Saturday, February 11, 2012

Kempen anti denggi di sekolah


Dr. Hasan Abdul Rahman (tiga dari kiri) dan Ramon Daez (kanan sekali) merasmikan Pertandingan Anti-Aedes Renjer Ridsect 2012 Peringkat Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


WALAUPUN jumlah kes denggi dilaporkan menurun sebanyak 15 peratus bermula 1 hingga 28 Januari tahun ini, namun peningkatan purata 14 peratus setiap minggu amat membimbangkan apatah lagi dengan peningkatan kes kematian.

Dalam tempoh empat minggu tahun ini sahaja terdapat enam kematian denggi dilaporkan berbanding dengan hanya tiga kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Setiap tahun, 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara adalah daripada kalangan pelajar sekolah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman, tahun lalu sebanyak 21 peratus atau 4,222 daripada 19, 884 kes yang dilaporkan adalah terdiri daripada pelajar sekolah iaitu 14 peratus (2,899) kes adalah pelajar sekolah menengah manakala tujuh peratus (1,323) kes lagi adalah pelajar sekolah rendah.

Tambah beliau, begitu juga tahun ini di mana terdapat 378 daripada 1,868 kes iaitu 20 peratus merupakan pelajar sekolah di mana 13 peratus (246) kes adalah pelajar sekolah menengah dan tujuh peratus lagi (132) kes adalah pelajar sekolah rendah.

"Bagi kes kematian denggi terdapat peningkatan 50 peratus pada tahun ini berbanding tahun lepas dan kementerian memandang serius akan situasi ini.

"Tiga negeri yang telah menyumbang kepada kes kematian denggi ialah Selangor dengan tiga kematian; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kematian dan Negeri Sembilan, satu kematian.

"Kes-kes kematian ini melibatkan pesakit berusia antara sembilan hingga 50 tahun di mana dua daripada enam kematian merupakan pelajar sekolah rendah yang berusia sembilan tahun dan seorang pelajar kolej berusia 18 tahun," ujarnya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Pertandingan Anti-Aedes Renjer Ridsect 2012, Peringkat Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pertandingan tersebut yang memasuki tahun keempat itu membabitkan penyertaan seramai 2,000 pelajar sekolah menengah dari 100 buah sekolah.

Diterajui oleh jenama racun serangga yang terkenal di Malaysia, pertandingan tersebut dibuka kepada sekolah di bawah Kementerian Pelajaran di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor dan Pulau Pinang.

Pertandingan tersebut yang diadakan secara besar-besaran bukan sahaja melibatkan sekolah, guru dan pelajar bahkan kawasan kejiranan yang terletak di kawasan panas denggi.

Dalam pada itu, menurut Pengurus Besar, Kelompok Melayu S.C Johnson & Sons Malaysia, Ramon Daez, setiap tahun pertandingan tersebut telah mendapat sokongan daripada peserta dan juga masyarakat setempat.

Katanya, pertandingan yang mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan ini akan dijalankan selama enam bulan bermula Januari lalu.

"Dalam pertandingan ini, pelajar akan berkunjung dari rumah ke rumah bagi memastikan kediaman bebas daripada risiko denggi.

"Aktiviti ini akan dijalankan pada setiap hujung minggu supaya tidak mengganggu waktu pembelajaran di sekolah.

"Pertandingan ini juga secara tidak langsung bertujuan memupuk kesedaran di kalangan komuniti tentang bahaya aedes dan denggi serta langkah proaktif yang perlu dilakukan dalam membanterasnya," katanya.

Tambah Ramon, secara kebetulan, kes denggi dalam masyarakat setempat ternyata berkurangan sepanjang enam bulan pertandingan diadakan di mana antara Januari hingga Julai tahun lalu, terdapat penurunan mendadak iaitu sebanyak 57 peratus.

Untuk itu, katanya, tahun ini pihaknya telah meluaskan pertandingan tersebut ke Pulau Pinang memandangkan negeri tersebut mencatat kes denggi kelima tertinggi seluruh negara.

Melalui pertandingan tersebut, pelajar-pelajar yang terpilih daripada setiap sekolah dikehendaki melaksanakan misi 'mencari dan menasihati' dalam kawasan kejiranan masing-masing.

Akan ditemani guru, pelajar-pelajar ini akan pergi dari rumah ke rumah untuk membantu jiran memastikan rumah mereka bebas daripada risiko denggi.

Pada masa yang sama, sekolah juga dikehendaki memastikan kawasan sekolah bebas daripada sarang pembiakan nyamuk aedes.

Pada akhir pertandingan, sekolah yang menang akan dipilih berdasarkan bilangan paling banyak rumah yang dikunjungi, diperiksa dan tidak ketinggalan kebersihan sekolah mereka.

Semua sekolah berpeluang untuk memenangi hadiah utama sebanyak RM10,000 selain hadiah sagu hati untuk tempat pertama, kedua dan ketiga yang juga berupa wang tunai dan hamper.

Secara keseluruhan, sekolah turut berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai dan produk bernilai lebih RM150,000 selain guru penasihat bagi sekolah yang mencatatkan bilangan paling banyak rumah yang diperiksa juga bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Sebelum pertandingan bermula, semua guru dan pelajar yang terlibat dalam pertandingan ini akan diberi taklimat terperinci mengenai denggi dan pencegahan penyakit ini oleh pasukan petugas khas anti-denggi yang dilatih oleh Kementerian Kesihatan.

Setiap pasukan akan diberi senarai semak untuk membantu mereka mengenal pasti risiko denggi di rumah.

Senarai semak yang disediakan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan ini termasuk semua tempat dan kawasan untuk diperiksa kerana dikhuatiri boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk di dalam dan luar rumah.

Jelas Ramon lagi, tahun ini pihaknya menetapkan sasaran sebanyak 120,000 rumah untuk diperiksa dan dinasihati.

Katanya, pihaknya yakin angka tersebut boleh dicapai menerusi usaha, dedikasi dan sokongan semua peserta.

"Meskipun pertandingan Renjer Anti Aedes Antara Sekolah 2012 menggalakkan semangat pertandingan persahabatan, ia juga penting untuk kita semua menyedari bahawa kejayaan dalam peperangan menentang denggi memerlukan kerja sama semua rakyat Malaysia.

"Kami telah lama terlibat secara aktif dalam kempen yang secara langsung membabitkan masyarakat dalam usaha untuk membantu membendung denggi.

"Kami juga komited untuk menonjolkan pentingnya usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes dan penggunaan semburan racun serangga setiap minggu untuk membunuh nyamuk dewasa dengan berkesan dan memutuskan kitaran hidupnya," ulasnya.

Pihaknya juga percaya usaha mendidik dan menggalakkan masyarakat untuk mengambil pendekatan yang lebih aktif dan serius adalah sangat penting.

Oleh itu, tiada cara yang lebih baik untuk memulakan proses mendidik ini selain daripada memulakannya dengan sekolah dan warga muda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: