8 tahun 2008 dalam sebuah kereta keluaran 1969?

Veilside

Veilside boleh dikatakan ‘presiden’ dalam kalangan semua pembuat bodykit Jepun jika dibandingkan dengan generasi baharu seperti Varis, Chargespeed dan C-west. Ia berasal dari Tsukuba dan memulakan bisnes pada tahun 1990. Era 1990-an meletakkan nama Veilside di persada tertinggi modifikasi apabila pengasasnya Hirano melancarkan Supra Combat di Tokyo Auto Salon pada tahun 1994. Kereta itu memenangi kategori Complete Car Category.

Sejak itu, Veilside mengetengahkan idea di luar kotak. Siri seperti rim Andrew dan kit terkini Fortune yang ditawarkan pada casis RX7, Supra, NSX, MRS dan Skyline V35 menampilkan rekaan yang cukup ekstrem. Jika anda pernah menonton filem Tokyo Drift dan masih ingat RX7 oren yang dipandu Han, itulah rupa bentuk sebenar Veilside Fortune.

Maju ke millenium baharu di TAS 2012, Veilside menghidangkan siri Mercedes SL. Siri R320 yang dinamakan Black Fortune. Ilhamnya diambil daripada SL65 Black Series tetapi bahagian hud, bumper depan dan skirting tepi diubah.

Selain nama-nama besar itu, pemain baharu dalam industri juga mengambil peluang memperkenalkan idea kreatif mereka. Syarikat seperti C-West mempamerkan Nissan GTR versi global dengan kit terbaharu.

HKS, JUN, Deft Craft, Kazama Auto, Uras turut memeriahkan TAS 2012. Di satu sudut lain, Toyota FT86 dan Subaru BRZ menjadi tumpuan ramai.

Secara teknikalnya, kereta ni belum dijual secara rasmi, hanya tuner sahaja yang mendapat kereta itu. Di petak TRD, bersusun peralatan aftermarket kereta itu yang sedia untuk dijual sebaik sahaja ia dilancarkan kelak.

Uniknya TAS bukan tentang pameran saja. Seperti lazimnya, setiap tahun, kawasan parkir dipenuhi dengan kereta menarik yang dimiliki pengunjung. Sesetengah kereta yang diparkir kadangkala lebih bagus daripada kereta yang dipamerkan di dalam dewan. Mereka datang sejauh Osaka dan Sapporo. Malah ada yang berkhemah sejak malam sebelumnya untuk menunggu pintu dewan pameran dibuka.

TAS adalah bukti bahawa industri aftermarket merupakan pendukung bagi mencapai kejayaan besar dalam automotif. Banyak pemerhati percaya bahawa TAS sudah jauh mendahului Tokyo Motor Show dari sudut kualiti persembahan, mahupun tarikannya kepada pengunjung. Jika anda seorang peminat tegar automotif, tiada tempat yang lebih lengkap dilawati setiap Januari melainkan Tokyo Auto Salon!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: