DUA minggu berturut-turut, Kumpulan Ketupat menerima kritikan pedas daripada pengkritik tetap, Sheila Rusly apabila dia menganggap persembahan trio Mohd. Hafizi Hussin, Mohd. Khairi Kamarudin dan Jusri Johan itu 'busuk'.
Dan minggu lepas, penonton menyaksikan kumpulan tersebut tersingkir awal bersama-sama kumpulan King selepas program Raja Lawak Ke-Enam bersiaran selama tiga minggu.
Biarpun ramai berpendapat cara kritikan Sheila itu kasar dan kurang sesuai namun bagi Astro, ia bukan suatu masalah besar selagi tidak melanggar batas-batas etika penyiaran.
Lebih-lebih lagi, jelas Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, setiap kritikan yang dilontarkan oleh pengkritik tetap adalah hak peribadi masing-masing dan stesen tv tiada kuasa untuk menghalang.
"Memang pihak Astro ada memberi penerangan kepada setiap juri tapi apa yang dikritik oleh mereka adalah hak peribadi. Selagi tidak melanggar etika penyiaran, tiada masalah bagi kami.
"Setiap juri yang dipertanggungjawab tahu apa yang mereka perkatakan. Kalau nak kata (Sheila) pedas, Chef Wan lagi 'ganas'.
"Lagipun perkataan 'busuk' itu sudah dipakai Sheila sejak uji bakat lagi. Malah para peserta pun sudah sedia maklum," jelasnya.
Dalam pada itu, Nizam berkata, pada minggu ketiga yang menampilkan tajuk Zaman Persekolahan, terdapat kumpulan yang sebelum ini kurang menonjol telah memberikan persembahan yang memberangsangkan.
Menurutnya, jika pada minggu kedua lalu, dua pertiga daripada 12 peserta mampu membuat penonton di studio ketawa terbahak-bahak tetapi pada minggu ketiga (minggu lepas), persembahan yang diberikan semakin mantap.
Bagaimanapun katanya, penyingkiran Ketupat dan King yang dianggotai oleh Mohd. Faridi Bardaidi, Kedang Anak Balok dan Raja Putera Raja Abdullah pada minggu ketiga adalah dibuat mengikut format.
"Kalau minggu sebelum ini tidak ada penyingkiran, jadi minggu ini perlu ada penyingkiran. Formatnya memang begitu kerana kita mahu para peserta sentiasa bersedia.
"Mereka ini semua orang baru tapi kita dapat lihat perubahan. Janganlah bandingkan mereka dengan Maharaja Lawak yang memang sudah profesional itu," katanya.
Sementara itu, kumpulan Ketupat yang memperoleh undian sebanyak 5.7 peratus berkata, biarpun tersingkir namun mereka menerima penyingkiran itu dengan hati terbuka.
Biarpun mengakui persembahan mereka mempunyai peningkatan namun kata Mohd. Khairi, apakan daya langkah terhenti di situ.
"Minggu ini kami baru dapat momentum dan tak sangka pula baru nak masuk gear, dah kena singkir. Apa pun kami gembira kerana penyertaan pertama dalam program ini berjaya membawa kami hingga ke minggu ketiga," katanya terus terang.
Bagi kumpulan King yang memperoleh undian, 6.3 peratus pula, walaupun tersingkir, mereka tetap berasa bangga kerana telah memberikan persembahan terbaik berbanding minggu-minggu sebelum ini.
Salah seorang anggota King, Raja Putera berkata, mereka telah membuktikan bakat masing-masing tetapi nasib tidak menyebelahi mereka memandangkan undian untuk kumpulan tersebut sentiasa berada di bawah.
"Sudah berkali-kali kami mencuba dan tahun ini baru berjaya. Biarpun tidak sampai ke penghujung, kami tetap bersyukur kerana hasrat menyertai Raja Lawak tercapai.
"Kami yakin kalau masih dalam program ini, kami boleh buat yang terbaik pada masa akan datang," katanya.
Kumpulan King dan Ketupat merupakan anak didik kepada pelawak Angah yang dilantik sebagai Cif Kecik.
Angah yang merupakan peserta Raja Lawak musim pertama berkata, dia memang sedih apabila dua daripada empat anak didiknya tersingkir pada minggu ketiga.
"Mereka baru dapat tangkap apa yang diajar, tiba-tiba tersingkir pula. Seperti Ketupat yang mempunyai peningkatan dari segi persembahan dan King pula tidak lagi kucar-kacir.
"Apa pun saya harap mereka tidak henti di sini sahaja kerana mereka ada potensi," katanya yang masih lagi mempunyai dua anak didik iaitu kumpulan Riki dan 2yol.
Lain-lain peserta Raja Lawak musim ini adalah kumpulan Zero, Skema, Cuit, Gman, Albob, Shiro, Selak dan Kodan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: