Sejak ditayangkan 2 Februari lalu, kehangatan filem Azura 2012 masih dirasai sehingga kini. Menampilkan muka baru yang kian mencipta nama, Shahrizal Jaszle dan Neelofa, ternyata percaturan sutradara, Aziz M Osman tidak menghampakan.
Bagi merasai pengalaman dan kehebatan Azura (1984), yang pernah dipopularkan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Sinar Harian dengan kerjasama Ace Motion Pictures Sdn Bhd, meraikan pembaca menerusi majlis tayangan eksklusif filem Azura 2012 di Festival City.
Seawal jam 7 petang, ruang utama pawagam dipenuhi penonton yang tidak sabar menyaksikan filem ini malah ada juga yang baru hadir menebus tiket. Bukan sahaja golongan remaja, filem ini turut mendapat sambutan kanak-kanak dan orang dewasa.
Memenuhi segenap ruang dalam pawagam, ternyata masih ramai yang meminati Azura dan ingin melihat garapan terbaru Aziz setelah lima tahun menyepi tanpa sebarang filem.
Lebih bermakna, tayangan yang bermula pada jam 9 malam itu turut dihadiri bintang utama Azura 2012, Neelofa dan Shahrizal. Walaupun lewat, namun kehadiran mereka benar-benar dinantikan peminat.
Hadir dengan pakaian sedondon berwarna putih, Neelofa dan Shahrizal, sempat beramah mesra dan bergambar dengan pembaca Sinar Harian yang setia menunggu mereka sejak awal lagi. Baik Neelofa mahupun Shahrizal, mereka teruja dapat meluangkan masa bersama peminat. Malah bagi mereka, inilah masanya untuk mengenali peminat dengan lebih dekat.
Menurut Neelofa, sokongan berterusan daripada peminat amatlah diperlukan bagi pendatang baru sepertinya.
"Azura adalah filem pertama saya dan saya sangat memerlukan sokongan peminat. Saya sangat teruja dengan kehadiran mereka pada tayangan ini," kata bekas pemenang Dewi Remaja 2010/11.
Sepanjang tayangan, penonton setia menunggu sehingga ke akhir cerita. Ada yang tersenyum, ketawa dan tidak kurang juga yang sedih, menyaksikan Azura 2012 yang penuh dramatik.
Ternyata, 1 jam 30 minit tayangan memberi kepuasan kepada penonton. Seusai tayangan, rata-rata memuji hasil kerja Aziz dan menganggap penantian mereka untuk melihat Azura moden berbaloi.
Menurut Abdul Ghani Samad, 56, walaupun jalan ceritanya berbeza dengan filem asal, namun masih ada keistimewaan yang terkandung dalam filem ini.
“Saya memang ternanti-nanti untuk menonton Azura 2012. Bukan niat untuk membandingkan Azura dulu dengan sekarang kerana saya pasti, ia tidak akan sama.
“Saya hanya ingin lihat Azura pada zaman kini dan apa yang saya nampak, ia adalah buah tangan yang terbaik. Saya terhibur dengan segala rencah yang ada dalam filem ini.
“Shahrizal boleh gantikan Zack yang dulu (Jamal Abdillah) dengan cara tersendiri. Walaupun tidak sama dengan watak Zack yang dulu, Shahrizal adalah pelakon yang berbakat, begitu juga dengan Neelofa. Saya bangga dengan bakat mereka,” katanya yang turut ditemani isteri.
Sementara, bagi Siti Mariam Datuk Sikandar, 34, Azura 2012 mampu mengembalikan semula nostalgia lakonan hebat Ogy dan Jamal. Katanya, filem ini sangat bagus dan berkualiti, malah ceritanya lebih moden dan mengikut peredaran zaman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: