Kolaborasi semakin menjadi trend

Trend kolaborasi artis lama dan baru, kian mendapat tempat di hati pendengar masa kini.

Lihat saja lagu, kalau Berpacaran, gandingan Ana Raffali, Altimet dan Sohaimi Meor Hassan, yang berjaya memikat pelbagai lapisan pendengar.

Bukan saja pernah mengungguli beberapa carta radio tempatan, malah lagu ini juga berjaya mara sehingga ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-26, baru-baru ini.

Walaupun gagal dinobatkan sebagai juara, namun lagu ini tetap menang di hati kebanyakan peminat, memandangkan sehingga kini ia menjadi siulan ramai.

Tidak terhenti si situ, trend kolaborasi ini diteruskan lagi dengan beberapa gandingan mantap sehingga menarik nama besar seperti Jamal Abdillah dan Ramlah Ram. Ternyata percaturan Raja Pop, bersama Malique (Too Pat), menerusi lagi, Aku Maafkan Kamu, mencuri tumpuan ramai.

Tidak kurang hebatnya dengan Ramlah Ram dan Sleeq, menerusi lagu Sesaat Kau Datang, yang kini semakin rancak diputarkan radio-radio tempatan.

Kewujudan kolaborasi lama dan baru ini, sedikit sebanyak memeriahkan industri muzik tanah air sekali gus memberi impak positif kepada penggiat seni tempatan.

Kepelbagaian karakter dan kekuatan yang dimiliki penyanyi dua generasi ini mampu menghasilkan lagu-lagu yang lebih kreatif serta berupaya menarik minat pendengar. Namun di sebalik kejayaan kolaborasi ini, ada juga segelintir pihak tidak senang dengan identiti muzik yang dibawa. Bagi mereka, ada karya yang terlalu diberi nafas baru, sehingga merosakkan keaslian dan identiti muzik.

Sejauh manakah kolaborasi ini berjaya dan sejauh mana pula muzik yang dibawakan mereka mampu memberikan nafas baru terhadap industri seni tanah air? Ikuti pandangan,

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim dan beberapa penyanyi lama dan baru mengenai kolaborasi yang semakin menjadi trend ini.

Sejak akhir-akhir ini, trend kolaborasi artis baru dan lama kian mendapat perhatian. Apa pandangan Norman mengenai situasi ini?

Norman : Sudah tentunya ia adalah sesuatu yang bagus dan perlu mendapat perhatian umum. Bukan sahaja di negara kita, malah artis luar negara juga turut membuat kolaborasi bersama. Ia adalah fenomena yang sihat dan mampu mengembangkan industri kita ke arah yang lebih kreatif.

Ada juga segelintir pihak menganggap kolaborasi ini bertujuan untuk menaikkan semula nama artis lama yang sudah lama menyepi.

Norman : Kolaborasi bukan hanya membantu menaikkan artis lama, malah artis baru juga akan lebih dikenali. Jika percaturan mereka berjaya, mereka pastinya mendapat perhatian umum dan artis lama akan kembali diingati. Sejujurnya, saya tidak nampak sudut negatif dalam konsep kolaborasi kerana masing-masing mampu menonjolkan kehebatan dan kebolehan. Kebolehan setiap orang berbeza dengan orang lain. Jadi, itulah sebenarnya kelainan dan tarikan yang ada pada mereka. Mereka dapat mevariasikan muzik yang ada mengikut cara tersendiri.

Tidak semua menyukai hasil kolaborasi artis baru dan lama. Ada sesetengah menganggap artis lama hanya mahu menumpang populariti artis baru. Apa komen anda?

Norman: Tidak pernah timbul isu tumpang populariti. Setiap artis mempunyai kehebatan dan kekuatan masing-masing. Mereka hanya cuba bekerjasama untuk hasilkan karya yang lebih baik. Itu hanyalah pendapat segelintir peminat yang tidak berpuas hati dengan kemunculan artis lama. Ada kalanya media juga sering salah tafsir mengenai kemunculan artis lama. Persepsi sebegini harus dikikis agar ia tidak terus menjadi halangan untuk artis lama terus berada dalam industri bersama artis baru.

Muzik sentiasa mengalami perubahan, adakah genre muzik yang dibawa dilihat bersesuaian dengan mereka, terutama penyanyi lama?

Norman: Bagi saya, apa sahaja genre boleh ditampilkan mengikut kesesuaian kedua-dua penyanyi tersebut. Masyarakat kini tidak terikat dengan satu genre sahaja, asalkan ianya sedap didengar, sudah pastinya mendapat tempat di hati peminat. Lagu yang dipilih haruslah sesuai dengan gaya dan penampilan mereka kerana pemilihan lagu sangat penting dalam konsep kolaborasi ini. Kolaborasi juga bukan bergantung kepada populariti tetapi pada lagu dan suara yang bagus.

Tidak semua kolaborasi berjaya kerana wujudnya percanggahan pendapat serta masalah berkaitan lain. Bagaimana cara untuk menangani masalah sedemikian?

Norman: Jika masalah tersebut timbul semasa atau selepas kolaborasi, ia harus diselesaikan dengan sebaik mungkin di antara dua pihak. Seharusnya, sebelum berkolaborasi, kedua-dua pihak harus menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dalam apa jua promosi serta persembahan. Namun, jika ia masih berlaku, persefahaman itu memainkan peranan. Ini mungkin kerana ketidakserasian antara dua pihak. Mereka seharusnya berbincang dan cuba untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit secara bijaksana.

Nasihat dan teguran anda kepada mereka yang berminat dengan kolaborasi ini?

Artis generasi baru haruslah mengamalkan sikap menghormati golongan lama. Jika terdapat apa jua masalah, haruslah berbincang di peringkat awal. Sepatutnya, sebelum membuat keputusan untuk menghasilkan kolaborasi, mereka perlu memilih artis yang sesuai dan memilih mereka yang mempunyai komitmen yang tinggi dalam bidang seni. Sekiranya ada masalah, berbincanglah dengan baik tanpa merugikan mana-mana pihak.


Ikut peredaran zaman: Ramlah Ram

Suatu ketika dulu, kehebatan Ramlah Ram dalam irama balada tidak perlu dipertikai lagi. Namun kini, percaturannya untuk membawakan konsep Pop, R&B dan Rap, juga membuahkan hasil.

Mengakui perbezaan zaman menjadi sebab utama pemilihan lagu berentak ‘catchy’, Ramlah tidak mahu ketinggalan untuk memperkenalkan rentak lain mengikut perkembangan industri tempatan.

“Zaman 80 an tidak sama seperti sekarang. Jika saya masih mengekalkan konsep dan irama yang pernah popular dulu, mungkin tidak ramai yang boleh ‘layan’ lagu saya.

“Lagu yang dihasilkan haruslah bersesuaian dengan zaman. Secara tidak langsung, saya dapat buktikan kepada umum bahawa saya tidak terikat dengan irama balada sahaja.

“Saya berpuas hati dengan maklum balas yang diterima melalui single ini. Bukan sahaja golongan muda, malah semua peringkat umur dapat menerima buah tangan terbaru saya. Secara tidak langsung, ia telah mengembalikan semangat saya untuk menyanyi semula,” katanya yang mengutamakan persefahaman dengan rakan kolaborasinya, Sleeq, dari Singapura.

Sesaat Kau Datang, merupakan kolaborasi kedua Ramlah bersama artis baru selepas, Benar Mencintai, bersama Faris, Awanband beberapa bulan lalu.


Sohaimi yakin bakat baru

Pernah mencipta fenomena tersendiri menerusi lagu, Epilog Cinta Dari Bromley, Sohaimi Mior Hasan bukanlah nama picisan dalam industri tempatan.

Digelarkan ‘Broery Marantika Malaysia’ kerana suara jantannya yang mampu meruntun jiwa wanita, Sohaimi juga berkebolehan dalam penghasilan lirik.

Kemunculan semulanya menerusi lagu Kalau Berpacaran, hasil kolaborasi bersama Ana Rafali dan Altimet, membuktikan Sohaimi masih berbisa dan mampu bersaing dengan muka-muka baru.

Lagu yang berbentuk nasihat dan diselitkan dengan irama, A Go Go dan Hip Hop, mula mendapat tempat di hati peminat setelah mendapat sambutan dalam kebanyakan corong radio tempatan.

Menurut Sohaimi, Kalau Berpacaran, adalah permulaan baginya untuk kembali semula di dalam bidang nyanyian setelah lama menyepi.

“Saya memilih Ana Rafali dan Altimet untuk bekerjasama kerana saya tahu akan bakat yang mereka ada. Tanpa mereka, mungkin lagu ini tidak akan jadi sehebat ini.

“Dari segi irama, saya cipta mengikut trend terkini yang lebih segar dan 'catchy'. Bukan berniat untuk melupakan irama di awal kemunculan saya, tetapi dalam industri kita haruslah berusaha untuk menyediakan karya yang lebih diminati pendengar mengikut edaran zaman.

“Walaupun diselitkan dengan rentak Hip Hop, namun saya masih mengutamakan nilai dalam lagu seperti nasihat dan pengajaran,” katanya yang turut berkolaborasi bersama, Erra Fazira menerusi lagu Dalam Rumah Tangga dan Misteri Cinta bersama Ziana Zain.


Kembalikan kegemilangan: Datuk A Rahman Hassan

Pernah tampil berkolaborasi bersama kumpulan VE pada 2008 menerusi lagu, Tak Mengapa, Datuk A Rahman Hassan, mengakui kolaborasi bersama penyanyi muda dapat mengetengahkan semula kegemilangannya dalam industri seni. Malah beliau, berbesar hati sekiranya ada penyanyi muda yang ingin mendapatkan kerjasama darinya.

Jelasnya, kolaborasi bersama VE mendapat maklum balas yang baik daripada penonton, malah ada golongan muda yang mula menyedari kehadirannya dalam industri.

“Masa saya nyanyikan semula lagu Tak Mengapa bersama VE, ramai golongan remaja yang mula kenal dengan saya. Namun, setelah VE membuat keputusan untuk berhijrah, saya hanya bermain muzik bersama kumpulan saya, Orkestra Nirwana.

“Jika ada tawaran dan undangan dari kumpulan lain untuk membuat kolaborasi bersama, saya akan tidak keberatan. Tapi, untuk saya mencari kumpulan yang sesuai untuk berkolaborasi, agak sukar.

“Saya seronok bekerjasama dengan artis-artis baru kerana mereka membawa kelainan yang boleh diguna pakai untuk menarik minat pendengar,” katanya yang masih aktif memenuhi undangan nyanyian.


Satu penghormatan: Tomok

Kolaborasi penyanyi baru dan lama menerusi sesebuah lagu sememangnya dilihat sebagai perkara yang sihat dalam industri seni tanah air.

Juara program realiti, One In A Million, musim ke tiga, Tomok turut merasakan kerjasama yang terjalin ini adalah satu usaha yang dilakukan bagi menghargai jasa dan sumbangan penyanyi lama dalam industri.

“Kolaborasi ini juga boleh dikatakan sebagai satu penghormatan buat penyanyi baru bergandingan dengan artis penyanyi berpengalaman sekali gus memberi nafas baru terhadap lagu tersebut.

“Sekiranya diberikan tawaran yang sama, saya tidak akan teragak-agak untuk terima kerana bagi saya tidak semua penyanyi berpeluang untuk melakukannya,” katanya.

Tomok yang juga bakal mengeluarkan album keduanya pada tahun ini menyatakan industri muzik tanah air kini lebih meriah dengan kemunculan lagu-lagu kolaborasi seperti dan ia perlu diteruskan memandangkan respons yang diberikan peminat juga tidak menghampakan.


Shila tunggu peluang

Jika dilihat di luar negara, kolaborasi antara penyanyi baru dan lama bukanlah sesuatu perkara baru, berbeza dengan industri tempatan yang kini baru sahaja berjinak-jinak memulakan kerjasama seperti itu.

Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Patah Seribu, Shila Amzah berpendapat kolaborasi bukan sahaja tertumpu kepada bidang nyanyian, malah kerja-kerja belakang tabir dalam pembikinan sesebuah lagu juga dianggap sebagai kolaborasi.

Menurutnya, setiap lagu yang dihasilkan daripada kolaborasi penyanyi baru dan lama pasti mendapat perhatian daripada peminat.

“Semestinya gandingan penyanyi seperti ini sedikit sebanyak membuka ruang industri muzik berkembang dengan lebih baik.

“Saya sendiri punyai hasrat mahu berkolaborasi dengan penyanyi berpengalaman seperti Anuar Zain sekiranya diberikan peluang,” katanya.


Platform cipta nama: Adi Johar

Melihatkan setiap lagu kolaborasi semakin mendapat sambutan daripada pendengar yang sekali gus menaikkan nama penyanyi, Adi Johar yang mula dikenali dari program Mentor musim keempat ini turut tertarik untuk berkolaborasi dengan orang lama.

Menurutnya, lagu kolaborasi kini seolah-olah menjadi satu trend dalam industri muzik tempatan yang sekali gus memberikan impak baik terhadap penyanyi baru sepertinya.

“Peluang seperti ini adalah satu platform buat penyanyi baru seperti saya untuk lebih dikenali selain dapat menimba pengalaman berharga bekerjasama dengan orang lama dalam industri.

“Tidak salah untuk saya mencuba jika diberi peluang bergandingan dengan artis terkenal dan berpengalaman,” ujarnya.