|
|
IMPAK lakonannya dalam filem pecah panggung, Ombak Rindu tahun lalu telah membawa Maya Karin 'terbang' ke destinasi yang lebih tinggi.
Harus diakui, watak Izzah yang dilakonkan dalam filem arahan Osman Ali itu telah membuka mata ramai pihak yang mungkin sebelum ini berfikiran skeptikal terhadap lakonannya.
Bagi Maya, dia benar-benar bersyukur kerana Ombak Rindu telah berjaya menawan hati pencinta filem tempatan dan menjadikan filem tersebut sukses.
Dengan penuh terbuka juga anak kelahiran Beyreuth, Jerman ini mengakui, Ombak Rindu dianggapnya sebagai anjakan baru dalam karier selepas impak Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM) sekitar lapan tahun lalu.
"Saya melihat kejayaan menerusi Ombak Rindu sebagai pusingan kedua dalam karier saya. Sebelum ini, ada yang menyangkakan saya tidak mampu bertahan lama selepas populariti filem PHSM selain kemunculan pelakon baru.
"Dalam konteks Ombak Rindu, saya menganggapnya sebagai durian runtuh untuk diri sendiri walaupun pada awalnya, kurang yakin untuk membawakan watak Izzah.
"Tetapi kepercayaan yang diberikan oleh penerbitnya, Sharad Sharan yang tetap mahukan saya dan menjadikan saya pilihan pertama nyata telah membuahkan hasil.
"Dan saya sendiri tidak pernah menyangka impaknya akan menjadi sesuatu yang besar," kata Maya sewaktu ditemui usai majlis pelantikannya sebagai Duta Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) yang berlangsung di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi dan Pengarah Eksekutif YOKUK, Datin Suliana Shamsuddin Alias.
Sejak menjadi seorang pelakon lebih sedekad yang lalu, Maya dikenali sebagai antara aktres yang begitu memilih dan selektif dalam berkarya.
Lalu apabila Ombak Rindu mencatatkan kejayaan luar biasa, secara tidak langsung membuktikan prinsip yang dipegangnya selama ini adalah tepat sekali.
Selektif menjadi
Bagi Maya, tiada gunanya untuk seseorang pelakon itu membintangi puluhan filem tetapi tidak banyak yang mampu dikenang oleh peminat.
"Adalah lebih baik jika dalam portfolio seseorang pelakon itu hanya mempunyai 10 buah filem tetapi lapan daripadanya diingati oleh peminat.
"Bukan sengaja mahu mendabik dada atau membangga diri tetapi dalam konteks ini, saya rasa bertuah kerana peminat mengingati filem-filem saya seperti Duyung dan Pisau Cukur.
"Saya akan terus menjadi selektif dan hanya memilih skrip serta watak yang dirasakan mampu memberikan kepuasan kepada saya sebagai seorang pelakon.
"Atas alasan itu jugalah, sehingga ke hari ini hati saya belum terbuka untuk berlakon drama. Jika tidak, saya pasti akan ditawarkan dengan watak yang sama seperti Izzah. Mungkin kerana menjadi selektif dan hanya berlakon filem, maka, hal itu tidak berlaku," kata pelakon berusia 32 tahun itu yang mula menempa nama menerusi filem Seri Dewi Malam arahan Aziz M. Osman pada tahun 2001.
Dalam pertemuan itu juga, pelakon kacukan Jerman-Melayu ini turut bercerita tentang persediaannya menghadapi segala kemungkinan dalam kariernya pada masa depan.
Sememangnya satu realiti yang tidak boleh dinafikan, seseorang aktres itu tidak akan diberikan watak sebagai heroin sepanjang perjalanan kerjayanya.
Sebagai seorang yang sudah senior dalam industri, Maya lebih selesa untuk melihat dari sudut positif sewaktu memberikan hujahnya.
"Memang realitinya dalam industri kita watak heroin selalunya diberikan kepada mereka yang berusia dari awal 20-an sehingga 30-an.
"Saya percaya khidmat pelakon senior masih lagi diperlukan kerana apa yang penting adalah bakat. Jika kita mempunyai trek rekod yang baik dan cemerlang, saya yakin perkara itu bukan satu masalah besar.
"Lihatlah sahaja di Hollywood bagaimana Sandra Bullock dan Angelina Jolie masih lagi diberi peluang serta tanggungjawab sebagai teraju utama sesebuah filem. Saya yakin di Malaysia juga begitu," ujar pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun menerusi filem PHSM itu lagi.
Maya turut mengesahkan dalam waktu terdekat ini, dia akan membintangi filem ketiga daripada siri Lagenda Budak Setan yang berjudul Kasyah.
Kata Maya, walaupun filem sekuel, Katerina yang dibintangi bersama Farid Kamil hanya akan ditayangkan sekitar pertengahan tahun ini, Sharad sudah tidak sabar lagi untuk memulakan penggambaran.
"Dia yakin dengan naskhah Katerina yang mampu mencatatkan kejayaan. Sebab itu dia tidak mahu menunggu masa yang lama untuk memulakan projek filem ketiga ini," ujar jelitawan itu.
Mungkin Maya boleh dianggap seorang yang beruntung kerana setiap filem yang dilakonkannya telah membina ikatan yang cukup akrab antara dirinya dengan pengarah filem tertentu.
Dua nama yang dilihat cukup sinonim dengan kerjaya Maya adalah Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Osman Ali, sehingga ada yang melabel Maya sebagai anak emas mereka.
Sambil tersenyum, Maya menjelaskan dia mempunyai rasa hormat kepada dua pengarah itu dan sebelum memulakan penggambaran lagi, dia terlebih dahulu membuat persiapan bagi memudahkan kerjasama di lokasi.
"Keserasian itu lahir dengan sendirinya dan menyebabkan saya begitu selesa dengan Shumi (panggilan untuk Shuhaimi Baba) dan Osman. Memang sukar sekali untuk menolak tawaran daripada mereka.
"Tetapi bukan selalu saya berlakon di bawah arahan mereka kerana semuanya bergantung kepada kelapangan jadual saya juga. Mereka sendiri banyak membantu untuk meningkatkan lagi kualiti lakonan saya," kata Maya yang pernah diiktiraf sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 (2008) menerusi filem Anak Halal ini lagi.
Lupakan soal album
Sebelum ini, Maya pernah mengkhabarkan akan muncul dengan album ketiganya. Jika tidak silap perhitungan, perkara itu sudah dihebahkan sejak dua tahun lalu.
Namun sehingga ke hari ini, album yang dikatakan itu masih tidak nampak bayang dan lagu daripada album itu juga masih belum kedengaran di corong radio.
Sewaktu bertanyakan soal itu kepada Maya, dia hanya mampu menghela nafas yang panjang sambil menggelengkan kepala sebagai tanda enggan lagi berbicara tentang album.
"Saya sendiri sudah naik segan untuk bercerita tentang album itu. Sebenarnya, semuanya sudah siap dan album terbitan Audi Mok itu mempunyai tujuh buah lagu.
"Masalah yang timbul sekarang ini apabila ada pihak yang mahu mengambil saya menjadi artis rakaman mereka tetapi masih tiada pengesahan. Sekarang ini semuanya tergantung apabila tiada jawapan daripada mana-mana pihak, sehinggakan album saya itu ditangguhkan buat sementara.
"Ini kerana pihak terbabit ada menyuarakan hasrat untuk saya merakamkan album baru dan tidak mahu menggunakan karya dalam album yang sudah dirakamkan sebelum ini. Tunggu sahajalah nanti bila masanya akan tiba, segala persoalan akan terjawab," jelas Maya yang sebelum ini sudah melahirkan dua album, Bukan Qalamaya (2004) dan Erti Cinta (2001).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: